- Iklan -
Kolum

Syurga Abdul Razak Gurnah

Apa yang mengesankan buat saya, bertahun-tahun lalu ketika membaca Paradise ialah pertentangan, wacana atau perbalahan sikap mengenai tradisi Islam yang pelbagai.

Faisal Tehrani
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Saya pertama kali mendengar nama, dan membaca karya Abdul Razak Gurnah, seorang novelis dari Tanzania, kira-kira 15 tahun lalu.

Itu, kerana salah sebuah karyanya (dari total 10 buah), berjudul Paradise dicalonkan Hadiah Booker tahun 1994.

Justeru, apabila terdapat andaian kuat yang penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 2021 adalah dari Afrika, saya memang terlupakan langsung nama beliau.

Nama yang lebih menonjol tentulah Ngũgĩ wa Thiong’o sarjana dan pengarang besar Kenya yang meski boleh menulis dalam bahasa Inggeris, memilih secara politiknya untuk mengarang dalam bahasa suku Gikuyu untuk menyelamatkannya dari kepupusan.

Juga, dalam benak saya ada nama Scholastique Mukasonga, pengarang Rwanda yang banyak menulis mengenai masalah rasial di negaranya.

Ini kerana Mukasonga menulis hal-hal politikal, sesuatu yang dimesrai badan pemilih di Stockholm itu.
Nama Abdul Razak terlupakan langsung.

Akan tetapi, Hadiah Nobel Kesusasteraan yang memang masyhur dengan keterserempakan menamakan Abdul Razak untuk anugerah besar itu bagi tahun 2021.

Beliau disebut-sebut sebagai jaguh dalam menyuguhkan kesan-kesan kolonialisme dan nasib pelarian Afrika.

Kesan migrasi terhadap budaya dikatakan merupakan topik dan subjek dominan dalam tulisan Gurnah, dengan tumpuan timur Afrika.

Hal ini mungkin mencerminkan diri beliau sendiri yang lahir di Zanzibar pada tahun 1948, berpindah ke Britain pada tahun 1960 dan menulis dalam bahasa Inggeris.

Gurnah ada darah Arab Zanzibar, adalah profesor kesusasteraan pasca kolonial di Universiti Kent, Canterbury.

Di media sosial, sebaik sahaja diumumkan sebagai penerima hadiah besar itu, yang kelihatan beramai-ramai meraikan bukan pengamat dan penikmat sastera yang mungkin sedikit gamam dengan pilihan Nobel, tetapi lebih kepada bekas para pelajar Gurnah yang pernah belajar di Kent.

Sebagai orang yang membaca hanya sebuah karya Gurnah, iaitu Paradise (1994) sukar untuk saya menilai dan menjelaskan kekuatan Abdul Razak, seorang pengarang Muslim.

Saya difahamkan, selain Paradise, antara karya beliau lain yang diingati ramai ialah By the Sea (2001), juga calon Booker dan terkini Afterlives, yang menyorot kesan penjajahan Jerman di timur Afrika awal abad ke-20.

Namun demikian, cukup dengan sebuah karya Gurnah yang pernah saya baca itu, agaknya saya dapat mengandaikan kekuatan dan sentuhan beliau yang mengecurliur juri Hadiah Nobel.

Daerah Zanzibar di Tanzania adalah sebuah daerah yang diwarna aneka budaya, pluraliti etnik kerana percampuran dengan penghijrah dari India, dan orang-orang Arab dari Kuwait, Oman, Qatar dan Saudi.

Juga dengan mereka dari rantau benua Afrika yang lebih ke dalam, iaitu orang-orang natif Afrika yang dipenuhi pelbagai suku kaum yang kadang tidak pernah kita dengari.

Paradise yang saya baca itu mengisahkan nasib Yusuf yang dijual kepada lelaki bernama Abdul Aziz kesan kerana bapanya gagal membayar hutang.

Sebagai hamba hutang kisah Yusuf yang berpindah tangan dari satu tuan ke satu tuan, dan kisah dia berkelana memenuhi tuntutan tuannya ke beberapa daerah terdalam Afrika di tengah-tengah ketibaan kuasa Eropah kuat mengingatkan saya dengan karya-karya ShahnonAhmad, yang juga menggunakan protagonis anak remaja.

Sebagai pengarang beragama Islam, tentu sahaja Gurnah banyak merujuk teks al-Quran; dan juga hikayat-hikayat magis fantasi seperti Hikayat Seribu Satu Malam, dan lebih menggugah dengan memberi identiti tersendiri ialah rujukan teks-teks Swahili.

