- Iklan -
Rencana

WWF sambut baik komitmen kerajaan utamakan pembangunan mampan

Penyelesaian berasaskan alam semula jadi harus digunakan secara strategik oleh kerajaan untuk menghadapi pelbagai cabaran alam sekitar dan masyarakat.

Tabung Alam Malaysia
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang penduduk tempatan suku Temuan, Ramlan Koyok berjalan menyusuri Hutan Simpan Kuala Langat Utara.
Seorang penduduk tempatan suku Temuan, Ramlan Koyok berjalan menyusuri Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Tabung Alam Malaysia (WWF-Malaysia) menyambut baik langkah kerajaan dalam memberi komitmen bahawa negara ini akan menjadi neutral karbon seawal-awalnya pada tahun 2050.

Selain itu, WWF-Malaysia menyokong tindakan kerajaan memberi keutamaan kepada agenda pembangunan negara secara mampan, selaras dengan Agenda 2030 yang dipersetujui oleh semua ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2015.

Perkara ini diumumkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada minggu lepas dengan objektif “Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan”.

Bagi mencapai agenda pembangunan mampan, perdana menteri berkata bahawa kerajaan akan bekerjasama dengan pihak swasta, di samping memperkenalkan instrumen ekonomi seperti carbon pricing” dan cukai karbon. Tambahnya, kerajaan memberi komitmen untuk tidak lagi membina loji janakuasa arang batu yang baru.

Seterusnya, pertubuhan masyarakat sivil atau CSO diiktiraf Kerajaan sebagai rakan pembangunan dan akan diinstitusikan dalam pelbagai mekanisme tadbir urus, terutama dalam pelaksanaan dan pemantauan bagi mencapai Agenda 2030.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Sophia Lim, mengalu-alukan RMK12 yang memberi penekanan kepada usaha untuk mempercepat pertumbuhan hijau.

Lim bersetuju bahawa pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan CSO perlu bekerjasama ke arah mencapai kemampanan, terutamanya ketika krisis iklim melanda.

Katanya, penyelesaian berasaskan alam semula jadi harus digunakan secara strategik untuk menghadapi pelbagai cabaran alam sekitar dan masyarakat.

“Tindakan bersepadu penting dalam menangani perubahan iklim dan risiko berkaitan alam sekitar. Faktor ini harus dipertimbangkan dalam semua perkara termasuk pembangunan mampan serta bidang tadbir urus. Ia berkait rapat usaha menangani kemiskinan, masalah kesihatan, pengangguran serta memastikan kesaksamaan jantina dan kesejahteraan ekonomi,” jelasnya.

Lim berkata dengan merangka adaptasi dan mitigasi perubahan iklim, ia turut membantu usaha menangani isu lain seperti jaminan makanan atau “food security”, serta kesejahteraan dan keperluan hidup kumpulan B40.

“WWF-Malaysia sentiasa bersedia untuk membantu Kerajaan dan rakan kongsi bagi mencapai matlamat pembangunan mampan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” tambahnya.

Tabung Alam Malaysia merupakan sebahagian daripada rangkaian WWF, sebuah pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa yang berusaha untuk memastikan kelestarian alam semula jadi bagi manfaat manusia dan hidupan liar.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow