Friday, October 22, 2021

Jikalau Said Zahari itu Maria Ressa

Pengiktirafan itu sesungguhnya sangat berguna untuk menjadi pangkalan lancar untuk melawan dan melakukan tuntutan kemanusiaan yang lebih bermakna, tentunya.

Other News

Baru-baru ini apabila Maria Ressa diumumkan sebagai penerima Hadiah Nobel 2021 untuk keberanian jurnalismenya, hati saya menjadi sayu dan serta-merta teringatkan Said Zahari.

Ada sesetengah aktivis dan tokoh memang bernasib baik, kerana mereka mendapat perhatian sejagat, diberi sorotan penuh cahaya neon; lantas membawa kepada pengiktirafan besar.

Pengiktirafan itu sesungguhnya sangat berguna untuk menjadi pangkalan lancar untuk melawan dan melakukan tuntutan kemanusiaan yang lebih bermakna, tentunya.

Kita tahu Maria Ressa akan melakukan itu.

Said adalah antara tokoh dan aktivis yang tidak bernasib baik; tiada cahaya terang menyuluh riwayat perjuangannya.

Dan dia terabai. Saya tidak fikir generasi muda hari ini mengenali almarhum.

Said adalah bekas ketua pengarang akhbar Utusan Melayu dan seorang pejuang kebebasan media.

Selain menulis memperjuangkan kemerdekaan, menolak kolonialisme Barat, Said juga mengkritik pimpinan Malaya dan Singapura ketika itu kerana agak memberi muka kepada Inggeris.

Pada tahun 1961, Said antara pemuka Utusan yang bertahan dan melawan usaha Umno untuk menguasai Utusan Melayu.

Said berpendirian akhbar harus jadi lidah bebas.

Beliau memimpin Mogok Utusan, dan mengakibatkan jualan akhbar itu jatuh teruk.

Apabila Said ke Singapura untuk mencari sokongan, beliau diharamkan dari kembali ke Malaysia, menyebabkan beliau terlantar di republik tersebut sebaik pemisahan Malaysia dan Singapura.

Mogok Utusan pula berakhir mendadak.

Said kemudian menyertai politik, dan cenderung kepada aliran kiri.

Akibatnya beliau dipenjarakan dengan tuduhan tidak benar.

Beliau dipenjarakan selama 17 tahun di bawah ISA, di pusat tahanan Moon Crescent, Penjara Changi dan Pulau Ubin.

Said hanya dibebaskan pada 22 Ogos 1979, dikurung sejak tahun 1962 tanpa bicara.

Tahun 1989, dengan bantuan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, Said dibenarkan kembali ke Malaysia dan menjadi penulis tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia antara tahun 1996-1999.

Jika kita membandingkan derita Said, dan Maria tentunya tidak terucapkan.

17 tahun dibelakang jeriji besi dan dilupakan bukanlah sesuatu yang indah.

Said malah tidak dikenali dalam tempoh itu, apatah lagi mendapat perhatian antarabangsa.

Sungguh menyayat hati menjadi nama terbuang.

Satu yang kurang diketahui orang ialah Said juga berbakat, malah sangat hebat, dalam menulis puisi.

Ada sekumpulan puisi beliau yang dikarang dalam penjara.

Kumpulan puisi terbitan 1973 itu dinamai “Puisi Dari Penjara” dan disusun untuk penerbitannya oleh Sasterawan Negara Usman Awang, dengan bantuan Syed Husin Ali.

M K Rajakumar dalam prakata kumpulan puisi tersebut menyatakan: “Mogok wartawan dan pekerja yang berikutan ialah suatu epos, mogok besar pertama yang dilancarkan oleh pekerja Melayu dan salah satu daripada yang paling panjang dalam sejarah kita. Soal penting kebebasan pengarang telah terancam, akan tetapi akhbar-akhbar tempatan yang terpaksa membaharui lesen tiap-tiap tahun membisu saja, dan wakil-wakil dari akhbar-akhbar Barat yang kebetulan bersidang di Kuala Lumpur masa itu kehilangan kata-kata walhal soal ini adalah soal kebebasan persuratkhabaran di bawah sebuah kerajaan yang tunduk kepada Barat. Penguasa-penguasa baru Utusan Melayu dan politikus-politikus Melayu sayap kanan – oleh kerana mengharapkan ketaatan feudal dan juga sebagai suatu kejian ke atas diri sendiri – tidak percaya bahawa pekerja-pekerja Melayu boleh bertahan begitu lama. Mereka bertahan lebih dari 100 hari sebelum mereka dihancurkan dengan putar belit dan tindakan polis. Sebelum pemogokan tamat Said Zahari telah tidak dibenarkan pulang setelah melawat Singapura, atas alasan bahawa beliau dilahirkan di Singapura. Sebenarnya Utusan Melayu sendiri telah dilahir dan diterbitkan mula-mulanya di Singapura.”

Puisi-puisi penjara oleh Said memang berapi.

Saya tidak pernah menemukan puisi sedemikian berkuasa dari mana-mana penyair Melayu kecuali daripada Said, Usman dan Kassim Ahmad.

Bekas ketua pengarang Utusan Melayu, Said Zahari.

Yang lebih sedih ialah kebanyakan puisi Said itu diseludup keluar sebagai catatan hari raya pada kad Aidil Fitri kepada ahli keluarganya.

Dalam sebuah puisi berjudul “Jeritan”, kita membaca Said memujuk dirinya sendiri saat lelah dalam kurungan:

Di suatu ketika kurasa dunia akan kiamat,
Seluruh anggotaku seakan berkecai,
Tipislah segala harapan,
Musnah segala impian.

Tetapi demikianlah kebangkitan,
Tiba-tiba telingaku mendengar ombak suara,
Jeritan semakin keras semakin nyaring,
Ombak suara rakyat jelata.

Bukan kiamat yang akan tiba,
Itulah api perjuangan kian menyala,
Menjilat segala kejahatan penindasan,
Jeritan yang memberiku sejuta tenaga,
Semangat baru di jiwaku,
Dari suara rakyat tercinta.

Dalam sebuah puisi lain, Said merintih kerana tidak dapat menemui anaknya yang baru dilahirkan. Puisi berjudul “Kelahiran Tanpa Kebebasan” itu amat mencekam:

Bukanlah aku tidak lapar,
Aku menolak makanan,
Atau aku tidak mengantuk,
Maka aku terus berjaga.

Telingaku terus mendengar,
Tangisan seorang bayi.

Berbulan dalam kesepian,
Itulah punca kebimbangan,
Berjam lamanya ke detik ini,
Itulah debaran tanpa akhirnya.

Lalu datanglah berita,
Ketibaan anak kecilku.

Akulah ayahnya,
Kebebasanku telah dirampas,
Duniaku semakin kecil,
Menjadi sebuah penjara yang gelap.

Anakku baru lahir,
Ke dunia yang belum bebas.

Kesengsaraan Said dan kekuatan mentalnya untuk tidak mengalah sangat luar biasa.

Dapat dikatakan Said, adalah Nelson Mandela milik kita.

Jika kita membaca puisi Said kepada isterinya, yang ditulis pada kad hari raya tahun 1969, terasa sungguh menghiris. Puisi pada kad raya itu diberi judul “Airmata”:

Kulihat airmata mengalir di pipimu,
Berkilau bagaikan berlian,
Indah laksana gemerlapan bintang,
Di langit malam yang cerah.

Kulihat kesedihan,
Menari bersama nada sedumu,
Jantungku kencang debarnya, bibirku menggeletar.

Kemudian kulihat keberanian,
Keyakinan dan kegigihan,
Menjenguk di sebalik kesedihan,
Betapa kejam, betapa zalim,
Demikian tinggi, demikian luas,
Pemisahan antara kita ini,
Begitu lama!

Namun dalam semangat kita adalah satu,
Seperti selalu,
Terjalin dalam ikatan tak terleraikan,
Akan cinta dan kerinduan pada keadilan,
Bukan tembok penjara ini,
Tidak jua seratus tahun dalam kurungan,
Bisa melemahkan cintaku.