Jadi memilih Gurnah semacam dapat membakulkan semua tuntutan pengamat sastera yang sering mengkritik Nobel terlalu Eropah.

Dengan Gurnah, beliau seorang Islam, seorang Afrika, seorang celupan Barat, seorang akademia, seorang maestro sastera (kerana mantan Profesor), dan sebagai seorang sasterawan yang tidak terlalu ternama (Nobel mengelak pengarang yang terlalu ada nama).

Gurnah semacam pakej 2021.

Apa yang mengesankan buat saya, bertahun-tahun lalu ketika membaca Paradise ialah pertentangan, wacana atau perbalahan sikap mengenai tradisi Islam yang pelbagai.

Gurnah memahamkan kita bahawa agama Islam bukan satu jalur dan jurus, malah pembudayaan setempat memberikan Islam citarasa yang kuat.

Watak seperti seorang Singh (Benggali) menafsir dan menerjemahkan al-Quran misalnya, menurut saya, kalau dihadirkan di negara ini tentu sahaja mencetus keghairahan berbeza iaitu menarik minat golongan kanan dengan penuh kebencian.

Paradise memberikan kesan mendalam buat saya memandangkan Yusuf yang dipisahkan dari ibu dan bapanya kesan berhutang dihambakan oleh seorang lelaki Islam.

Pada satu ketika, setelah berpindah tuan dengan seorang pekedai bernama Hamid, berlaku kegemparan kerana Yusuf tidak tahu membaca al-Quran.

Gurnah dengan bijak menyelit perspektif Islam Timur Afrika, dengan pendapat-pendapat yang objektif mengenai penjajahan dan kolonialisme minda kuasa Barat di wilayah itu.

Di sela pengalaman sedih Yusuf sebagai hamba hutang, kita disuguh dengan memori timur Afrika Gurnah yang mendebarkan.

Membaca Paradise seingat saya menyeronokkan, kerana ia tidak seperti karya penerima Nobel lain yang semacam disengajakan menjadi sulit dan bersimpang siur. Membaca Gurnah mudah.

Yang membuatkan Abdul Razak kurang dikenali dalam kalangan penggemar sastera dunia mungkin kerana dalam tempoh beberapa dekad kerjayanya sebagai pengarang itu, Gurnah tidak begitu prolifik ekoran beliau sendiri seorang ahli akademik yang banyak menulis pula kerja-kerja ilmiah.

Bahkan beliau ada menulis dan menyusun kerja akademik mengenai pengarang seperti Salman Rushdie yang saban tahun disebut-sebut namanya sebagai boleh menerima Hadiah Nobel.

Cuma nampaknya panel hadiah tersebut lebih tertarik dengan orang yang mencalonkan, dan bukan yang dicalonkan.

Baru-baru ini apabila Gurnah dinobatkan sebagai penerima Hadiah Nobel, lebih seratus pengarang ternama Afrika mengeluarkan satu kenyataan mengalu-alukan Gurnah.

Wole Soyinka, yang sebelum ini bersama-sama Naguib Mahfodz pernah menerima Nobel lekas sekali mengalu-alukan kejayaan itu sebagai “Nobel pulang ke Afrika.”

Naguib jarang dianggap sebagai pengarang dari Afrika mungkin kerana beliau dari Mesir dan lebih dianggap mewakili kesusasteraan Arab.

Jadi validasi Soyinka memang penting.

Gurnah sebagai pengarang Muslim kedua (selepas Mahfodz) yang menerima Nobel, tentu sahaja akan mendorong banyak audien sastera meneliti sikap dan sanggahannya mengenai Islam yang diwarnai kolonialisme.

Tambahan pula suara Gurnah itu akan dianggap mewakili masyarakat penghijrah muslim di United Kingdom.

Pun begitu, sesetengah pengamat sastera mungkin menganggap Abdul Razak tidak cukup Afrika.

Beliau kini menetap di United Kingdom, menulis dalam bahasa Inggeris mengenai Afrika (dari jauh), dan agak terasing dari generasi muda Afrika yang menggulati pelbagai cabaran baru di benua itu.

Ini juga bermakna tidak ada perubahan yang benar-benar dikatakan perubahan dari Hadiah Nobel dalam menilai penerima anugerah tersebut.

Ini kerana, pengarang natif yang menulis dalam bahasa ibunda, katakan seperti Ngũgĩ wa Thiong’o masih keciciran.

Oleh sebab pengarang yang diiktiraf itu menulis dalam bahasa kolonial mengenai kesan kolonialisme, ia membibitkan pertanyaan ambiguiti yang relevan.