- Iklan -
Rencana

Emosi mahasiswa bukan sekadar data

Jika kajian menunjukkan 78.4% mahasiswa tidak tertekan untuk menjalani pengajian atas talian, bagaimana pula dengan peratusan lebihan yang semestinya tidak boleh diketepikan.

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya
2 minit bacaan
Kongsi
Pelajar universiti sedang menatal telefon pintar di Universiti Malaya. Wujud kebimbangan berhubung kesihatan mental pelajar universiti ketika pandemik melanda negara.
Pelajar universiti sedang menatal telefon pintar di Universiti Malaya. Wujud kebimbangan berhubung kesihatan mental pelajar universiti ketika pandemik melanda negara.

Umum sedia maklum bahawa Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad telah mengeluarkan satu kenyataan dimana beliau menyatakan majoriti mahasiswa universiti tidak berasa tertekan dalam menjalani pengajian secara dalam talian. Sehubungan dengan itu, pihak Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) ingin mengemukakan beberapa persoalan.

KMUM mengambil maklum bahawa kenyataan tersebut dibuat berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh pihak Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Namun, terdapat juga beberapa soalan kritikal yang masih belum dijawab seperti metodologi apakah yang digunapakai bagi kajian tersebut? Siapakah respondennya? Adakah mereka mahasiswa yang menjalani pengajian di rumah ataupun di kampus? Adakah mereka datang daripada golongan B40 atau yang lebih berkemampuan? Adakah kajian yang melibatkan seramai 24,562 orang mahasiswa ini sudah memadai untuk mewakili seluruh mahasiswa di Malaysia?

Persoalan ini tidak akan terjawab melainkan sebuah laporan soal selidik yang lengkap dikeluarkan untuk penelitian awam.

KMUM juga mendapati jika kajian menunjukkan bahawa 78.4% mahasiswa tidak berasa tertekan, bagaimana pula dengan peratusan lebihan yang seharusnya tidak boleh diketepikan.

Pihak KMUM merasakan perlu adanya polisi yang akan dilaksanakan untuk membantu lebihan responden yang mungkin merasai tekanan berpunca daripada mengikuti pengajian belakangan ini. Walaupun hanya seorang mahasiswa yang tertekan, ianya sudah mencukupi bagi pihak berkaitan untuk memberikan perhatian kepada kesihatan emosi dan mental dalam kalangan mahasiswa.

Bersangkutan dengan sesi akademik baharu yang akan bermula tidak lama lagi, KMUM menggesa agar pelan kontigensi dan polisi berkaitan disegerakan pelaksanaanya.

Adanya kes bunuh diri yang tidak diingini dalam kalangan mahasiswa baru-baru ini menjadi indikator bahawa isu ini adalah isu yang menekan dan penting. Pengalaman mahasiswa menjalani mod pengajian dalam talian amat bergantung kepada pelbagai faktor seperti fasiliti, ketercapaian sambungan internet, dan suasana sekitar.

Mahasiswa yang tidak mempunyai peranti digital dan internet yang stabil masih bergelut untuk menyesuaikan diri mereka dengan norma baharu ini. Tambahan pula, masalah penginapan masih menjadi isu sehingga kini kerana wujud ketidaktentuan yang memberi kesan kepada keputusan mereka sama ada untuk menyewa rumah di sekitar kampus ataupun tidak. Permasalahan ini semua menyumbang secara tidak langsung kepada kesihatan mental mahasiswa yang sekali lagi kami tegaskan, perlu diberi perhatian secukupnya.

KMUM berpandangan bahawa pihak berwajib seperti Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pentadbiran universiti seharusnya mengambil iktibar daripada pengalaman tiga semester menguruskan dan mengkoordinasi hal-hal berkaitan akademik serta kebajikan mahasiswa dalam era norma baru ini. Setiap seorang mahasiswa ini merupakan seorang anak, abang, kakak, dan adik kepada seseorang, maka mereka tidak sepatutnya dipandang hanya sebagai nombor dan data.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow