- Iklan -
Rencana

Umno bakal bunuh diri di PRN Melaka

Jika Umno tersungkur di DUN Melaka, ia menjadi petanda terkuburnya Umno pada PRU15.

Khairuddin Othman
3 minit bacaan
Kongsi
Umno yang dikatakan bakal bertanding sendirian pada PRN Melaka perlu memikirkan semula keputusannya. Gambar: AFP
Umno yang dikatakan bakal bertanding sendirian pada PRN Melaka perlu memikirkan semula keputusannya. Gambar: AFP

Amat janggal sekali apabila Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mendakwa partinya dan Barisan Nasional (BN) mampu menang besar dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka sekiranya bertanding secara solo atau bersendirian.

Alasannya, rakyat Melaka tidak mahu mengulangi kesilapan yang lalu dan Umno sendiri mengharapkan rakyat Melaka tidak mengulangi kesilapan lalu.

Mengapa rakyat Melaka dipersalahkan?  Umno atau BN kalah di pilihan raya umum (PRU) terdahuku dan tumbang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka-baru baru ini adalah angkara pemimpin-pemimpin Umno itu sendiri.

Barisan Nasional kalah dalam pada PRU 2018 kerana hampir 30% pengundi Melayu dan 95% Cina memilih pembangkang, terutamanya PKR, Bersatu, Amanah dan DAP.  Mengapa in terjadi?

30% pengundi Melayu yang mewakili hampir 70% pemilih dari kaum ini meluat dan benci dengan salahguna kuasa dan rasuah yang semakin membuak-buak di kalangan pemimpin-pemimpin Umno.  Terlalu banyak tanah-tanah rizab kerajaan tergadai, dana awam dipesong dan dilesapkan, dan skandal rasuah berskala global dalam kalangan pemimpin Umno.

Anehnya, pemimpin-pemimpin ini sekarang mendakwa rakyat yang silap memilih parti yang memerintah!

Umno sebenarnya diwakili oleh kira-kira 2,000 pemimpin yang menyandang jawatan menteri, timbalan menteri dalam kerajaan dan ketua-ketua bahagian. Mereka ini yang membuat keputusan dan hala tuju Umno untuk diri mereka, bukan pengikut-pengikutnya.  

Sementara sebilangan besar ahli-ahlinya telah meninggalkan parti tersebut.  Ini akan terbukti pada PRU15 kelak jika pemimpin-pemimpin Umno tidak segera berundur dan digantikan dengan pemimpin yang lebih bertenaga, jujur dan meletak rakyat dihadapan mereka.

Dengan senario sedemikian, bagaimana pula ramalan peluang Umno dan BN di PRN Melaka pada 20 November ini? Amat tipis, terutama apabila Umno memasuki gelanggang PRN Melaka secara bersendirian.

Adalah tidak masuk akal Umno boleh menang besar.  Ini hanya mimpi di siang hari dipromosikan oleh badut-badut dalam Umno itu sendiri.  Lihat penilaian beberapa penganalisis politik terkemuka ini.

  • PRN Melaka ini tidak perlu (selain menyusah dan membahayakan rakyat Melaka dengan jangkitan Covid-19) kerana pemimpin Umno sendiri (dengan bantuan Pakatan Harapan) menumbangkan kerajaan negeri yang mereka tadbir bersama, seperti analisis Joceline Tan, 23 Oktober, The Star.  
  • Dari empat ahli DUN yang menyebabkan tumbangnya kerajaan Melaka, dua adalah dari Umno yang mana seorang adalah bekas kedua menteri dan didakwa dalang.  Walaupun mereka dari Umno itu telah disingkir keahliannya, tetapi imej Umno telah tercalar apabila mereka mengharapkan Pakatan Harapan membela mereka dan mungkin melawan calon Umno sendiri pada PRN Melaka kelak.  “Orang Melaka memang sudah sedia maklum sebab utama mereka terpaksa menghadapi PRN sekarang adalah berkait rapat dengan sikap gila kuasa dan rasuah dalam kalangan pemimpin Umno,” kata Zainal Kling.
  • Alasan bekas ketua menteri Umno membubarkan kerajaan Melaka itu adalah seperti menyuluh di siang hari.  Rakyat Melaka sudah tahu sejak berdekad lalu ada pemimpim-pemimpin Umno Melaka merebut projek-projek kerajaan dan penjualan pasir untuk kepentingan mereka sendiri.  Oleh itu, mengapa hanya sekarang dihebohkan? 
  • Apabila Umno enggan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan PAS pada PRN Melaka ini, undi kaum Melayu akan berpecah kepada kelompok pengundi kecil di kalangan lima parti Melayu.  Sementara lebih 80% kaum Cina dan India telah diramal akan mengundi Pakatan Harapan.  Oleh itu, Pakatan Harapan mempunyai peluang memenangi pilihanraya negeri tersebut, bukan Umno.

Pemimpin Umno tidak boleh lagi salah langkah. Jika ia tersungkur di DUN Melaka, ia menjadi petanda terkuburnya Umno pada PRU15. Rakyat telah menolaknya kerana menconteng arang di muka bangsanya sendiri.  

Jangan berpura-pura lagi.  Keadaan Umno sangat tenat.  Imej pemimpinnya adalah “katak”, “pengkianat”, “kluster mahkamah” dan ada kelompok “duri dalam daging” yang ingin memujuk lebih ramai pemimpinnya melangkah ke PKR dan Amanah.  

Umno perlu lebih berhati-hati.  Mungkin agenda tersembunyi mendesak Umno bertanding di DUN Melaka secara bersendirian ialah untuk memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan.

Jika Umno ingin meneraju tampuk pentadbiran Melaka ia tidak boleh bertanding sendirian tanpa kerjasama dengan Pas dan Bersatu.  “Umno perlu melihat kepada lawan mereka iaitu Pakatan Harapan yang dilihat tidak goyah dengan kemelut yang berlaku ketika ini,“ kata penganalisis politik Sivamurugan Pandian.

Oleh itu, pemimpin-pemimpin Umno perlu segera sedar bahawa Pakatan Harapan mempunyai dua dorongan utama:  Ia dipengaruhi DAP yang disokong oleh sebilangan besar pengundi Cina dan India di Melaka, parti ini mampu menyalurkan sumber bantuan dan tenaga manusia kepada calon-calon PKR dan PAN di kerusi-kerusi majoriti Melayu.

Khairuddin Othman bekas wartawan Berita Harian.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow