- Iklan -
Rencana

Belanjawan 2022 mesti utamakan kemampanan dalam pemulihan ekonomi

Kerajaan perlu memajukan konsep ekonomi kitaran, memilih pembangunan rendah karbon dan mempertingkatkan daya ketahanan negara dalam menangani perubahan iklim dan bencana.

Meenakshi Raman
4 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan salah satu tapak pembinaan yang telah mula beroperasi untuk projek pembangunan di kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara. Demi menjaga kelestarian alam, pembangunan mampan perlu ditekankan dalam Belanjawan 2022.
Pemandangan salah satu tapak pembinaan yang telah mula beroperasi untuk projek pembangunan di kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara. Demi menjaga kelestarian alam, pembangunan mampan perlu ditekankan dalam Belanjawan 2022.

Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) telah menekankan tindakan “melonjakkan kemampanan”’ sebagai sebuah tujahan yang penting di dalam trajektori pembangunan negara kita, yang mana ini termasuklah tindakan memajukan konsep ekonomi kitaran, memilih pembangunan yang rendah karbon dan mempertingkatkan daya ketahanan negara dalam menangani perubahan iklim dan bencana.

Semua ini adalah aspirasi yang diperlukan dalam menuju masa hadapan yang lebih hijau dalam membaik pulih ekonomi kita. Namun begitu, di dalam usaha kita untuk melaksanakan semua ini, sebagai langkah pertama, kita memerlukan Belanjawan 2022 memberikan isyarat yang betul dan mengupayakan pelaksanaan perkara- perkara tertentu, agar RMK12 ini dapat diterjemahkan kepada tindakan. Justeru itu, berikut adalah beberapa perkara utama untuk mendorong tindakan-tindakan yang diperlukan:

Mempertingkatkan peruntukan insentif yang betul kepada negeri-negeri untuk perlindungan ekosistem

RMK12 mengakui pemuliharaan ekosistem semulajadi adalah sebuah strategi utama untuk melonjakkan kemampanan, dengan memastikan bahawa habitat-habitat semula jadi dapat dilindungi dan ekosistem mereka tidak terpecah-pecah.

Pemuliharaan ekosistem daratan, air, pantai dan kawasan marin semestinya dipertingkatkan, dengan kesedaran bahawa inisiatif seperti ini akan meningkatkan ketahanan dan kemampuan setiap ekosistem untuk terus memainkan pelbagai fungsi sokongan hayat dan perkhidmatan ekologi, termasuklah dalam menangani perubahan iklim dan mengekalkan sumber air yang berharga.

Untuk menggerakkan strategi utama ini, Belanjawan 2022 mestilah meningkatkan insentif kewangan dan peruntukan kepada negeri-negeri, agar mereka dapat melaksanakan apa yang perlu mereka laksanakan. Tanpa menambahbaik kaedah pemberian geran persekutuan kepada negeri-negeri, ekosistem semulajadi kita akan terus terancam oleh penukaran guna tanah, untuk apa yang sering diwar-warkan sebagai projek pembangunan, tetapi yang akhirnya hanya akan menjejaskan kemampuan negara untuk menggerakkan agenda kemampanan ini.

RMK12 ada menyatakan bahawa dalam usaha untuk memberikan insentif kepada negeri-negeri dalam usaha pemuliharaan alam mereka, mekanisma “Pemindahan Fiskal Ekologi” akan ditubuhkan, serta “Dana Amanah Pemuliharaan Negara” perlu diperkukuhkan lagi. Mekanisma ini memerlukan lebih banyak peningkatan sumber kewangan.

Salah satu sumber kewangan ini adalah “sukuk hijau”. Kami berbesar hati  setelah mengetahui dari RMK 12 bahawa pada April 2021,  kerajaan telah mengeluarkan terbitan sukuk kelestarian berdaulat dalam dolar Amerika Syarikat yang pertama di dunia, yang telah menjana sebanyak AS$1.3 bilion dan telah menerima lebihan langganan. Sumber dana lain juga boleh didapati di peringkat antarabangsa untuk perlindungan iklim dan biodiversiti; kerajaan mestilah mengambil kesemua peluang ini dengan segera.

Peningkatan insentif kewangan kepada negeri-negeri ini pula mestilah diikuti dengan menambahbaik Akta Perhutanan Negara 1984 (APN) dan undang-undang konservasi yang lain. Ini termasuklah mengadakan pendengaran awam mandatori sebelum sebarang penyahwartaan hutan simpanan dan kawasan yang dilindungi sepenuhnya dilakukan. RMK12 telah menggambarkan bahawa sememangnya terdapat gesaan untuk pihak negeri-negeri untuk melaksanakan proses ini. Maka, menambah baik APN dan undang-undang konservasi yang lain merupakan sebuah tindakan yang kritikal, di dalam membenarkan negeri-negeri untuk melaksanakan proses ini.

Ke arah pembangunan rendah karbon dan peningkatan daya tahan iklim

Dalam aspirasi kita ke arah ekonomi rendah karbon, RMK12 telah mengenalpasti bahawa sistem perletakan harga ke atas karbon (carbon pricing) sebagai sebuah alat yang penting. Ia telah menyatakan bahawa kajian kebolehlaksanaan akan dilakukan dalam menggunapakai dasar seperti cukai karbon dan Skim Perdagangan Pelepasan GHG (Emissions Trading Scheme – ETS).

Kajian kebolehlaksanaan itu amat perlu disegerakan untuk mengkaji kedua buah cadangan ini. Adalah diharapkan bahawa Belanjawan 2022 akan membuat peruntukan untuk hal ini. SAM di masa lalu telah menyokong pengenalan cukai karbon; perkara ini masih berada di dalam pertimbangan kerajaan buat masa ini.

Apabila mengambil kira kesan pandemik Covid ke atas ekonomi, adalah penting untuk kita menilai bagaimana untuk mengenakan cukai karbon yang tidak membebankan golongan miskin tetapi masih berupaya untuk memastikan bahawa sasaran utamanya adalah para pencemar besar. Selera politik untuk cukai karbon mungkin belum lagi wujud buat waktu ini, tetapi kajian kebolehlaksanaan ini masih diperlukan supaya ia boleh diperkenalkan dalam masa terdekat.

Namun begitu, SAM amat bimbang tentang cadangan penubuhan ETS, memandangkan kerajaan tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam melaksanakannya; peraturan, pemantauan dan pengawasan amat diperlukan untuk mengelakkan penipuan, spekulasi dan salah urus dalam perdagangan karbon.

Malah di Eropah, sistem ETSnya juga telah menerima banyak kritikan dan pemerhatian terperinci. Perundingan yang mendalam dan perbahasan masih diperlukan sebelum usaha ini diteruskan.

Sebuah lagi perkara kritikal adalah keperluan kita untuk menambahbaik segala sumber dalam mempertingkatkan ketahanan negara dalam menangani perubahan iklim dan bencana. RMK12 telah mengenal pasti keperluan untuk mengguna pakai pendekatan bersepadu bagi adaptasi iklim dan pengurangan risiko bencana. Lebih banyak sumber kewangan diperlukan untuk mempercepatkan pembangunan dan pelaksanaan pelan adaptasi negara serta mempertingkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana dan pemulihan. Kita tidak dapat menangguhkan tindakan ini, jika kita mahu mengelakkan bencana selanjutnya.

Ekonomi kitaran

Dalam usaha untuk mempercepatkan peralihan kepada ekonomi kitaran seperti yang ditekankan dalam RMK12, kita mestilah mengenakan cukai dan bayaran terhadap pelbagai produk yang mencemarkan, seperti yang telah diperkenalkan di banyak negara; seperti bateri, beg plastik, tayar dan produk guna buang. Cukai yang tinggi mestilah dikenakan ke atas produk guna buang sekali guna buat sementara waktu, di dalam jangka waktu untuk menghentikan penggunaannya, sebelum pengharaman penuh dilaksanakan.

Skim pengembalian deposit boleh dilaksanakan, terutamanya untuk bekas minuman dan makanan, di mana pengguna dikenakan bayaran apabila produk dibeli dan bayaran akan dikembalikan semula kepada mereka apabila produk atau bungkusan tersebut dikembalikan.

Meningkatkan sumber untuk mengukuhkan tadbir urus alam sekitar

RMK12 menekankan keperluan untuk mengukuhkan tadbir urus alam sekitar, dan kami bersetuju bahawa ini sememangnya menjadi keutamaan yang mendesak.

Dalam hal ini, lebih banyak sumber kewangan tambahan diperlukan untuk menambahbaik dan mengukuhkan agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap penguatkuasaan dan pemantauan alam sekitar dan sumber semulajadi, terutama sekali Jabatan Alam Sekitar. Bencana alam sekitar yang kita saksikan dalam beberapa waktu ini berkait rapat dengan pencemaran toksik dan sisa memerlukan peningkatan sumber manusia dan kewangan, termasuklah penggunaan peralatan pengesan yang lebih besar dan teknologi untuk menangkap penjenayah alam sekitar.

Hal-hal di atas adalah antara sebahagian dari perkara yang memerlukan perhatian daripada pihak kerajaan dalam melonjakkan agenda kemampanan negara.

Meenakshi Raman adalah presiden Sahabat Alam Malaysia

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow