- Iklan -
Kolum

Dondang sayang engkau lahabau

Jadi misalnya kalau terlahabau atau tercelaka muncul dalam sapa tegur sesama orang Melaka di perkarangan rumah ketika menyambut tamu, ia ditanggap biasa malah mesra.

Faisal Tehrani
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Dalam kalangan masyarakat Melayu, dan Cina Peranakan di Melaka; Dondang Sayang itu sudah terbiasa.

Malah, irama Dondang Sayang ini didakwa muncul ketika zaman Sang Nila Utama dan menjadi masyhur dalam kalangan masyarakat biasa selepas kejatuhan Kesultanan Melayu.

Ketika itu, Dondang Sayang didendang secara lara dan syahdu mengenang kejatuhan orang Melayu lantaran korupnya para pembesar dan rajanya.

Dondang Sayang diketahui dinyanyikan secara adu-adu, iaitu dibuat sebagai berlawan kata.

Kadang-kala maksud dan pembayang pantunnya begitu kesasar serasa cacat bunyinya tetapi kerana cacat itulah ia menjadi pelengkap dan sedap didengar.

Tambah kalau yang membuatkan ia kesasar itu dilontarkan dengan nada suara tinggi oleh para nyonya-nyonya baba.

Punyalah kesasar, maka kesasar itu acap kali dilihat sebagai keindahan.

Jadi misalnya kalau terlahabau atau tercelaka muncul dalam sapa tegur sesama orang Melaka di perkarangan rumah ketika menyambut tamu, ia ditanggap biasa malah mesra.

Demikianlah sedikit aneh pada orang Melaka.

Dalam Dondang Sayang boleh dia mencerca.

Oleh sebab Dondang Sayang itu dibuat berlawan kata antara regu sedia ada maka ia menjadi menarik ditonton.

Kadang-kala “persembahan” itu bermula senja membawa ke subuh.

Buang masa? Memang, tetapi tetap meralitkan.

Demikianlah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, buang masa dan buang duit; pun tetap melekakan.

Demikian orang rasa menyampah dan meluat, cukup untuk dikata-kata lahabau dan binawe melaun; pun kemunculan pilihan raya ini kekal menggoda.

Kalau tak ada rasa nak turun mengundi, demi Dondang Sayang tetap mujur dibawa segala sumpah seranah itu ke peti undi.

Dalam Dondang Sayang ada sindir dan perli tajam.

Antara pantun-pantun sindir dan hamun halus dalam pantun Dondang Sayang bunyinya begini:

“Disangka panas di tengah padang,
Kiranya urat jawi-jawi,
Kusangka panas hingga ke petang,
Kiranya hujan di tengah hari.”

Kalau dapat disulam pantun di masa PRN Melaka waktu ini, mungkin sedap didondang jadi begini:

“Disangka mandat secukup penggal,
Kiranya khianat di Hotel Sheraton,
Disangka mandat secukup penggal,
Katak berprinsip melompat kartun.”

Lain pantun Dondang Sayang yang masuk senarai pantun Melayu yang standard adalah:

“Pilih-pilih tempat mandi,
Pertama teluk kedua pantai,
Pilih-pilih tempat menjadi,
Pertama elok kedua pandai.”

Maka mungkin juga elok pengundi Melaka nyanyikan jadi lain, katakan seperti ini:

“Pilih-pilih ketua menteri,
Pertama teluk kedua pantai,
Pilih-pilih ketua menteri,
Pertama elok kedua pandai.”

Dalam hal ini tentulah yang elok dan pandai itu bukan jenis pandainya masuk kepala dek pasir.

Atau pandainya itu, jenis disokong perasuah dan penyangak penyamun.

Tentulah itu tak masuk dalam jenis elok malah burok porno.

Apatah lagi tak boleh dianggap pandai kalau tingkahnya itu licik berhelah.

Ikon Dondang Sayang Melaka, Nyonya Tan.

Pantun Dondang Sayang lain yang sedap didengar ialah:

“Meninjau berpadi masak,
Batang kapas bertimbal jalan,
Hati risau dibawa gelak,
Bagai panas mengandung hujan.”

Dalam hal ini ,tentu saja pengundi di zaman pandemik ini berasa resah dan wajar berdendang dan dondang beralun seperti ini:

“Meninjau berparti masak,
Badan gemuk payah nak jalan,
Bisa ghout dibawa gelak,
Menjangkit Covid rakyat yang jalan.”

Tentu PRN ini tidak wajar berlaku, dek sebabkan Covid yang belum berakhir.

Akan tetapi sebab ia seperti Dondang Sayang, yang boleh dilayan dengan khayal asyik, maka diladeni juga kelahabauannya itu.

Serangkap pantun Dondang Sayang yang sudah terkenal, tetapi sebetulnya berasal dari Dondang Sayang ialah:

“Hinggap merpati di dahan senduduk,
Gugur pinang ditiup badai;
Jangan seperti malang Pak Kaduk,
Ayam menang kampung tergadai.”

Ini tentulah tak perlu ditafsir-tafsirkan lagi.

Orang lama sudah mengingatkan jangan menjadi seperti Pak Kaduk yang demi berebutkan pasir sanggup menggadai tanah air.

Justeru kalau kita mengamati Dondang Sayang kita akan bertemukan macam-macam pelajaran dalam kehidupan.

Hanya orang Melaka mahu mengambilnya atau tidak.

Oleh itu, baik diingatkan lagi bahawa perihal Pak Kaduk ini ialah diri kita – rakyat – yang alpa oleh rasuah dan habuan di saat musim menyogok ini.

Jangan kita sampai leka sampai negeri ini kita jahanamkan, atau kita sundalkan.

Jangan nanti negeri dibiar tenggelam dek banjir lagi.

Serangkap lagi pantun Dondang Sayang yang hampir-hampir dengan bait di atas ialah:

“Burung kedidi terbang ke pantai,
Dari pantai terbang berkawan,
Kerana sebiji rosak setangkai,
Sebab setangkai rosak sedahan.”

Dalam hal ini kita mengertikan kadang-kala kita rakyat beroleh kepimpinan yang baik, tetapi sebabkan ada seketul dua kutuk yang lahabau dan celaka; maka ia mengakibatkan kita terheret sama dalam perkelahian yang tak perlu.

Pun, pada perkelahian tak perlu inilah kita nampak kepimpinan itu saling telanjang menelanjangkan.

Mereka punya bergasak dalam politik sampai londeh melondehkan mempamer kemaluan.

Maka yang konon berjuang demi agama dan bangsa, boleh pula bergasak bedal membedal sesama agama dan bangsa untuk kita ketawakan.

Mereka ini lebai malang berketayap, dan elok kita kekalkan terus malang dan jangan diberi muka walau sekerusi jua.

Dalam telanjang-menelanjang itu kita akan dapati juga seru-seru sorak politik seperti kita ini keluarga.

Kononlah.

Kerana keluarga dan abah-abah itu semua palsu, kerana akhirnya dalam keluarga itu, bila masing-masing ternampak pasir untuk direbutkan; maka masing-masing biji mata terbelalak buntang.

Sesama keluarga itulah kadang ada banyak kurap dan panaunya yang terpaksa kita akur ia amat lahabau sekali.

Sebenarnya, politik apatah lagi PRN ini ibarat pesta-pestaan yang kita lihat ketika joget lambak biasa kelihatan di negeri Melaka satu masa dulu.

Dalam pesta-pestaan dan joget tari itu, Dondang Sayang akan berkumandang.

Ketika itu akan ada iringan alat muzik sepertinya biola, rebana, gong atau tetawak, sementara alat sampingan ialah akordion dan gendang.

Semua jenis muzik dan irama berdentang dentung ini gunanya untuk membuat Dondang Sayang yang memang siap panas untuk dibawa beradu itu menjadi lebih retis dan gedik.

Ya supaya boleh bertahan dari malam membawa ke pagi. Bila penat, bergelimpangan.

Tidaklah menghairankan kita akan beroleh segala macam irama dan kempen sumbang, segala macam janji manis politikus yang akhirnya membawa kepala mereka terbenam ke pasir, dan joget yang hanya ada satu kata menjelaskannya: lahabau.

Jadi, tak ada salahnya memberi salam lahabau kalau memang nanti dondangnya memang terarah ke situ.

Lahabau atau tidaknya kita, hanya kita pengundi yang dapat menentukan.

Kalau pilih lahabau, pasti dapat lahabau.