Said berpendapat Rusuhan 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur adalah satu langkah tersembunyi untuk terus berkuasa, dalam erti kata lain, beliau seakan percaya kejadian itu merupakan satu pementasan politik yang menghempuk kita rakyat. Dalam puisi “Tangan-tangan Yang Tersembunyi”, Said menukilkan begini:

Sekali lagi,
Sejarah berulang kembali,
Dengan kelakuan liar,
Dalam zaman tamadun.

Sekali lagi,
Tangan-tangan tersembunyi muncul,
Mencari darah,
Si miskin dan si melarat.

Sekali lagi,
Warna, bangsa, ugama dan bahasa,
Menjadi mata pisau tajam,
Digunakan mencucurkan darah.

Itukah yang terjadi,
Di setiap sudut bumi ini,
Sebilangan kecil makan roti,
Dan yang lain mengunyah pasir.

Itulah yang terjadi,
Sebilangan kecil berpakaian baldu,
Tidur di istana,
Yang lainnya berbogel, berasakan di gubuk-gubuk usang,

Itulah yang terjadi,
Lalu muncullah tangan-tangan tersembunyi,
Mencucurkan darah si miskin,
Untuk bertahan dalam kekuasaan.

Dalam buku puisi ini juga memuatkan sebuah puisi Usman sebagai sebuah epilog.

Judul puisi ini “Salut untuk Said Zahari: Sepuluh Tahun di Penjara Politik Singapura”. Ia sebuah puisi yang sungguh luarbiasa menggugah jiwa yang membacanya:

“Berapa banyakkah darah mengalir,
Tulang yang patah tak terhitung,
Bertaburan di lantai bisu ini,
Di Pulau Singapura.

Di mana-mana di bumi ini,
Tulang patah airmata darah,
Kerana di mana-mana di bumi ini,
Ribuan penjara dan
Jutaan si berani.

Atas nama ‘Keselamatan Umum’,
Penuhlah penjara ngeri melindungi
Keselamatan mereka segelintir jumlahnya;
Atas nama ‘undang-undang’,
Rakyat dirompak dan dicandui
Sambil meneriakkan ‘demokrasi’.

Di mana-mana di bumi ini,
Si penjenayahlah memulakan perang,
Penjara dibinanya untuk mengancam;
Tapi di mana-mana di bumi ini,
Sekali Rakyat bersuara bertindak,
Tiada tangan menahan ombak,
Lojika Rakyat lojika sejarah manusia.

Saudara,
Telah tiga ribu hari rebah,
Rebah di kaki pemerintah yang goyah,
Keyakinan dan keberanian mengheretmu lagi,
Ribuan hari berdiri di penjara ngeri.

Suaramu dari penjara Singapura:
“Mereka akan berkembang
Menghancurkan manusia biadab
Dan rakyat nanti
Tiada takut lagi.”

Salut untuk Said Zahari
Salut untuk mereka yang berani!

Saya pernah membaca satu kenyataan daripada anak arwah, Roesman Mohd Said yang menjelaskan Allahyarham Said ada menyimpan angan-angan untuk melihat hubungan antara kaum di Malaysia kembali seperti zaman mudanya.

Kata Roesman, “Arwah ayah sering bercerita di mana pada ketika mudanya, orang Cina, Melayu dan India boleh duduk semeja, makan dan berbual tanpa ada sebarang perasaan prejudis dan syak wasangka (dan) arwah ayah nak suasana ketika itu kembali ke negara ini.”

Said meninggal dunia dalam tahun 2016 tanpa apa-apa pengiktirafan atas pengorbanannya yang sungguh besar dan luar biasa.

Tiada Hadiah Nobel, tiada pujian dan pujaan; tak ada penghargaan; malah dokumentari mengenai beliau dilarang untuk siaran.

Sungguh memilukan.

Untuk jasa beliau yang hebat ini, moga-moga langit memandang, meski; meskipun bumi tidak peduli.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles