Monday, December 6, 2021

Tak perlu mencari, datang dengan sendiri

Tiba-tiba aku dengar Janina nak balik ke Malaysia.

Other News

Lima belas minit aku menunggu Janina di kedai kopi Cina di Charing Cross Road. Kopi dan kuih pau kacang yang dipesan sudah sampai. Orang yang dinanti belum muncul.

Aku tak sabar nak mendengar surah dan ayat-ayat terbaru tentang pengalaman betina mencari jantan.

Aku sentiasa angkat topi atas keberanian si Janina ini.

Bukan semua orang sanggup buat seperti apa yang dilakukan Janina.

Hebat gadis Melayu dari Tanjung Tokong ini. Aku tidak menyangka badan langsing “petite” ini berani merayau-rayau dalam hutan kota yang dipenuhi oleh jantan Mat Salleh.

Tapi jika kita hidup bersendirian dalam kota London, kita tidak memiliki banyak pilihan.

Di London kita tak ada saudara mara yang membuat kerja kenduri kahwin di mana kita dijemput datang dan dapat peluang bertemu orang baru.

Di London tak ada kenduri lenggang perut atau cukur rambut, di mana ada peluang untuk dapat mengintai muka-muka baru.

Kalau belajar di kolej atau universiti mungkin ramai kenalan.

Kalau bekerja di pejabat, kenalan mungkin terhad kepada rakan sepejabat.

Di kawasan tempat tinggal, di flat atau di rumah teres semangat kekitaan amat longgar.

Jiran tetangga hanya “kenal-kenal Bangla” sahaja.

Tapi aku sendiri bernasib baik kerana hidup dalam dua alam.

Aku belajar dan pada masa yang sama bekerja menjadi pelayan.

Menjadi pelayan dalam kota London, biar aku garis merahkan ayat ini.

Menjadi pelayan dari Malaysia dalam kota London adalah “rare”.

Maka saham aku tak pernah jatuh.

Kulit sawo matang Sakai suku Biduanda yang licin dan rambut hitam ikal mayang selalu menaikkan saham aku kepada mereka yang ingin bertukar selera.

Ramai minah dan kakak yang bosan makan “fish and chips” ingin mengalih selera mencuba nasi lemak di Restoran Garuda.

Nasi lemak dihidang untuk dinikmati bersama pelayannya sekali.

Dari jauh ternampak Janina menapak ke arah meja aku.

“Yes.. yes.. yes… reconteur… ceritalaaa…. aku tak sabar nak dengar.”

Aku terus memberi arahan. Janina belum sempat pun duduk.

Aku mengangkat tangan memanggil Amoi pelayan.

“Nak dengar apa?”

“Macam mana soiree tu? Sapa kau jumpa? Jantan mana kau minat? Jala melekat atau jala kau koyak? Ikan semua melepas ke?” Aku melawak dan terbarai ketawa.

Amoi pelayan datang dan Janina kali ini memesan kopi dan kuih pau sama seperti aku.

“Aku dah bosan dengan fish and chips.” Janina ketawa dengan metafora jantan Inggeris sebagai “fish and chips”.

“Nak cuba spaghetti? Atau nak cuba kebab?” Aku bertanya apakah nak mencari jantan Itali atau jantan Arab?

“Aku ber’high tea’, ber’scone’ di Waldrof Hotel.”

“Apa di Waldrof?”

Belum sempat Janina habis cakap aku dah mencelah.

Ini kerana Waldrof nama hotel paling ternama dan terkelas dalam kota London.

Letaknya lima minit menapak ke panggung opera di Convent Garden.

Tak jauh dari Trafalgar Square dan Muzium British.

Hotel ini mula menerima tamu semenjak tahun 1908.

Sekarang ini bangunan Waldrof Hotel dikawal di bawah jagaan Unesco sebagai warisan dunia.

“Sultan Brunei ada sama? Michael Jackson ada datang ke?” Aku menyindir.

“Kelas…laaa… kau ingat kami berjumpa di Wong Kee?”

Janina menyanggah aku dengan menggunakan nama Wong Kee. Ini restoran China di China Town London yang betul-betul restoran Cina Bukit yang layanan klasik kasar.

“High tea… petang itu aku betul-betul jadi Mat Salleh… cawan tembikar terbaik dari China… The best from China…tea organik pilihan dari Assam atau Ceylon…organic Darjeeling… organik Charquoing. Scones… kuih cokelat pelbagai jenis… semua aku tak kenal… kuih karipap aku teringat dan aku kenal laaa.” Penerangan Janina membuka selera.

“Banyak apam Minah Salleh?”

“Untuk sandwich ada lapis keju… ada salmon.. ada ayam panggang.”

Mendengar nama-nama ini menjadikan aku lapar.

Amoi sampai membawa pesanan Janina. Kerana mendengar kisah dari Janina, aku memesan pau daging dan secawan lagi kopi.

“Jantan macam mana?” Aku bawa perbualan kepada agenda asal.

“Dalam dewan itu aku rasa ada 20 jantan, 20 betina. Mungkin perempuan lebih sedikit.. Minah dan Mamat Hitam tak ada.. aku seorang dari Timur… semua bujang dan semua dara… semua mencari pasangan.”

“Ada tersangkut.”

“Kami single mingle… helo menghelo.. senyum tersenyum, sana sini.”

“Gila kau ni… berani kau ni.”

“Woit… kalau aku tak buat, mana kau tak tahu cerita ini? Jantan 30-an, 40-an. Cari teman hidup… aku perhatikan seorang-seorang … aku bernasib baik berjumpa dia… nasib memang baik.”

“Jumpa sapa? Kacak bergaya ke? Ok ke? Dari mana?”

Amoi membawa apa yang aku minta dan beredar.

“Phillipa.”

“Woit ..kau nak jadi lesbian pulak ke?”

“Nasib baik aku jumpa Minah Salleh ini… dia pegawai perhubungan sebuah syarikat di London… duduk di Islington. Dia ternampak aku. Dia tegur. Lalu kami berkenalan. Lalu kami mesra dan duduk menikmati minum petang. Petang tu tak ada jantan dekat dengan kami.” Janina bercerita dengan gembira.

“Kali kedua, aku dah tak risau …Phillipa ada sama. Dah ada teman. Kali kedua kami bertemu di hotel… di Chelsea. Sama je…orang yang sama datang. Jantan cari betina… dan betina cari jantan. Macam kau masuk kedai kasut, pilih-pilih laaa mana yang nak pakai. Tukar nombor telefon… kalau jadi.. jadi… kalau tak sesuai boleh cuba lagi.” Janina terus bersurah.

“Kali kedua aku dengan Phillipa plan, kalau dah bosan kami cabut. Kami buat signal. Bila aku atau Phillipa buka beg tangan buat buat cari sapu tangan ertinya dah bosan.”

“Wow… hebat… ada signal macam James Bond pulak.”

“Phillipa pernah berkata pada aku… Janina why are we here? Why are we doing this? What is wrong with us?”

Surah Janina beralih mengarah ke jalur fikrah baru.

Jika aku Phillipa atau Janina aku juga bertanya soalan yang sama.

Mungkin aku memiliki jawapan kepada pertanyaan Phillipa itu.

Tapi tak semestinya jawapan aku ini seratus peratus tepat dan betul.

Pada hemat aku kita sebagai manusia, jantan atau betina perlu merasa disayangi dan menyayangi.

Ini perasaan primordial yang azali yang ada di setiap sosok.

Kita boleh tidur lena jika kita tahu ada orang sayang pada kita.

“Aku beritahu Phillipa…. kita dah bayar… satu pakej… teruskan saja… tengok apa ada di hujung jalan ini.”

Aku bersetuju dan serasi dengan falsafah tengok apa ada di hujung jalan.

Bila kita masuk lorong baru, kita wajib sampai ke simpang akhir.

Tengok dan saksikan apa yang ada.

“Ada sapa kau berkenan? Ini yang lebih penting.”

“Cerita belum abis lagi.. pakej belum tamat.”

“Woit… jantan cari betina pun ada pakej? Macam pakej umrah ke?” Aku melawak.

“Pakej akhir bukan di hotel.. dalam kampung di luar London, cantik gila rumah banglo besar, mungkin rumah orang kaya… very English… ada taman… memang dirancang untuk musim panas yang romantik.”

Janina menarik nafas seolah-olah semuanya gagal.

“Berapa bayaran untuk semua ini?”

“Segan nak cakap, lebih dari seminggu gaji kau di Garuda.”

“Woit 200 pound satu kepala.. wow…ini bisnes baik.”

Janina mendengar tapi tidak menafikan dan tidak mengiyakan.

“Phillipa dan aku hanya menikmati suasana kampung dalam musim panas…. minggu depan aku ada date lagi.” Janina memberi makluman.

“Dengan sapa?” Aku cepat bertanya

“Phillipa.” Jawapan potong stim dari Janina.

Petang itu kali akhir kami duduk di kedai kopi Cina. Hari dah berganti hari.

Bulan September dah masuk. Musim panas dah selesai.

Projek cari jantan nampak terbengkalai tapi tidak gagal.

Kemudian aku terima berita baik.

Bukan dari Janina tapi dari sumber yang boleh dipercayai: Janina dah mendapat Abang Eric.

Bila aku mendengar berita ini aku menelefon Janina.

“Betul ke? Dah berjaya?”

“Ya…. sebelum masuk musim sejuk kami nak ke selatan… ke Cornwall.. minggu depan kami travel…nak tengok pantai Cornwall.”

Jawapan yang menggembirakan dari Janina.

Aku tak tahu siapa jantan Eric ini. Dari projek cari jantan mana yang tersangkut dengan Janina.

September kelas aku dibuka.

Mata aku mencari freshie yang baru mendaftar.

Bukan ada niat yang serius hanya ingin mencuci mata.

Hari berjalan minggu berganti.

Krismas sampai Krismas berlalu.

Tahun baru sampai tahun baru pergi.

Aku menjadi siswa sepenuh masa.

Masa lapang aku ke panggung Scala di King Cross untuk menonton filem murah, satu tiket untuk dua atau tiga filem. Ini filem lama yang diputar kembali.

Lama juga aku tak bertemu Janina.

Aku rasa dia berpacar dengan Abang Eric hampir setahun.

Tiba-tiba aku dengar Janina nak balik ke Malaysia.

Apa terjadi? Apakah dah bosan dengan kota London?

Soalan ini tidak aku tuntaskan.

Mungkin visa kerja sudah mati.

Mungkin Abang Eric hanya berani masuk Melayu. Tapi tak berani jadi Melayu.

Mungkin Janina rindu pada Nasi Kandar Tanjung Tokong.

Semua mungkin. Aku enggan menjadi James Bond.

Ketika ini hidup aku mengikut rutin dan agak tidak banyak drama.

Tiba-tiba satu hari aku terima panggilan telefon dari Kuala Lumpur.

“Sham…. kau di rumah lama? Bromley-by–Bow…boleh numpang?” Suara Janina.

“Bila nak datang? Datang laaa… sofa ada.”

Aku amat gembira bila ada orang dari Malaysia nak sampai. Aku akan memesan petai dan kopi Hang Tuah.

“Nigel sampai dulu, numpang rumah kau… dia akan cari kerja dulu… kemudian cari rumah untuk kami… lepas dapat kerja… dapat rumah aku datang. Nigel ni laki aku…. kami dah kahwin…ini kahwin betul.”

Aku turut gembira. Aku senang hati dapat berjumpa teman lama untuk berlabun di London.

Aku juga amat gembira akhirnya Janina berkahwin.

Jantan dari Wales ini sampai dan terus menginap di rumah aku.

Aku memotong satu anak kunci baru untuk Nigel.

Tidak sampai satu minggu Nigel dapat kerja dengan majalah Popular Photography di luar kota London.

Nigel juga dapat menyewa sebuah flat di Brixton.

Semua beres untuk pasangan yang baru mendirikan rumah tangga.

Janina sampai kembali ke New Mill House.

“Apa terjadi?”

“Ha ha ha… romantik kisahnya. Kali ini tak perlu Time Out, tak perlu Hotel Waldroff.” Janina memulakan surah.

“Mana kau jumpa dia?”

“Di McDonald’s Bangsar.”

Sebenarnya aku tak tahu di mana letak tempat ini.

Aku sudah berbelas tahun tidak melihat Kuala Lumpur.

Ketika aku meninggalkan Kuala Lumpur pada tahun 1974, sebahagian dari Bukit Bangsar masih lagi kebun getah.

Malah aku sendiri pernah naik ke Bukit Bangsar yang berhadapan dengan Kolej Kelima Universiti Malaya.

Aku pernah menceroboh memecah tingkap kaca bangunan lama yang mungkin rumah Manager Estate ini.

Tahun 1974, McDonald’s belum sampai ke Malaysia.

“Malam itu… aku pulang dari Jalan Riong …. Nigel sedang beratur di belakang aku untuk membeli burger… di sini kami bertegur sapa…. yang lainnya sejarah.”

“Wow… romantik betul laaaa.” Aku ketawa.

“Nigel ada dua anak… dia duda…keluarga lamanya di Wales… dia mendapat ijazah kedua dari Cambridge dalam bidang ekologi.” Janina bersurah.

“Wow…. hebat… I’m happpy for you.”

“Kami kahwin di Golok… kerana surat cerai aku dah hilang… Nigel kata di London ni kami wajib mendaftar sebagai suami isteri di Jabatan Pendaftaran…untuk aku mendapat visa rasmi sebagai penduduk tetap.”

Janina menerangkan duduk perkara.

Dua minggu kemudian Janina dan Nigel mendaftar sebagai suami isteri.

Tidak ada dakwa dakwi.

Nama Janina sudah lama dipaparkan di papan maklumat di pejabat Kedutaan Malaysia.

Ini wajib dilakukan sebelum dapat pendaftaran dari Jabatan Pendaftaran United Kingdom.

Ketika nama ini dipaparkan, jika ada bantahan aku ada sosok yang dakwa Janina sebagai isteri mereka maka mereka boleh membuat bantahan.

Semua beres. Hari Sabtu selepas pendaftaran Janina dan Nigel mengadakan kenduri kecil di flatnya di Brixton.

Aku menjadi tukang masak.

Aku ingat lagi masakan kenduri kahwin ini.

Aku masak gulai lemak labu, gulai ikan Mackerel berlada, ayam panggang dan ratatouille, masakan sayur cara Perancis yang aku belajar di Belgium.

Kawan-kawan rapat Janina, warga Malaysia yang datang.

Tamu tak sampai 10 orang termasuk mak mentua Janina yang terperanjat bila dia tahu aku yang menjadi tukang masak.

Epilog 1:

Bila aku pulang ke Malaysia pada tahun 1994, Janina dan Nigel adalah sosok akhir yang aku tinggalkan di Brixton.

Epilog 2:

Pada tahun 1997, Janina dan Nigel pulang ke Malaysia.

Mereka menginap di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Untuk merayakan kawan lama, aku menjemput beberapa kawan datang makan di flat di Bukit Robson.

Malam itu aku masak kupang yang aku beli di Melaka. Kupang atau moules adalah makanan nasional Belgium negara lama aku.

Kenduri kecil malam itu aku memasak kupang mengikuti resipi Belgium.

Aku campur dengan air anggur putih.

Apa punya nasib Janina dan Nigel dan seorang lagi kawan aku sakit perut makan kupang pada malam itu.

Dua hari Janina dan Nigel tidak meninggalkan bilik hotel disebabkan sakit perut.

Epilog 3:

Phillipa dan Janina terus menjadi kawan baik.

Phillipa datang menziarah Janina di Kuala Lumpur. Ini sebelum Janina bertemu dengan Nigel.

Babak ini menjadi sebuah cerita pelik tapi benar.

Phillipa terbang dari Heathrow ke Subang dengan pesawat MAS.

Duduk di sebelah Phillipa seorang jantan Perancis keturunan Laos bernama Khamla yang dalam perjalanan ke Vientiane.

Keluarga Khamla lari dari Laos ke Perancis kerana bencana perang ketika Khamla berumur lima tahun.

Phillipa dan Khamla membuktikan bahawa betina tak perlu tercari-cari jantan.

Dan jantan tak perlu tercari-cari betina.

Phillipa dan Khamla yang berjumpa dalam kapal terbang MAS akhirnya menjadi suami isteri.

Pasangan ini dihadiahkan tiga cahaya mata dan kini tinggal di Paris. Hidup bahagia, aman dan damai.

Epilog 4:

Semua nama-nama dalam tulisan ini diubahsuai untuk tidak mengganggu privasi masing-masing.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles

Cinta dan janji Izabella

Cinta Baghdad

Tumpang glamour

Cinta tak berbalas

Niat baik, jalan ke neraka