- Iklan -
Kolum

Jantan tanpa betina, betina tanpa jantan

Apa yang dicari oleh jantan dan betina ialah seks.

Hishamuddin Rais
8 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Aku tak teringat di mana aku khatam membaca kitab “Men Without Women”, “Jantan Tanpa Betina” atau terjemahan lebih sopan “Lelaki Tanpa Perempuan”.

Apakah aku khatam sekali lagi ketika dalam tahanan di Kem Kamunting tahun 2001?

Fakta ini aku tidak teringat kerana selama dua tahun dalam tahanan. Aku khatam membaca lebih dari 200 buah kitab pelbagai genre.

Kitab Men Without Women ini adalah rampaian 14 buah cerita pendek tulisan Ernest Hemingway (1899-1961). Terbitan pertama adalah pada tahun 1927.

Ketika aku di sekolah menengah, muda-muda dulu aku suka membaca novel. Kemudian entah apa yang berlaku, aku jadi malas. Aku beralih membaca cerita pendek.

Mungkin aku tak ada kesabaran untuk menghabiskan kisah “War and Peace” yang meleret-leret panjangnya.

Cerita pendek atau bercerita dengan pendek, dengan cepat aku tahu hujung pangkalnya.

Aku dah lupa isi 14 cerita yang ditulis oleh Hemingway. Tapi aku tak akan melupakan buku ini.

Mustahil aku akan melupakan nama buku: Jantan Tanpa Betina.

Nama buku Men Without Women ini melekat dalam benak aku.

Aku merasakan si macho Hemingway menggunakan tajuk ini kerana mahu menulis tentang orang macam aku.

Apakah aku ini sosok jantan tanpa betina? Bagaimana pula kisah betina tanpa jantan atau perempuan tanpa lelaki?

Dalam falsafah hidup aku, lelaki dengan perempuan atau perempuan dengan lelaki, perempuan dengan perempuan atau lelaki dengan lelaki, yang dicari sebenarnya ialah seks.

Jangan kita berdolak dalih. Jangan kita tipu diri sendiri dengan hujah molek lagi suci.

Jangan berbohong pada diri sendiri. Tak ada seks semua tak jadi.

Apa yang dicari oleh jantan dan betina ialah seks. Cinta kasih sayang, anak pinak dan cucu cicit datang kemudian. Awal wahid ialah seks.

Seks ini menjadi misteri ketika kita belum bersetubuh dengan lelaki ataupun dengan perempuan. Sesudah mengalami persetubuhan, maka misteri seks terbarai.

Memungut kata-kata Boy George penyanyi dari kumpulan Culture Club: “I would rather have a cup of tea then sex.”

Untuk Boy George secawan teh pilihan yang lebih baik daripada seks. Bila teringat dengan buku Hemingway ini, maka aku teringat kepada diri aku ketika berkelana.

Aku pindah dari kampung ke pekan. Dari pekan ke kota. Dari negara ke negara.

Dari penjara ke penjara.

Tapi ranjang seks dan cawan teh tidak pernah aku tinggalkan.

Aku bukan Boy George, aku memilih kedua-dua sekali. Seks dan teh.

Teh untuk aku boleh diminum sebelum atau sesudah ke ranjang.

Tidak ada rukun, hukum atau peraturan yang wajib dipatuhi. Mana dulu tidak penting.

Lagi mahal daun teh, lagi panas rasa badan di ranjang. Falsafah aku ini bertentangan dengan falsafah Boy George.

Ketika menziarahi Australia tahun 1975, aku menambah pengetahuan dalam keilmuan seks.

Di Australia anak muda mahasiswa dan mahasiswi, bujang dan dara, semuanya meminati seks.

Di Australia seks bukan satu misteri yang wajib melalui ijab kabul.

Atau mendapat kebenaran emak bapa, paderi, gereja, masjid, tok kadi atau tok imam.

Pada hemat aku mana jantan yang sampai ke Australia dan tidak pernah meniduri Minah Australia adalah tanda jantan gagal.

Begitu juga kalau ada minah yang singgah ke Australia dan tidak meniduri “Mat Down Under” ini juga tanda gagal.

Ketika di Kuala Lumpur ilmu seks aku hanya bertahap sekolah menengah.

Di Australia aku naik ke tahap universiti.

Ketika aku sampai ke Eropah pembelajaran dan ilmu pengetahuan seks yang aku dapati di Australia memungkinkan aku terus membuat PHD atau doktor falsafah.

Ketika aku menetap di London di takdirkan aku bertemu dengan Janina.

Minah cun lagi bergetah ini berasal dari Tanjung Tokong, Pulau Pinang.

Ketika kami bertemu Putera Charles baru beberapa tahun menikah dengan Lady Diana.

Orang ketiga belum muncul lagi di atas katil Charles dan Diana.

Aku ingat musim panas tahun 1990 aku bekerja sepenuh masa di Restoran Garuda.

Kerja sepenuh masa ini maknanya aku diberi kunci untuk membuka restoran pada jam 10 pagi. Ini sebelum tukang masak dan pekerja dapur sampai.

Aku akan membersihkan dan menyediakan restoran yang akan dibuka jam 11.30 pagi.

Aku bekerja enam hari seminggu dan hanya bercuti pada hari Ahad.

Ini maknanya di hujung minggu ketika kawan-kawan dari kampus “berganja dan beranggur”, aku “memburuh” di Soho.

Jam 2.00 hingga jam 6.00 petang restoran ditutup. Ini waktu rehat untuk pelayan dan juga pekerja dapur.

Aku ada empat jam untuk berehat. Kadangkala aku tidur dalam stor.

Tapi biasanya aku merayau-rayu masuk ke galeri untuk melihat pameran dan lukisan untuk membunuh masa.

“Isham… I’m coming to Soho, meet me at the usual place.” Janina menelefon aku.

Tempat biasa kami bertemu ialah di sebuah kafe di Charing Cross Road.

Kedai kopi Cina ini terletak sederet dengan kedai buku Foyles yang tersohor itu.

Aku suka duduk di kedai kopi ini. Pertama ianya tak jauh dari Restoran Garuda tempat aku bekerja.

Kedua di Charing Cross Road, ramai minah cun dan mamat jambu yang berjalan dari Oxford Street ke China Town.

Atau melintas ke arah Leicester Square. Wilayah Soho ini tempat memperaga fesyen dan badan.

Aku sampai awal. Aku mengambil meja di kaki lima paling hampir dengan jalan.

Dari jauh aku nampak Janina menapak. Tangannya mengepit buku dan majalah.

Pasti sebagai bahan bacaan ketika duduk dalam kereta api bawah tanah.

Sebelum duduk Janina meletakkan buku “Sex And The Single Girl” dan majalah “Time Out”.

Aku membelek buku ini. Hasil tulisan Helen Marie Gurley, ketua pengarang majalah Cosmopolitan.

Buku ini tidak pernah aku baca. Pertama aku bukan “girl”. Kedua aku tak pernah single.

Majalah Time Out ini selalu juga aku belek-belek di kedai buku.

Ini majalah panduan mencari nikmat hidup dalam kota London.

Majalah mingguan ini memberi pembaca panduan tentang panggung teater, panggung wayang, wayang terbaru, dewan konsert, kedai makan, restoran pelbagai negara, pameran seni, kelab malam dan tempat untuk bercanda-canda.

Hakikatnya majalah ini adalah pemandu untuk merasa nikmat hidup dalam kota kosmopolitan London.

“So what’s news?”. Aku bertanya apabila Janina melabuhkan punggung gebunya ke atas kerusi rotan.

“I’m lonely. I need a partner. Nak cari jantan laaa. Aku dok tidooo sorang je ni.”

Janina mengadu pada aku. Aku arif benar sejarah Janina ini.

Janina sampai ke London kerana dia dibawa oleh Dave, jantan Mat Salleh.

Janina dan Dave bertemu di Bangsar. Dave datang ke Kuala Lumpur untuk membuat program TV stesen BBC.

Janina ketika itu bekerja sebagai pegawai media. Pertemuan mereka bagai pinang dibelah dua.

Janina pernah memberi aku tahu bagaimana Dave singgah di Masjid Negara dan bertanya dengan tok siak cara untuk menjadi saudara baru.

Dave juga berlegar di beberapa kedai buku di Kuala Lumpur dan membeli buku tentang Islam.

Bila aku terdengar surah ini, maka perangai jujur aku menerkam ke hadapan.

Aku ketawa terbahak-bahak.

“Wow… ini rancangan licik untuk menanggalkan seluar dalam kamu.”

Aku terbarai ketawa apabila mendengar surah lakonan Dave.

Janina berhenti bekerja dan pindah dari Hartamas, Kuala Lumpur ke Finsbury Park, London untuk tinggal bersama Dave.

Bulan pertama indah permai. Mereka berbulan madu.

Bulan kedua juga indah lagi permai. Seks menjadi ikatan.

Sebelum ke pejabat ada seks. Pulang dari pejabat ada seks.

Tengah makan ada seks. Selepas makan ada seks.

Masuk bulan ke sembilan semua berubah.

Ini selepas Dave pulang dari Madagascar.

Hampir sebulan Dave di pulau itu membuat penggambaran.

Setelah tiga minggu Dave pulang ke Finsbury Park, Janina merasakan ada sesuatu tak kena.

Dave kadangkala pulang amat lewat. Kadang kala pulang dari studio, dan keluar sekali lagi.

Ketawa sinis aku terbukti betul. Di Madagascar Dave bertemu dengan seorang atlet Madagascar.

Sebulan kemudian Minah Madagascar ini datang juga ke London. Mungkin kali ini Dave berjanji akan menyimpan rambut untuk menjadi penganut “Rastafarian” seperti Bob Marley.

Seperti apa yang terjadi kepada Lady Diana kini terjadi kepada Janina. Orang ketiga muncul di atas katil. Janina terus membuat keputusan.

Aku ingat lagi petang itu Janina menelefon aku minta datang membantu kerana dia berpindah rumah.

Janina membuat keputusan meninggalkan Dave. Janina pindah ke Brixton menumpang di rumah Sue, Minah Salleh kenalan lama Janina.

Amoi Cina pelayan sampai. Dia membawa kopi panas untuk aku dan secawan air limau untuk Janina.

“Isham…. kau tengok ni… tengok, tengok.” Janina menunjukkan Time Out kepada aku.

Bukan bahagian wayang atau bahagian restoran, tetapi bahagian iklan untuk mencari kenalan.

“Aku nak iklankan diri aku di sini, di sini.” Kata putus dari Janina.

“Betul ke? Kau berani ke? Ini blind date.” Aku bertanya kerana aku sendiri merasa takut.

Time Out ini majalah Yuppie dan trendy. Sasaran pembaca dari golongan profesional yang bergaya dan berduit.

Aku ada juga membaca ruangan “Bujang Bertemu Dara” atau “Dara Mencari Bujang” atau “Dewasa Mencari Pasangan”.

Ini iklan lelaki cari teman perempuan. Ada iklan perempuan cari teman lelaki. Iklan lelaki cari lelaki, perempuan cari perempuan.

Ruangan “Dating For Singles” ini mengingatkan aku kepada majalah filem dan majalah hiburan tahun-tahun 60-an.

Ada juga ruangan seperti ini. Awalnya dipanggil ruangan “Sahabat Pena” kemudian menjadi ruangan “Kembang Setaman”.

Tetapi tidak ada iklan “Lelaki Gembira” atau “Perempuan Gembira” mencari pasangan.

“Baca ini.” Janina memberi sehelai kertas untuk aku baca.

Isinya: “Young Professional Asian Woman looking for male friendship, maybe more. Into cinema, theatre, books.”

“Ini iklan kamu?”. Aku bertanya.

“Yes.” Janina mengangguk.

“Kau tahu ini blind date, kau tak pernah jumpa dia. Muka mamat tu kau tak pernah tengok, bukan macam kau jumpa Dave.”

Aku cuba memberi jalan tengah.

“Nanti aku minta gambar, pilih la mana yang perkenan. Aku rasa okay aku gi jumpa.” Janina memberi penjelasan.

“Jumpa kat mana?”.

“Kafe, restoran buat temu janji.. ya, yes blind date”.

“Kau berani betul ya? Aku tak berani jumpa minah yang aku tak kenal. Macam mana kalau mamat yang kau date itu serial killer? Atau dia perogol bersiri?” Aku memberi ingatan.

“Ya laaa… sebab itu aku jumpa kau, nanti kau leh jadi saksi.”

Dalam hati kecil aku, sebenarnya aku amat kagum dengan keberanian gadis Melayu ini.

Bayangkan dia berani mengiklankan diri. Berani bertemu dengan Mat Salleh yang tidak di ketahui hujung pangkalnya.

Aku sendiri tak penah buat temu janji dengan minah yang tak aku kenali.

Cara aku mengayat amat senang. Aku bekerja dalam restoran. Pelbagai jenis awek yang datang.

Ada pelanggan yang nak mencuba masakan Melayu-Indonesia. Ada yang ingin bertukar selera.

Ada yang terbaca iklan Restoran Garuda dalam majalah Time Out.

Ada juga yang pernah pergi bercuti ke Indonesia atau Malaysia dan kenal nasi goreng dan nasi lemak.

Cara aku begini, jika minah itu cun bergetah dan aku ingin mencuba nasib maka aku beri layanan yang “extra special”.

Aku beri penerangan panjang lebar setiap jenis makanan yang ditanya.

Aku melawak di sana sini. Bila sudah makan aku hantarkan kopi percuma.

“Coffee on the house.” Sambil aku menuang kopi ke dalam cawan.

“How was the food?”. Aku bertanya.

“Great, great. We loved it.”

Jawapan biasa dari pelanggan. Mustahil ada yang kata tak sedap.

Kepada Minah yang menjadi sasaran aku berkata: “I could cook special for you… pass me your phone number. It will pleases you. Will give you a call, by the way where do you lived?”.

Aku meminta number telefon. Aku tunggu jawapan. Apakah umpan dipancing disambar ikan.

Jika minah cun ini malu nak memberi nombor telefon, maka aku sendiri akan memberi nombor telefon.

“Don’t call during the day, me in campus…call in the evening.”

Sengaja aku sebutkan kampus. Untuk memberi tahu bahawa aku ini mahasiswa masih belajar.

Gagal adalah lumrah. Tapi kalau tidak mencuba aku tidak tahu.

Setiap kali gagal aku perbaiki cara mengayat.

Hakikatnya ramai juga pelanggan Garuda yang aku berjaya membuat temu janji.

“Kau date nanti bawa dia ke Garuda laaa. Biar aku layan, aku akan tengok ok ke tak ok.” Aku memberi cadangan kepada Janina.

Aku terfikir kalau datang ke Garuda boleh juga aku perhatikan perangai mamat itu baik atau bagaimana orangnya.

Tapi membaca perangai manusia ini bukan senang.

Lihat bagaimana Dave sanggup pergi ke Masjid Negara untuk memastikan seluar dalam Janina dapat dibuka.

“Tengok nanti, hari Khamis ini Time Out baru akan keluar, kita tunggu.”

Janina mengakhir perbualan petang itu.

Bila aku menapak dari kedai kopi kembali ke Restoran Garuda, setiap jantan yang aku nampak di atas jalan semuanya aku anggap berpotensi untuk menjawab iklan Janina.

Seminggu kemudian aku dapat panggilan telefon dari Janina.

“Isham.. good news…. Sue house mate aku terperanjat… banyak sangat surat sampai.”

Suara Janina gembira.

“Betul ke.. ada gambar tak?” Aku ikut sama gembira bila mendengar umpan disambar ikan.

“Gambar ada…. petang nanti aku datang… jumpa tempat sama.” Janina meletakan telefon.

Aku tak sabar untuk melihat gambar-gambar “jantan tanpa betina” yang menjawab iklan “betina tanpa jantan”.