- Iklan -
Kolum

Pop, ‘counter culture’ dan MTV

Kali ini muncul apa yang dipanggil video klip setiap lagu baru, setiap album baru wajib ada video klip yang mengiringi lagu-lagu ini.

Hishamuddin Rais
7 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Pada tahun 1968 ketika itu aku dalam tingkatan lima di Sekolah Menengah Undang, Jelebu aku terbaca berita tentang Maharishi Yogi.

Swami dari India ini dilaporkan menjadi guru kepada The Beatles.

Maharishi Yogi datang ke Pulau Pinang atas jemputan penganut agama Hindu.

Apa yang menarik perhatian aku dalam laporan ini ialah tok guru dari India ini terbang ke Tanjung bersama dengan kereta Rolls-Roycenya.

Swami ini diserbu oleh pengikut yang meminta Swami menandatangani buku autograf mereka.

Tok guru ini menulis: “enjoy” dengan kalam emas di buku autograf para pengikut.

Sehingga tahun 1968 aku belum pernah lagi sampai ke Pulau Pinang.

Berita Yogi ini sampai ke Tanjung menarik perhatian aku.

Pada tahun-tahun inilah muzik The Beatles memasukan bunyi sitar ke dalam irama lagu baru mereka.

Bila aku menyambung belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar, minat aku terhadap lagu-lagu pop ini mula merudum.

Minat aku masih ada sebenarnya.

Malah seperti anak muda di zaman itu aku juga ada nama pop.

Nama pop aku ialah Herman.

Ini nama yang aku ambil dari kugiran Herman’s Hermits.

Sampai sekarang masih ada kawan-kawan sedarjah dari Kolej Melayu yang memanggil aku Herman.

Tumpuan aku kepada muzik pop ini merudum kerana dua perkara.

Pertama di Kolej Melayu aku tiada radio.

Aku tidak lagi mengikuti rancangan Penyanyi Pujaan Minggu Ini.

Aku tidak tahu siapa yang pop dan siapa yang tergelincir dari carta.

Malah lagu yang baru keluar tidak lagi aku kenali.

Kugiran pendatang baru, tempatan dan luar negara pun aku tidak tahu lagi.

Kedua, aku mula membaca majalah yang dahulunya tidak pernah aku baca.

Di Kolej Melayu aku bertemu dengan “Far Eastern Economic Review”, majalah politik dan ekonomi Asia Tenggara.

Aku juga mula bertemu dengan majalah dunia, Time Magazine, Newsweek dan Life.

Aku juga mula membaca majalah Kristian Plain Truth yang boleh dilanggan dan dihantar melalui pos secara percuma.

Aku merasa pembacaan baru aku ini lebih memberahikan.

Bahan-bahan baru yang aku baca ini mendewasakan budak kampung dari Jelebu.

Kini perbualan bukan lagi tentang Kassim Selamat atau John Lennon.

Kini aku mengupas dan cuba memahami berita Perang Vietnam.

Mengamati gerakan pelajar dan gerakan anak muda di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) yang menentang Perang Vietnam.

Pada 15-18 Ogos 1969, hampir 400,000 anak muda berkumpul dan berpesta di Bethel, New York berhampiran dengan pekan Woodstock.

Pesta di Woodstock menjadi sejarah, “3 Days of Peace and Music”.

Aku juga cuba memahami apa itu “counter- culture” dan ada apa dengan anak-anak muda hippies.

Dan ada apa dengan Woodstock?

Bila aku masuk ke Universiti Malaya aku dari awal lagi bertekad untuk menjadi anggota Kelab Sosialis.

Kewujudan Kelab Sosialis ini aku ketahui melalui “Mahasiswa Negara”, akhbar rasmi Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).

Di Kolej Melayu ada “penjual tidak rasmi” akhbar ini.

Aku masuk ke Universiti Malaya (UM) pada bulan April 1971, pasca 13 Mei.

Ketika aku menjadi mahasiswa Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 baru sahaja di luluskan.

Parlimen baru kembali bersidang setelah dua tahun darurat di mana pentadbiran negara diuruskan oleh Majlis Keselamatan Negara a.k.a Mageran.

Pop Yeah Yeah masih hebat walau pun tidak aku ikuti lagi.

Kini pengaruh hippie sedang merebak ke seluruh dunia.

Di UM aku tidak lagi memakai kasut.

Kasut kulit akhir aku, “buckle shoes” yang aku beli di Pulau Pinang hilang entah ke mana.

Hilang di Kolej Kelima.

Aku berambut panjang dan memakai selipar Jepun sebagai tanda “counter culture” menentang yang kolot merayakan yang baru.

Pada bulan Julai 1972, anak muda di Kuala Lumpur berpesta di Kem Pengakap Cheras.

Ini versi Woodstock Malaysia.

Selama 30 jam tanpa henti 4,000 pestawan berhibur dengan pelbagai kugiran. Hebat!

Aku tidak pergi.

Aku hanya membaca berita di akhbar.

Pada masa yang sama budaya rock juga berkembang hebat di UM.

Kugiran muncul di Kolej Pertama, Kedua, Keempat dan Fifth Sound dari Kolej Kelima.

Kolej-kolej selalu mengadakan pesta muzik dan malam tari-menari.

Di sini kugiran kolej dan kugiran jemputan akan bermain.

Jangan lupa UM ketika aku menjadi pelajar dan ketika aku menjadi setiausaha agung PMUM, kampus UM menjadi pusat dan sarang budaya tempatan dan antarabangsa.

PMUM bekerjasama dengan R J Lingam Productions dan Pusat Kebudayaan UM menjemput seniman dan artis dari luar negara.

UM bukan lagi dilihat kampus kampung.

UM menjadi wilayah metropolitan yang menggegar lagi membawa yang baru.

Hampir setiap bulan Dewan Tunku Canselor (DTC) akan didatangi alim ulama, pendakwah seni budaya yang dijemput khas.

Antara yang datang ialah: Albert Hammond, “It’s Never Rains in Southern Carlifornia”.

Jose Feliciano “Listen To The Falling Rain”.

The Bee Gees singgah di UM dalam perjalanan pulang dari London ke Australia.

Agnes Chan penyanyi dari Hong Kong mengadakan konsert dua malam di DTC.

Aku masih ingat lagi malam itu di DTC: “I was in this hotel… outside was raining.. so I wrote this song… listen to the falling rain.. Listen to it’s fall…… now I am singing it for you.”

Ini kata-kata Jose Feliciano penyanyi Latino Puerto Rican warga AS.

Malam itu Jose menceritakan bagaimana dia tidak dapat melihat hujan ketika keseorangan dalam bilik hotelnya.

Jose dilahirkan buta.

Dia hanya mendengar bunyi percikan hujan yang memukul tingkap bilik hotelnya.

Aku meminati penyanyi ini.

Pertama kali kami bertemu melalui lagu Old Turkey Buzzard.

Ini lagu tema filem Mac Kenna’s Gold (1969).

Filem lakonan Gregory Peck, Telly Savallas dan Omar Shariff.

Filem ini aku tonton di Ruby Theater, Kuala Klawang.

Aku tidak menyangka satu ketika dalam hidup ini akan bertemu dengan penyanyi Old Turkey Buzzard ini.

Malam itu sesudah konsert aku pergi ke belakang untuk berkenalan dengan Jose.

Dia dibantu oleh adik perempuan yang sentiasa berada di sampingnya.

Aku lakukan ini sama seperti apa yang aku buat dengan Eddie Ahmad di funfair di Kuala Klawang pada tahun 1968.

Dari DTC juga aku juga berpeluang mendengar petikan sitar.

Kali ini petikan sitar dari Ravi Shankar.

Ini sosok tersohor dalam dunia sitar dan muzik klasikal India.

Dari apa yang aku baca Ravi Shankar adalah guru sitar kepada George Harrison pemain gitar utama kumpulan The Beatles.

Hakikatnya, tidak sesaat pun aku menyesali kemudaan aku di UM.

Aku merayakan muda aku seperti yang aku cita-citakan.

Aku menjalani hidup dengan penuh kemudaan.

Aku menulis, aku “enjoy”, hanya bukan dengan kalam emas seperti yang ditulis oleh Maharishi Yogi.

Ketika aku sampai ke Eropah dan London, seperti ada lompong dalam perjalanan Rock n Roll aku.

Ketika aku menghilangkan diri di Pakistan dunia meledak dengan Sex Pistols dan Johnny Rotten.

Aku langsung tidak mengikuti hal ini.

Yang aku baca di Karachi ialah berita John Lennon ditembak mati pada 8 Disember 1980 di New York.

Bila aku sampai ke London muzik berubah.

Hippie mengundur. Kini Punk menjadi “counter culture”.

Budaya pop kini beralih.

Di London aku memahami bagaimana budaya pop Inggeris atau Brits Pop merebak dan meluaskan pengaruh untuk menjajah dunia.

Jawabnya, media! media! media!

Akhbar arus perdana, majalah muzik, majalah gaya hidup, majalah gosip, para akademia, intelektual awam dan rancangan TV semua memainkan peranan yang serentak untuk menjual muzik pop sebagai produk budaya.

Suasana ini dibantu pula syarikat rakaman piring hitam dan studio rakaman yang canggih wujud di sekitar kota London.

Aku perhatikan lagi industri budaya ini dibantu pula oleh tenaga rangkaian karyawan yang berjiwa besar.

Yang ingin melakukan sesuatu yang baru.

Penulis lirik, pemain muzik dan sokongan teknikal semua wujud saling bantu membantu.

Tapi syarat “numero uno”, “awal wahid” untuk budaya menjadi produk eksport ke dunia ialah suasana dan iklim kebebasan dan gaya hidup bebas.

Gaya hidup ini akan menjana untuk melahirkan sesuatu yang baru.

Anak muda kreatif di kota London dididik dari awal lagi untuk bebas merdeka, melakukan yang baru.

Kebebasan adalah “kimia” utama untuk pengkaryaan yang baru.

Fatwa melakukan yang baru inilah yang menjana empat anak muda berambut panjang dari Liverpool mendominasi budaya pop dunia.

Sesudah The Beatles melahirkan album “Sgt. Pepper’s Lonely Hearts Club Band” pada 26 Mei 1967, dunia muzik dan budaya diubah.

The Beatles juga mengubah gaya hidup dan pandangan dunia umat manusia.

Tahun 1981, MTV muncul.

Ini stesen televisyen yang khusus untuk merayakan muzik dan pop.

Kalau dulu kugiran dan penyanyi pop memerlukan majalah muzik, majalah gaya hidup atau akhbar untuk membuat liputan lagu atau album baru.

Kali ini muncul apa yang dipanggil video klip setiap lagu baru, setiap album baru wajib ada video klip yang mengiringi lagu-lagu ini.

Penyanyi akan beraksi mungkin bersama kugiran.

Atau bersama penyanyi dan penari latar.

Lagi hebat video klip ini dibuat lagi memungkinkan album ini laris terjual.

Video klip ini adalah iklan yang menghasut anak-anak muda untuk membeli album, kaset atau CD penyanyi kesayangan mereka.

Stesen MTV ini wajib dilanggan.

Aku tidak melanggan.

Rumah aku hanya ada peti TV untuk melihat empat saluran percuma, BBC1, BBC2, ITV dan Channel 4.

Ada sekali ketika aku berurusan untuk membayar bil gas dan elektrik, aku ternampak siaran MTV.

Mata aku terbuka melihat tarian dan nyanyian yang tidak penah aku lihat di TV aku sendiri.

