Tuesday, November 30, 2021

Arak Timah menyerlahkan polarisasi dalam negara

Kalau banyak perkara lain seperti nama taman perumahan baru, pemaju bukan Melayu enggan menggunakan perkataan dari bahasa kebangsaan, tetapi dalam hal arak ini, mereka pula mahu menggunakan perkataan Timah.

Other News

Secara peribadi saya tidak kisah wiski yang menjadi kontroversi itu bernama Timah dengan label gambar Captain Speedy berjanggut dan “berkopiah”.

Saya menganggap ia adalah “non-issue”.

Timah merujuk pada logam yang menjadikan Malaya kaya.

Captain Speedy pula memainkan peranan penting bagi pembangunan industri bijih timah.

Kain penutup kepala itu bukanlah kopiah dan janggut itu tidaklah menggambarkan dia sebagai orang Islam.

Lagipun pembuat wiski itu adalah orang bukan Islam dan dengan jelas hanya dijual pada orang bukan Islam.

Pemilihan nama Timah dan gambar Captain Speedy merupakan tindakan pemasaran komersial, untuk meraikan gaya hidup beliau pada zaman yang mana keberanian serta ketangkasan mewarnai pembangunan industri timah di sekitar Lembah Kinta.

Tetapi selepas dua minggu berlalu, apa yang merupakan ” non-issue” adalah pada praktikalnya merupakan suatu isu bagi orang Melayu di negara ini.

Dalam hal ini, saya dapati diri saya berada dalam golongan minoriti Melayu yang tidak kisah dengan nama Timah itu.

Ini kerana saya percaya kebanyakan orang Melayu tidak dapat terima nama Timah pada wiski itu.

Perkara ini dapat dilihat daripada reaksi dalam media sosial.

Begitu juga dengan semua orang Melayu di keliling saya yang ditanya menolak nama Timah.

Bukan saja mereka menolaknya, tetapi ia diungkapkan dengan emosi marah.

Mereka mempersoalkan mengapakah pembuat arak itu menggunakan perkataan Melayu.

Apakah muslihat mereka?

Kalau banyak perkara lain seperti nama taman perumahan baru, pemaju bukan Melayu enggan menggunakan perkataan dari bahasa kebangsaan, tetapi dalam hal arak ini, mereka pula mahu menggunakan perkataan Timah.

Mereka mempersoalkan mengapakah tidak digunakan perkataan bahasa Inggeris atau Cina.

Ada pula kalangan orang Melayu mengaitkan perkataan timah sebagai kependekan daripada nama Fatimah, anak Nabi Muhammad, maka bertambahlah emosional isu ini.

Reaksi dalam kalangan orang bukan Melayu juga adalah tajam.

Melihat hantaran dan komen dari kalangan bukan Melayu, umumnya mereka mentertawakan dan mempersendakan bantahan orang Melayu.

Seolah-olah bantahan terhadap perkataan Timah pada wiski bukan kerana sifat Melayu yang konservatif tetapi kerana minda “tertutup”, “kolot” atau “bodoh.”

Di samping menegaskan bahawa perkataan Timah itu merujuk pada logam, mereka juga mengungkit bahawa nama Fatima, yang hampir dengan Fatimah juga merupakan nama suci dalam kalangan sebahagian daripada orang Kristian.

Selain itu mereka juga menunjukkan jenama-jenama arak yang dikeluarkan di Timur Tengah yang menggunakan nama Arab.

Bagi orang Melayu, hujah-hujah ini kesemuanya tidak boleh diterima.

Sebaliknya reaksi orang bukan Melayu terhadap bantahan orang Melayu ini menunjukkan mereka bukan saja tidak sensitif tetapi juga tidak faham terhadap citra orang Melayu.

Di samping itu, ada kalangan orang Melayu yang melihat isu ini sebagai tindakan mencabar mereka.

Umumnya orang Melayu dapat terima bahawa mereka adalah konservatif.

Kata-kata yang menunjukkan orang Melayu sebagai “tertutup” , “kolot” dan “bodoh” sudah lama dilemparkan dan ditelan oleh orang Melayu.

Namun dipersoalkan kembali, adakah orang bukan Melayu di negara ini umumnya progresif, “terbuka,” “maju dan “cerdik”?

Atau sebenarnya kebanyakan rakyat Malaysia adalah serupa?

Dari segi lain pula, orang bukan Melayu umumnya tidak faham mengenai realiti amalan beragama penduduk Islam negara ini.

Walaupun agama islam di seluruh dunia adalah serupa tetapi setiap negara mempunyai kebiasaan berbeza.

Amalan Islam di negara lain tidak boleh dijadikan hujah untuk digunakan di negara ini.

Kalau orang Islam di Turki atau Bosnia kelihatan bebas minum arak, perkara yang sama tidak berlaku di Malaysia, dan ia tidak boleh menjadi hujah.

Realitinya ialah terdapat jurang pemahaman antara orang Melayu dan bukan Melayu.

Kedua-dua pihak tidak akan dapat menerima hujah lawannya.

Jalan bagi mengatasi perkara ini hanyalah dengan mengambil sikap toleransi.

Hanya dengan toleransi semua kaum dapat hidup harmoni di negara yang dikongsi bersama.

Ini kerana kedua-dua belah pihak tidak dapat memahami di antara satu sama lain.

Maka menjadi pertanyaan mengapakah perkara ini menjadi isu bagi orang Melayu sedangkan terdapat banyak perkara lain lebih layak untuk diambil perhatian.

Soal ekonomi dan rasuah misalnya.

Atau politik dan mandat rakyat.

Soal alam sekitar juga adalah lebih penting.

Tetapi perlu dikenali antara isu yang berkaitan dengan minda berbanding dengan soal yang menyentuh jiwa.

Apa yang menyentuh jiwa bagi orang Melayu adalah yang berkaitan dengan agama.

Walaupun sekecil manapun atau remeh, jika suatu isu itu menyentuh jiwa, ia akan menarik perhatian orang Melayu.

Iaitu berbanding dengan soal politik, ekonomi, korupsi, mandat rakyat dan alam sekitar yang merupakan isu minda.

Isu Timah berkait dengan agama, justeru menyentuh jiwa orang Melayu.

Ia berkaitan dengan arak.

Seperti babi dan judi, ia merupakan perkara haram yang sensitif bagi orang Melayu.

Banyak perkara lain yang haram juga seperti rasuah, fitnah dan mencuri.

Tetapi kadar sensitiviti terhadap arak, babi dan judi adalah lebih tinggi.

Begitu juga dengan perkara sensitif seperti LGBT dan soal pakaian menutup aurat.

Di sebalik isu-isu ini pula, orang Melayu secara umum sememangnya pada masa ini sentiasa mempunyai sikap bersangka buruk pada orang bukan Melayu, Kristian, Yahudi, liberal, atheis dan komunis.

Tetapi tentulah tidak semua orang Melayu bersikap sedemikian.

Pengalaman seseorang termasuk pendidikan dan pendedahan intelektual membawa individu menjadi seperti itu.

Dalam minda mereka, orang bukan Melayu yang lebih “cerdik” dan “rajin” akan menguasai negara dan meminggirkan orang Melayu.

Mereka juga melihat orang bukan Melayu lebih “agresif” dan “lantang” dalam membuat tuntutan.

Di peringkat global pula, orang Melayu juga bersikap buruk sangka pada orang Yahudi.

Di samping Zionis menduduki wilayah Palestin, orang Yahudi dilihat menguasai dunia dan mempunyai agenda menghapuskan Islam.

Orang Yahudi adalah musuh Islam dan dikaitkan dengan Dajjal.

Minda Melayu juga takut kepada orang Barat.

Mereka beranggapan bahawa pihak Barat sentiasa mempunyai agenda untuk memurtadkan orang Melayu.

Golongan liberal dan atheis dianggap sebagai sebahagian daripada Barat yang mahu menguasai seluruh dunia termasuk orang Melayu dengan menggunakan fahaman demokrasi.

Orang Melayu boleh menerima demokrasi selagi ia tidak dijadikan oleh Barat untuk menguasai orang Melayu dengan tujuan memurtadkan mereka.

Maka umumnya orang Melayu yang menjadi liberal atau memihak pada liberal dianggap sebagai sesat atau pengkhianat bangsa.

Dengan komunis, ia perkara berbeza.

Bagi minda Melayu, komunis dikaitkan dengan China dan orang Cina.

Hakikat bahawa sebahagian besar orang Cina adalah antikomunis tidak diambil kira.

Perkara ini adalah lebih pada sentimen yang diwarisi secara kolektif kaum.

Komunis dikaitkan dengan keganasan dan atheisme yang perlu ditentang.

Pada masa akan datang, generasi baru Melayu mungkin berubah.

Tetapi pada hari ini, keadaannya adalah begitu.

Jalan terbaik untuk kehidupan harmoni semua rakyat Malaysia adalah dengan mengambil jalan toleransi dan kompromi.

Bukannya konfrontasi dan konflik.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles