- Iklan -
Kolum

Pembangkang tersepit dengan CSA

Menerima atau menolak tawaran Ismail hanya akan menjauhkan pembangkang daripada kemenangan PRU15.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Politik negara masih dalam keadaan terumbang-ambing.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob boleh dijatuhkan bila-bila masa meskipun beliau baru dilantik Yang di-Pertuan Agong.

Majoriti sebanyak 114 ahli Parlimen menyukarkan tugas perdana menteri.

Beliau perlu menjaga hati semua pihak.

Beliau tidak mungkin dapat memuaskan hati semua yang menyokongnya menjadi perdana menteri terutamanya pihak Bersatu dan golongan Umno yang menjatuhkan Muhyiddin Yassin daripada kerusi perdana menteri.

Oleh itu, perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) antara pembangkang dan kerajaan lebih diperlukan perdana menteri berbanding pembangkang.

Jika pembangkang menerima CSA ketika ditawarkan bekas perdana menteri Muhyiddin, Umno kini sudah berpecah dua.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga akan berpecah, dan terpaksa bergantung nyawa pada pembangkang.

Menerima CSA yang ditawarkan Ismail hari ini ibarat pisau memotong diri buat pembangkang, namun ia terpaksa dibuat demi mengutamakan kepentingan rakyat.

Ini kerana parti-parti di dalam kerajaan diberi masa untuk membuat persiapan ke arah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai kerajaan, manakala pembangkang pula dilihat sebagai pendokong polisi kerajaan, nak kritik pun akan kelihatan hipokrit.

Apabila rakyat mendapat manfaat daripada CSA, yang mendapat kredit di PRU15 adalah kerajaan dan bukannya pembangkang.

Jiwa besar pembangkang yang menerima CSA ini tidak akan dikenang.

Buah mangga jiran berjaya dijolok menggunakan galah jiran.

Malangnya buah itu jatuh ke rumah jiran sebelah.

Begitulah kisah pembangkang hari ini yang berjaya mendesak Muhyiddin sehingga letak jawatan bersama sekumpulan ahli Parlimen Umno.

Menerima tawaran CSA yang sama daripada Ismail amat berbeza dengan menerima tawaran yang dikemukakan Muhyiddin meskipun isinya sama.

Menerima tawaran Muhyiddin mendekatkan pembangkang ke arah kemenangan PRU15.

Menerima atau menolak tawaran Ismail hanya akan menjauhkan pembangkang daripada kemenangan PRU15.

Menerima akan menguatkan parti-parti di dalam kerajaan, manakala menolak CSA akan dilihat mengutamakan politik dan tidak mengutamakan rakyat.

Pembangkang perlu belajar politik daripada Umno.

Mereka sudi membiarkan Ismail menjadi perdana menter, asalkan parti kekal berkuasa.

Pembangkang sanggup kehilangan kerajaan asalkan calon perdana menteri tidak ditukar.

Jika calon perdana menteri sanggup ditukar, kemungkinan besar politik negara bakal bergolak semula.

PRU15 tidak akan bermakna bagi rakyat tanpa akta anti lompat parti.

Itulah satu-satunya kebaikan CSA ini yang boleh dibanggakan.

Percayalah akta ini akan menjadi akta paling dibenci di PRU15 apabila tiada siapa boleh dibeli untuk melompat bagi mencari angka ajaib 112 jika parti-parti Melayu dalam kerajaan iaitu Umno, PAS dan Bersatu gagal berunding kerusi sempena PRU15.