Wednesday, December 8, 2021

Malaysia perlu pelan tindakan kecemasan iklim

Pelan tindakan itu perlu merangkumi semua sektor ekonomi, khidmat awam dan perilaku pengguna.

Other News

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru kerajaan agar merumus satu pelan yang terperinci dengan sasaran dan garis masa, serta menetapkan tindakan yang akan diambil demi memenuhi komitmen yang dibuat ketika persidangan COP26, dan di bawah 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pelan itu perlu merangkumi semua sektor ekonomi, khidmat awam dan perilaku pengguna. Satu badan bebas perlu dibentuk dengan perwakilan daripada kerajaan dan orang awam untuk memantau dan menilai prestasi di bawah pelan berkenaan, di samping mengenal pasti masalah yang ada dalam memenuhi sasaran tersebut. Laporan kemajuan setiap tahun berhubung pemantauan dan penilaian itu perlu diserahkan kepada Parlimen.

Pada bulan lalu, perdana menteri mengumumkan bahawa ketika dalam persidangan COP26, Malaysia berikrar untuk mengurangkan keamatan pengeluaran gas rumah hijau (GHG) sebanyak 45% merentasi ekonomi menjelang 2030. Menurut beliau, negara akan berusaha untuk mencapai pengeluaran sifar bersih menjelang 2050. Namun belum ada pelan yang ditunjang oleh undang-undang bagi mencapai sasaran tersebut.

Beliau berkata, pencapaian sasaran itu tertakluk kepada Strategi Pembangunan Pengeluaran Rendah Jangka Panjang (LT-LEDS) yang akan dimuktamadkan pada penghujung 2022. Kita tidak boleh menunggu begitu lama kerana bencana alam boleh berlaku pada bila-bila sahaja.

Ketua Setiausaha PBB, António Guterres, memberi amaran kepada pemimpin dunia pada pembukaan sidang COP26.

“Kita berdepan detik penentuan. Kita semakin pantas menghampiri titik kemuncak yang akan mencetuskan gelung maklum balas pemanasan global.”

Kerajaan perlu segera menghentikan kerja-kerja pembersihan hutan dan projek penambakan tanah yang banyak menyumbang kepada pemanasan bumi, sementara menunggu LT-LEDS.

Enam tahun lalu pada 2015, kita telah menandatangani 17 matlamat SDG yang dianjur PBB.

Matlamat ke 13 mengkehendaki kita bertindak segera untuk menangani perubahan iklim dan kesannya dengan menerapkan langkah-langkah perubahan iklim ke dalam dasar, strategi dan perancangan negara. Tarikh yang disasarkan untuk mencapai SDG itu ialah pada 2030.

Kini selepas enam tahun, kita masih belum mempunyai pelan pembangunan pengeluaran yang rendah untuk mencapai matlamat tersebut dan terpaksa menunggu setahun lagi.

Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC), yang dibentuk baru-baru ini dengan diketuai oleh perdana menteri, perlu bertindak tanpa berlengah lagi dan mengambil langkah segera untuk melaksanakan pelan tindakan bagi menangani masalah kecemasan iklim yang mengancam nyawa. Ia hanya bertemu dua kali setahun; justeru sebuah pasukan petugas perlu dibentuk untuk menyediakan pelan berkenaan, mengenal pasti tindakan yang perlu diambil dan sasaran yang mesti dicapai dalam sektor yang berbeza.

Kerajaan persekutuan dan negeri serta pihak berkuasa tempatan tidak bertindak seiringan dalam menangani isu alam sekitar. Kerajaan negeri meluluskan pembersihan hutan dan penambakan tanah, sementara kerajaan tempatan meluluskan pelan binaan, tanpa mempedulikan pengeluaran gas rumah hijau (GHG) berikutan aktiviti seumpamanya, yang memburukkan krisis iklim.

Misalnya di Pulau Pinang, terdapat bantahan keras kepada projek penambakan Selatan Pulau Pinang tetapi kerajaan negeri masih berkeras untuk meneruskannya. Penambakan tanah pesisir laut boleh mendatangkan kesan serius terhadap sosio-ekonomi dan alam sekitar.

Kehidupan komuniti nelayan akan terjejas, kawasan perikanan akan musnah hingga sukar dipulihkan, dan arus laut yang berubah akan menyebabkan hakisan pantai berlaku. Kawasan terumbu karang dan paya lumpur akan terhapus.

Di sebalik kesan buruk pembangunan yang mencabuli komitmen kita di bawah SDGs PBB, kesan penilaian alam sekitar telah diluluskan. Ia menyerlahkan kegagalan undang-undang dan institusi alam sekitar untuk melindunginya.

Apa yang memeranjatkan pejuang alam sekitar, kerajaan negeri Selangor memutuskan untuk membatalkan pewartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara untuk tujuan pembangunan komersial.

Hutau bakau di situ menempatkan pelbagai hidupan dan beberapa komuniti orang asli. Pembangunan yang dicadangkan mungkin mencabul komitmen antarabangsa kita namun pihak berkuasa bertindak meluluskannya. Mujurlah tekanan dari orang awam memaksa pihak berkuasa membatalkan projek tersebut.

Sehubungan itu, pihak berkuasa perlu mengambil pendekatan yang serius bagi menangani bencana iklim.

Pemimpin politik dan pegawai di peringkat persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan mesti berkongsi misi yang sama dan bekerja bersama-sama untuk mencapai komitmen antarabangsa kita selaras dengan pembangunan yang mampan dan menangani krisis iklim.

Kami menggesa kerajaan agar:

1. Memaju dan melaksanakan pelan yang terperinci dengan sasaran dan garis masa, menentukan tindakan yang bakal diambil demi memenuhi komitmen yang dibuat ketika sidang COP26, dan di bawah matlamat SDG PBB.

2. Membentuk sebuah badan bebas dengan disertai oleh perwakilan kerajaan dan masyarakat umum untuk memantau dan menilai prestasi di bawah pelan itu dan mengenal pasti masalah dalam mencapai sasaran yang ditetapkan.

3. Menghentikan penebangan hutan dan penambakan tanah pesisir pantai yang memburukkan krisis iklim.

4. Merumuskan pelan jangka panjang melalui perbincangan dengan orang awam untuk mengelak penggunaan tenaga bahan api fosil ke arah membersihkan tenaga dalam semua sektor.

5. Menggalakkan pengeluaran dan penggunaan makanan, produk dan perkhidmatan yang mampan.

Mohideen Abdul Kader adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles