Friday, October 22, 2021

Amanat Mahathir kepada dunia mengenai Covid-19

Bayangkan kalau beliau masih menjadi perdana menteri dan berucap di UNGA, ia tentu menjadi perhatian dunia bukan hanya kebenaran kata-katanya tetapi juga wibawa dan usianya.

Other News

Tulisan Dr Mahathir Mohamad dalam blog beliau mengenai Covid-19 Isnin lalu boleh disifatkan sebagai suatu amanatnya kepada dunia bersesuaian dengan masa Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) yang sedang berlangsung di New York.

Dalam blognya, beliau menarik perhatian terhadap cerita fiksyen sains “War of The Worlds” karya HG Wells di mana makhluk asing mendarat di bumi dan membunuh manusia.

Tetapi manusia tanpa mengira negara bersatu untuk melawan musuh bersama itu.

Tetapi dalam dunia sebenar hari ini, Covid-19 adalah musuh bersama yang membunuh manusia di seluruh dunia.

Walaupun virus itu bukan makhluk asing tetapi kesannya meluas, bukan sahaja maut tetapi ekonomi kebanyakan negara rosak kerananya.

Malangnya, negara-negara di dunia tidak bersatu.

Masing-masing berjuang untuk negara sendiri.

Vaksin dibangunkan dan ada pada negara negara kaya saja sedangkan ancaman serta kesan virus ini adalah menyeluruh.

Menurut beliau, dalam memerangi virus ini, tiada arahan berpusat atau “central command”.

Maksudnya, pandemik ini bersifat sejagat dan sepatutnya ditangani secara global juga.

Agensi yang sesuai untuk ini adalah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Tetapi malangnya apa yang berlaku ialah WHO tidak dapat berbuat apa-apa, kerana bukan saja tidak diberi kuasa, tetapi dananya dikurangkan.

Amerika Syarikat (AS) sebagai negara paling kaya menghentikan pembiayaannya kepada WHO semasa pentadbiran Presiden Donald Trump.

Dengan semua negara menangani wabak ini secara bersendirian, Covid-19 ini sukar diatasi dengan segera.

Tanpa arahan berpusat, hanya negara kaya memperolehi bekalan vaksin.

Sedangkan wabak ini gagal diatasi apabila ada negara yang tidak mendapat vaksin mencukupi.

Kalaulah Mahathir boleh berucap di UNGA, besar kemungkinan inilah isinya juga.

Mesejnya adalah manusia mesti bersatu melawan musuh bersama.

Untuk bersatu, tentulah negara-negara wajar mematuhi satu pusat arahan bagi menyelaras tindakan.

Agensi yang sesuai adalah WHO. Untuk itu pula, WHO perlu disokong dan didanai dengan mencukupi.

Ini adalah peranan negara kaya, khususnya AS.

Maknanya AS kena menjadi pemimpin bagi menyatukan dunia melawan Covid-19.

Oleh kerana Mahathir berusia 96 tahun, mesej beliau ini wajar dipandang sebagai amanat untuk seluruh pemimpin-pemimpin dunia yang jauh lebih muda daripadanya.

Sungguhpun beliau tidak memegang jawatan kerajaan lagi, tetapi Mahathir masih merupakan seorang ahli Parlimen.

Perlu diingat penggal Parlimen sekarang adalah berasaskan pada hasil Pilihan Raya Umum ke-14 yang mana beliau memperoleh mandat sebagai perdana menteri.

Bayangkan kalau beliau masih menjadi perdana menteri dan berucap di UNGA, ia tentu menjadi perhatian dunia bukan hanya kebenaran kata-katanya tetapi juga wibawa dan usianya.

Beliau bukan saja sihat dan berdaya tetapi masih cerdas.

Pendirian beliau terhadap Covid-19 adalah konsisten.

Baginya ia adalah keutamaan dan untuk mengatasinya, ia perlu persepakatan semua pihak.

Di peringkat negara, beliaulah yang mencadangkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang seumpama Majlis Gerakan Negara (Mageran) dengan penyertaan semua parti politik.

Walaupun kerajaan menubuhkan MPN dan juga menganjurkan Memorandum Persetujuan (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH), tetapi ia tidak menepati apa yang dicadangkan oleh Mahathir.

Akhirnya usaha kerajaan itu tidak mencapai apa yang dikehendakinya.

Sesi UNGA ini adalah yang ke-76.

Pembukaannya berlangsung pada 14 September.

Sementara perbahasan umum diadakan dari 21 hingga 27 September.

Bagi sesi perdebatan yang memberi peluang kepada semua ketua kerajaan anggota berucap, perhatian dunia pastinya tertumpu kepada ucapan Presiden AS Joseph Biden selaku ketua kerajaan kuasa utama tunggal dunia.

Walaupun AS hanya salah sebuah negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), tetapi ia adalah negara paling berkuasa dan kuat di dunia, di samping menjadi pihak pemenang Perang Dunia Kedua, dan pengasas utama badan dunia itu.

Dengan ibu pejabat PBB terletak di New York, maka ia adalah hampir dengan Washington, ibu negara AS.

Biden hadir ketika AS teruk dikritik oleh sebahagian besar negara dunia.

Tiga perkara yang menjadi bahan kritikan itu ialah pertama, pengunduran tentera AS dari Afghanistan yang dilakukan secara tidak teratur.

Kedua, penubuhan perikatan Australia, United Kingdom dan Amerika (Aukus) yang melibatkan kapal selam nuklear.

Ketiga, penghantaran pulang migran dari Haiti yang dilakukan secara keras.

Terhadap Aukus, Mahathir turut memberi komen.

Katanya, tindakan AS itu hanya meningkatkan ancaman perang antara negara-negara itu dengan China.

Beliau berkata, andai kata berlaku peperangan, tentulah Asia Tenggara, iaitu termasuk Malaysia akan mengalami kemusnahan.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pendirian Mahathir terhadap peperangan adalah suatu yang terkehadapan.

Beliau bukan sahaja anti perang tetapi juga menganjurkan supaya ia dianggap sebagai jenayah.

Ia kelihatan seperti mustahil tetapi kalau perhambaan kini dianggap sebahai jenayah, perang juga boleh dihapuskan.

Untuk itu pada tahun 2005 beliau menubuhkan Pertubuhan Perdamaian Global Perdana yang kini merupakan sebuah yayasan.

Pendiriannya terhadap peperangan ini juga adalah merupakan amanat untuk dunia dan manusia.

Perhatian AS dan sekutu-sekutunya terhadap China yang dianggap sebagai ancaman mereka memalingkan tumpuan daripada masalah pandemik Covid-19 yang belum selesai.

Nada mereka yang cenderong kepada perang adalah bercanggah dengan semangat damai PBB.

Bagaimanakah dunia hendak menghadapi musuh bersama jika perhatian lebih tertumpu pada perbalahan sesama sendiri?

Badan dunia itu ditubuhkan pada tahun 1945 dengan berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Ketika itu Mahathir berusia 19 tahun dan sedang bersekolah untuk menghadapi peperiksaan Senior Cambridge (kini seperti SPM).

Biden pada masa itu baru berusia tiga tahun.

Mahathir membesar semasa Perang Dunia Kedua.

Beliau menyaksikan kekejaman penjajahan Siam dan pendudukan Jepun.

Dengan kesegaran mental, beliau dipercayai kini masih ingat tentang keadaan itu.

Sementara kebanyakan pemimpin dunia hari ini belum lahir ketika itu.

Jepun memporak-perandakan Asia Timur, Asia Tenggara dan Pasifik.

Kali ini pula AS dan Australia bimbang China akan menjadi Jepun menjelang Perang Dunia Kedua.

Adalah diharapkan perkara itu tidak akan berlaku.

Manusia sudah melalui pengalaman Perang Dunia dan Perang Dingin.

Ia patut menjadi pengajaran.

Tetapi pemimpin hari ini adalah generasi baru.

Emosi boleh mengakibatkan sejarah berulang.

Mahathir menyaksikan sejarah ini secara langsung.

Kesimpulannya ialah perang mesti dianggap sebagai jenayah.

Penubuhan PBB dan lembaga-lembaganya seperti Majlis Keselamatan dan UNGA adalah bertujuan untuk mengelak peperangan.

Walaupun tidak berjaya sepenuhnya, peranannya adalah besar untuk mengurangkan suhu permusuhan.

WHO pula bertujuan untuk menyatukan usaha manusia melawan penyakit terutama pandemik.

Peranan WHO menangani pandemik adalah besar.

Tetapi kalau negara-negara kaya menyokong WHO dengan cara lebih besar, pandemik ini dapat diatasi lebih awal, malah varian delta dapat dielakkan.

Amanat Mahathir ini wajar diberi perhatian oleh pemimpin dunia untuk panduan bagi masa kini dan akan datang.

Kisah “War of The Worlds” itu adalah mengenai peperangan juga.

Tetapi ia adalah antara manusia dan musuhnya dari dunia lain.

Dalam kisah itu, manusia sudah tidak berperang antara sama lain.

Manusia bersatu menentang musuh bersama.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles