- Iklan -
Rencana

Peralihan demografi beri peluang parti Melayu berubah

Bayangkan, dengan pengundi Melayu melebihi 75%, jika kesemuanya menyokong satu parti politik, ini bererti lebih dua pertiga wakil rakyat di Parlimen adalah Melayu.

Khairuddin Othman
4 minit bacaan
Kongsi
Dua penduduk Pangsapuri Taman Industri Lembah Jaya, menyemarakkan semangat kebangsaan dengan memasang bendera Malaysia di kawasan parkir kenderaan berhampiran kediaman mereka di Lembah Jaya, Ampang.
Dua penduduk Pangsapuri Taman Industri Lembah Jaya, menyemarakkan semangat kebangsaan dengan memasang bendera Malaysia di kawasan parkir kenderaan berhampiran kediaman mereka di Lembah Jaya, Ampang.

Sebaik sahaja menjelang Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, kata-kata laungan negara ini mempunyai pelbagai budaya, bangsa and agama yand hidup bersatu dan harmoni berdengung di seluruh media. Tetapi, dari kacamata politik kata-kata itu jauh daripada benar.

Kepentingan kaum, ketidakpercayaan dan kesangsian menjadi amalan banyak parti politik negara ini.  Lebih malang kaum Melayu.  Oleh kerana perbezaan fahaman bagaimana negara ini patut ditadbir telah wujud berbagai parti Melayu yang memecahbelah kaum itu sendiri.

Perbezaan ini pula merebak melagakan pengikut dan pemimpin kerana penubuhan parti-parti politik baru Amanah, Bersatu, Pejuang, Muda dan penganut agama Islam dan bukan Islam kerana polemik Rang Undang-undang Syariah.

Akibatnya, kaum Melayu tidak lagi bersatu dan tiada satu parti Melayu yang boleh mendapat sokongan undi lebih 50% dari kaumnya sendiri sedangkan kaum tersebut mewakili hampir 70% rakyat Malaysia ketika ini.

Lihat sahaja petanda-petanda bancian 2020 yang mengunjurkan dari 30.0 juta rakyat Malaysia, kaum  Bumiputra mewakili 69.8% pada 2021, sementara petanda kaum Cina Malaysia adalah 22.4% dan masyarakat India Malaysia 6.8%.

Hanya kaum Melayu menunjukkan pertumbuhan peratusan tahunan (kerana jumlah yang besar), sementara masyarakat Cina Malaysia menurun dan kaum India mendatar. Dianggarkan 30 hinnga 40 tahun dari sekarang komposisi rakyat Malaysia akan berubah di mana kaum Bumiputra, yang majoritinya Melayu, akan mewakili 82%, Cina 15% dan India 3%.

Bayangkan, dengan pengundi Melayu yang tertinggi melebihi 75%, jika kesemuanya menyokong satu parti politik, ini bererti dengan lebih dua-pertiga wakil rakyat di Parlimen adalah Melayu, Perlembagaan Persekutuan itu sendiri boleh diubah.

Persoalannya, bolehkah kaum Melayu dan parti politiknya meneruskan kempen mencari undi  berlandaskan kepentingan kaum, ketidakpercayaan dan kesangsian?  Bolehkah gologan majoriti ini bersikap adil dan menjaga kepentingan bersama rakyat minoriti Cina dan India yang semakin mengecil?

Fahaman inklusif atau merangkumi semua kaum patut bermula dalam semua parti besar satu kaum seperti Umno, MCA, MIC, Pejuang dan Amanah. Malahan ini bukan fahaman baru.

Cadangan supaya Umno membuka keahliannya kepada lain-lain bangsa pernah diketengahkan oleh Datuk Onn Jaafar, tetapi ditolak oleh Majlis Mesyuarat Agung Umno pada lewat 1940-an.  Mungkin penerimaan cadangan in telah tiba masanya.

Inilah peluang besar Umno untuk membaik pulih imej yang rosak kerana ramai rakyat beranggapan pemimpinnya “katak”, “penderhaka” dan “dayus” yang tidak setia kepada parti, terlibat rasuah yang amat dasyat sehingga menjadi skandal kewangan terbesar di dunia, dan tidak jujur menjaga kepentingan rakyat, terutama kaum Melayu itu sendiri.  Apatah lagi kaum minoriti Cina dan India.

Umno perlu ingat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu daripada jumlah 3 juta ahli, 30% atau 900,000 orang meninggalkannya serta mengundi parti pembangkang kerana meluat dengan tingkah-laku pemimpin mereka, ia boleh berlaku lagi.  Melihat daripada perangai pemimpin-pemimpin yang diheret ke mahkamah dan fakta-fakta yang dipersembahkan dalam perbicaraan, perasaan meluat ini akan bertambah.

Kemungkinannya ialah lebih ramai lagi ahli Umno akan menolak mengundinya pada Pilihan Raya Umum ke-15 kelak sebagai balasan ke atas pemimpin bermasalah ini, melainkan parti politik tersebut berani jika pemimpin-pemimpin sedia ada disingkir dan diganti dengan pemimpin muda, berkelayakan dan beretika.  Tidak terus bergantung kepada pemimpin-pemimpin tua dengan pemikiran lapuk.

Parti-parti politik Melayu perlu memikirkan sama ada perjuangan memihak kepada satu kaum sahaja boleh bertahan lagi sementara pengundi-pengundi, terutamanya golongan muda, mempunyai keinginan berlainan dan tidak memandang penting kepada “keistimewaan Bumiputra”.

Inilah peluang besar bagi parti politik Melayu Umno, Bersatu, Pejuang dan Amanah bergabung dan membuka keahliannya kepada semua kaum dan rakyat negara ini. Malaysia memerlukan pemikiran luas dan berani.

Umno mempunyai potensi terbesar untuk memenangi hati semua rakyat. Malahan namanya mudah diubah ke United Malaysian National Organisation, masih dengan nama singkatan Umno. Kemudian pergilah kepada klausa-klausa perlembagaannya untuk melambangkan perjuangan bagi semua kaum.

Ahli-ahli MCA dan MIC yang telah bertahun bersama Umno mudah diserap ke dalam Umno untuk semua kaum ini. Perubahan ini boleh memberi daya penarik bagi pemimpin-pemimpin dalam MCA dan MIC yang meyakini kaum Cina dan India dapat menjadi ahli Umno baru ini.

Janganlah parti-parti politik Melayu memainkan propaganda “ketakutan” jika keistimewaan Bumiputra diluputkan, kaum ini akan ketinggalan merasai kekayaan negara.  Propaganda yang digunakan Umno ini ketika ia memerintah telah terbukti banyak menguntungkan hanya pemimpin parti, golongan “along-ngah” (saudara-mara) dan kroni mereka.

Apa lagi yang Melayu perlu takut? Mereka kaum majoriti. Jika mereka bersatu, Perlembagaan Persekutuan itu sendiri boleh diubah.

Lagipun, hampir kesemua ahli angkatan bersenjata negara ini adalah Melayu.  Masakan mereka akan membiarkan kaum majoriti Melayu jika diancam tanpa keadilan.

Memandangkan perubahan demografi yang akan mendatang ini, rakyat kaum Cina dan India yang patut berasa takut.  Bolehkah rakyat majoriti Melayu melindungi mereka secara adil dan saksama?

Mungkin, apa yang disangsikan oleh Melayu adalah seperti yang dilaungkan Perdana Menteri Singapura dalam ucapan Hari Kebangsaannya baru-baru ini: “Toleransi antara kaum masih belum sudah.. Ada sebahagian majikan gemar mengambil pekerja Cina.”

Jika perkara tersebut berlaku di negara jiran yang dikuasai kaum Cina, tidak hairan ia juga berlaku di Malaysia kerana kekayaan ekonominya dibolot oleh kaum Cina juga.  Kaum Melayu Malaysia merasa didiskriminasi dalam pekerjaan dan perdagangan.

Ini boleh diatasi jika parti besar untuk semua kaum ini dipimpin oleh majoriti etnik Melayu melaksanakan pemberian kekayaan negara berlandaskan keperluan semua kaum.  Apabila kaum Melayu dan India yang memerlukan bantuan pekerjaan dan perdagangan, golongan inilah yang berhak mendapat peruntukan lebih.

Jika sektor swasta enggan bekerjasama dalam perkongsian kekayaan negara sama-rata, kerajaan akan terus dan kembangkan kewujudan syarikat-syarikat milik negara (state-owned enterprises, SOEs) untuk memberi peluang pekerjaan dan pengalaman perniagaan kepada kaum yang didiskriminasi.

Malahan, lebih banyak kontrak kerajaan akan diberikan kepada SOEs. Kata kuncinya ialah pemimpin-pemimpin di SOEs ini pelu mereka yang layak, mahir, dan beretika.  Bukan pemimpin parti politik dan kroni yang kemudian perlu diheret ke mahkamah atas tuduhan rasuah!

Negara China berjaya dalam tiga dekad sahaja membasmi kemiskinan sehingga ke kawasan pendalaman dan melonjakkannya sebagai negara kuasa ekonomi kedua terbesar, membelakangi Amerika. Bayangkan pendapatan setiap rakyat China berjumlah 1.4 bilion adalah RM43,923 setahun pada 2020 dan perkembangan tahunan dengan purata 13%.

Malaysia telah melebih 60 tahun memperjuangkan pembangunan ekonomi bagi membantu rakyatnya, terutama kaum majoriti Melayu, tetapi masih mengecewakan. Pendapatan setiap rakyat Malaysia yang berjumlah kira-kira 30 juta sahaja adalah RM43,031 setahun pada 2020 dan perkembangan tahunan purata 5%.

China berjaya kerana ia tegas melaksanakan pembangunan sosial dan ekonomi sehingga negara Barat cemburu serta melabelkannya kapitalisma berautoriti (authoritarian capitalism).  Sementara mereka yang didapati bersalah melakukan rasuah besar di China dihukum tembak sampai mati.

Masalah orang Melayu adalah masalah pemimpin mereka. Noktah.

Pemimpin-pemimpin Melayu ramai terlibat dengan kelakuan haram –rasuah dan salah guna kuasa– ia merugikan semua rakyat Melayu, Cina dan India sedangkan mereka telah bersumpah untuk membawa pembangunan kepada rakyat ketika memegang jawatan.

Bagaimana jika kita tegas seperti China?

Khairuddin Othman adalah bekas wartawan dan sub-editor Berita Harian.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow