- Iklan -
Kolum

Usman Awang sang feminis

Apakah feminisme?

Faisal Tehrani
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Antara tahun 1966 menganjur ke tahun-tahun 1970an, Radio Malaysia mengadakan sebuah program radio iaitu Irama Bersajak.

Penerbit rancangan yang berkualiti ini antara lain DJ Yong Rafidah, dan Nurlidar Saidi.

Pembaca puisi dengan prosa beritma ini antara lain ialah DJ Mahani Ujang, Habibah Yaakub, Siti Hawa Majid, Nor Hashimah dan Nor Azah Aziz yang semua suara mereka sungguh merdu sekali.

Tatkala itu tetuang atau radio adalah medium hiburan dan santai yang utama.

Tetuang juga wadah mendapat maklumat yang paling berkesan.

Sepanjang tahun-tahun tersebut, sekurang-kurangnya ada 12 kali, Sasterawan Negara Usman Awang menyumbang prosa dan puisinya untuk Irama Bersajak ini.

Dalam Irama Bersajak ini akan ada puisi dan keterangan.

Karangan-karangan Usman sungguh menggugah.

Salah satu yang paling mengesankan berjudul “Wanita Telah Bangkit”.

Sayang kalau generasi baru hari ini, yang bertengkar-tengkar tentang feminisme tidak mengenal Usman sebagai seorang feminis.

Dalam judul ini, Usman menyatakan antara lain:
“Di mana-mana sekarang ini kita menyaksikan kesedaran-kesedaran baru dan kebangkitan masyarakat manusia yang selama ini terbiar dan tertindas. Kesedaran dan kebangkitan ini tidak saja pada sesuatu bangsa yang dijajah, sesuatu golongan yang tertindas tetapi juga jauh meresapi jiwa dan semangat kaum wanita. Wanita-wanita di Barat telah lama memperoleh kesedaran dan telah berjuang menuntut hak mereka yang sah dan adil. Kedudukan dan taraf wanita-wanita Barat sekarang ini pada umumnya sudah baik dan terhormat. Dan kesedaran ini sekarang telah kelihatan di negara-negara yang sedang membangun di Asia dan di Afrika. Arus dari perjuangan dan tuntutan itu sudah pula menjalar mengalir ke negara kita.”

Kemudian Usman menambah: “Hak kita sebagai manusia adalah sama, kami mewarisi keadilan kemanusiaan dan hukum. Tempat kami tidak di sudut dapur, tidak di kamar terhias, tidak di tepi taman menyiram orked, tetapi di sisi lelaki, di mana saja, dari pejabat sampai ke bulan.”

Dalam program tetuang ini, Usman pergi jauh mengingatkan bahawa kalau dulu dalam pelbagai pekerjaan, kekuatan badaniah menjadi ukuran; namun sekarang kekuatan akal dan kecerdikan yang menjadi merit sebenar.

Dalam hal ini wanita mempunyai kekuatan akal dan kebijaksanaan yang sama dengan lelaki dan bukannya separuh.

Justeru, dalam hal ini wanita boleh dan mesti diberi hak mereka untuk berkhidmat, bekerja, menyumbang fikiran dalam pembangunan umat dan masyarakat:
“Wanita dianggap jenis yang lemah, dan dengan demikian telah ditakluki dan berada di bawah kekuasaan lelaki. Tetapi dunia moden tidak begitu banyak bergantung kepada kekuatan badan dan jenis. Kekuatan tenaga manusia tidak diperlukan lagi untuk meruntuhkan gunung, untuk mendirikan bangunan, untuk menyelami lautan, untuk terbang di udara atau untuk meneroka ke bulan, sebab dunia moden memerlukan pikiran dan akal, memerlukan kebijaksanaan dan ilmu pengetahuan. Maka ilmu dan pengetahuan dapat dikuasai dan dimiliki oleh wanita apabila wanita itu mendapat kesempatan belajar menuntut ilmu. Dunia sekarang tidak lagi dibangunkan dan dimajukan oleh tenaga manusia semata, tetapi dengan akal dan ilmu yang kita kenal dengan nama sains dan teknologi, maka berhaklah wanita untuk sama menentukan kehidupan manusia, berhaklah wanita untuk sama memperolehi faedah dari kemajuan kehidupan.”

Terselit sama dalam Irama Bersajak ini juga beberapa buah puisi yang tidak pernah saya temukan dalam mana-mana kumpulan puisi Usman, yang menurut saya adalah mutiara fikiran Usman yang luar biasa sekali. Puisi-puisi ini tidak berjudul, dan dinyanyikan ketika rancangan tersebut.
Salah sebuah yang benar-benar menyentak ialah puisi berikut:

Kita minta pada mereka
Hak yang telah dirampas
Jika mereka enggan memberikannya
Jika berseru dengan hormat dan sopan.

Kita tuntut pada mereka
Milik kita yang telah hilang
Jika mereka masih juga menolaknya
Kita berteriak dengan semangat dan selogan.

Jika mereka di puncak kuasa
Tidak mendengarkan tiap suara
Kita berbaris di tengah jalanraya
Tiap desa dan tiap kota.

Dengan anak-anak kita
Tutupkan pintu tutup jendela
Biarkan tungku dan dapur jadi bisu
Untuk satu hari atau satu minggu.

Dan bila ini juga tidak didengarkan
Bisikkan antara kita suatu rahsia
Dari alam yang paling murni
yang akan membekukan jantung lelaki.

Selain puisi pendek di atas, ada sebuah yang lebih panjang; yang amat menggaru hati saya sebagai seorang lelaki ketika membacanya. Puisi tanpa judul ini antara lain berbunyi:

Seorang pekerja wanita di ladang
Yang bangun sebelum udara subuh
Menghidupkan api kayu setengah basah
Memandikan anak bakal ke sekolah
Menyediakan makanan untuk suami yang sedang lena
Kemudian menyadap menakung susu getah.

Barangkali seorang wanita di Petaling Jaya
Yang bangun sebelum matari mandi pagi
Menggosok pakaian anak-anak
Menyediakan roti ketika suami masih bermimpi
Menyapu tiap ruang rumah
Menghantar anak pada perhentian bas
Sedang lelaki baru bangun menguap
Menghirup bau kopi wangi berasap.

Wanita itu nanti pada waktunya ada di kelang
Dan pulang pada waktu yang tepat
Di rumah berapa tugas sedang menunggu
Akan diselesaikan tanpa rihat menukar baju.

Hari ini sungguh ramai yang keliru dengan istilah feminisme.

Baik pemikir bekas PTD, baik netizen anak-anak muda yang mendapat maklumat daripada lebai lelaki yang membaca hadis yang tidak pernah mendengar nama Zainab Al Kubra cucunda Rasulullah saw, sehinggalah kepada kaum wanita sendiri yang akur dan suka dihenyak dihenjut oleh kuasa lelaki.

Apakah feminisme?

Ia adalah seruan untuk memberikan hak wanita berasaskan kesetaraan jantina.

Ia adalah gagasan politik, ekonomi dan ekuiti sosial untuk semua jantina.

Feminisme adalah kepercayaan lelaki dan wanita mempunyai hak setara untuk semua peluang yang ada.

Ia adalah doktrin yang menjelaskan wanita mempunyai hak setanding dengan lelaki dari segi sosial, politik dan semua aspek kehidupan.

Ia adalah mengenai kesetaraan bukan persamaan.

Kekeliruan terhadap feminisme ialah kerana ada dalam kalangan kita percaya wanita itu tidak sama dengan lelaki kerana tubuh dan biologi mereka berbeza.

Oleh sebab lelaki dan wanita tiada keupayaan fizikal yang sama maka kesetaraan itu dihujahkan mustahil.

Adalah penting untuk difahami yang persamaan bukan kesetaraan.

Isu yang diserukan dalam feminsime ialah hak setara untuk akses dalam semua lapangan dan peluang.

Hal semudah ini – feminisme – difahami oleh Usman dalam tahun 1970-an tetapi malangnya gagal difahami oleh manusia pada tahun 2021.

Hal ini difahami oleh masyarakat negara ini pada tahun 1971 berbanding manusia yang konon makin canggih dan berpengetahuan oleh revolusi digital dan ilmu pengetahuan.

Bak kata Usman, dalam puisinya:
Betapa mereka diperdagangkan
Dari sistim lelaki kapitalisma
Betapa mereka diperhamba
Dari aturan lelaki feudalisma
Betapa mereka diperalatkan
Dari dunia lelaki imperialisme
Dan hari ini mereka mengangkat muka
Untuk keadilan dan hak yang sama
Wanita berani tidak lagi menangis
Bangkitlah mereka dalam paduan setiakawan
Satu kekuatan di bawah sayap tofan!