Cukup memberahikan, penuh dengan imej wanita sexy cun bergetah.

Juga penari lelaki yang kacak, jambu atau sado.

Tahun 1990 minat aku terhadap muzik semakin berkurangan, semakin kendur.

Aku juga tidak memiliki banyak masa, aku belajar sepenuh masa dan juga bekerja di hujung minggu.

Aku sedar kota London ini ialah pusat muzik dunia.

Dari muzik pop, muzik klasik hingga ke muzik experimental, semua wujud dalam kota London.

Dalam kota London ada banyak dewan muzik yang merayakan pelbagai genre muzik dari seluruh dunia.

Aku hanya melihat-lihat dan memandang-mandang sambil lalu.

Marquee Club di Wardour Street, Soho ialah dewan muzik yang tersohor dan bersejarah aku lintasi selalu tetapi tidak pernah memasukinya.

Kini dunia aku beralih ke filem dan teater.

Aku ingat lagi pada petang Rabu dalam perjalanan dari Riding House Street, tempat aku belajar menuju ke Shaftesbury Avenue, tempat aku bekerja sebagai pelayan.

Aku wajib melintas depan Marquee kemudian masuk ke Old Compton Street.

Tiba-tiba di penghujung Old Compton Street, aku ditahan.

“My maaan… you looks cool.”

Suara anak muda berkulit hitam.

Aku memakai kaca mata hitam.

Di London aku selalu memakai kaca mata hitam Ray Ban.

Kadang-kadang waktu malam pun aku pakai kaca mata hitam terutamanya dalam kereta api bawah tanah.

Bila aku di tanya kenapa siang malam aku memakai kaca mata hitam maka aku menjawab: “ I have to protect my eyes from too many ugly faces in London.”

Aku memakai kaca mata hitam untuk menyelamatkan mata aku dari melihat terlalu banyak muka hodoh.

“Thanks.. my man.”

Aku berterima kasih, menoleh dan meneruskan perjalanan.

“Wait a minute.. I need to talk to you.”

Anak muda ini masuk ke tengah jalan dan menghulurkan tangan.

“Whats up?” Aku kehairan bertanya.

Anak muda ini menggamit aku dan mengajak aku masuk ke bangunan.

Aku risau juga.

Tapi Soho ini wilayah yang aku kenali.

Hati kecil aku berkata ini Soho bukan Brixton, bukan wilayah Jamaica.

Jadi aku yakin anak muda ini bukan hendak menyamun aku.

Dia menarik aku masuk ke tingkat pertama bangunan di Old Compton Street.

Pintu pejabat dibuka.

“This is our production house.. we do video clip … commercial.. and corporate videos. My name is Ashton.. me.. production assistant doing everything here… the boss is not around.”

“Isham.” Aku menghulur tangan.

“Ish.. isham Isham… you looks cool with your shade… looks cool. I’ve been hanging on that street for many hours waiting for someone … you came… can you dance…of course you could.”

Ashton bersurah aku tak tahu hujung pangkal.

“I am a waiter… dance… why not? Where is the party?” Aku berseloroh.

“We are doing video clip this Saturday… we need you… dancing and acting for us … dancing .. for a video clip.”

“For who?” Aku cepat bertanya.

“Tears For Fears and Oletta Adams.”

Anak muda ini menunjukan gambar penyanyi pop yang tidak aku kenali tergantung di dinding pejabat.

Aku yang sudah begitu jauh dengan budaya pop.

Aku tidak tahu siapa itu Oletta Adams atau siapa Tears For Fears.

Aku hanya menganggukkan kepala.

Anak muda ini membuka laci meja dan mengambil beberapa keping kertas.

“Here is the studio…the address… calling time.. shooting timetable…. okay with you bro?”

Wow. Aku ini betul-betul bakat yang ditemui di tepi jalan.

Aku akan berlakon sekali lagi, kali ini untuk video klip.

“Ashton…I will be there this Saturday.”