- Iklan -
Rencana

Rakyat akar umbi masih terima Muhyiddin

Lantikan Muhyiddin sebagai pengerusi MPN bukan dibuat secara sendirian oleh PM, tetapi secara kolektif oleh jemaah menteri.

Mohd. Noor Yazid
3 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara  Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Lantikan Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri sewajarnya disambut baik oleh segenap lapisan masyarakat.

Sangat tidak betul dakwaan yang masih mengaitkan Muhyiddin dengan “kerajaan gagal” kerana ia tidak mencerminkan penerimaan rakyat di akar umbi sebaliknya sentimen partisan sahaja.

Kita boleh faham bila orang seperti Saifuddin Nasution Ismail menyebut Muhyiddin “yang bertanggungjawab atas penderitaan rakyat ketika ini” kerana dia pemimpin PKR.

Begitu juga dengan orang seperti A Kadir Jasin yang menyifatkan lantikan itu seperti “tikus dibagi tugas memperbaiki labu yang dirosakkannya” kerana dia memusuhi Muhyiddin.

Hakikat sebenarnya ialah data menunjukkan tahap penerimaan ke atas Muhyiddin masih lagi tinggi pada tarikh beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos lalu.

Ini terbukti dari kaji selidik Merdeka Centre pada 10-12 Ogos lalu yang menunjukkan tahap penerimaan ke atas beliau berada pada 52%, dengan 74% Melayu teguh menyokong beliau.

Beliau juga terbukti tetap popular dalam kalangan rakyat walaupun selepas meletakkan jawatan dengan hantaran Facebook beliau mendapat sambutan hangat daripada para pembaca.

Hantaran Facebook bertajuk “Amanat Terakhir Tan Sri Muhyiddin kepada Pegawai Pejabat Perdana Menteri” contohnya mendapat 22,000 komen, 41,000 perkongsian dan 215,000 sukaan.

Lebih mutakhir adalah kenyataan media penerimaan lantikan sebagai pengerusi MPN yang mendapat 6,200 komen, 2,700 perkongsian dan 68,000 sukaan yang membuktikan sokongan kepada beliau.

Amat malang sekali bila beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai perdana menteri bukan kerana gagal mendapat sokongan rakyat tetapi kerana penarikan balik sokongan Ahli-Ahli Parlimen tertentu.

Begitulah juga dengan imej “Kerajaan Gagal” yang terus-menerus cuba dipalitkan kepada Muhyiddin walaupun beliau telah berusaha sedaya-upaya melakukan yang terbaik sepanjang pemerintahan beliau.

Jika ada yang kurang pada diri Muhyiddin maka ia adalah kekurangan pada team media beliau dan pada kementerian komunikasi dan multimedia untuk menonjolkan pencapaian beliau.

Seperti yang ditulis oleh Jeremiah Lee TS dalam portal Malaysiakini: “We admire Muhyiddin because he was always quiet and focused. He was a person of action, not just empty talk.”

Sambung Jeremiah lagi: “Muhyiddin knew he was here to serve and that is what he did. He worked quietly for the people and this is what we admire and want.”

Seperti yang disebut oleh Muhyiddin sendiri dalam amanat terakhir sebagai perdana menteri beliau, tugas dan tanggungjawab yang beliau terpaksa pikul agak luar biasa, “in most difficult of times, in unprecedented times.”

Bagaimanapun, dalam tempoh 17 bulan beliau telah buat apa yang beliau fikir diperlukan untuk menyelamatkan nyawa rakyat jelata, menentukan mereka ada makanan di atas meja dan nyawa mereka selamat.

Terang Muhyiddin: “Jemaah menteri yang saya bentuk dan kerajaan yang telah terbentuk selama ini kerja tak ada apa, Covid, Covid, siang malam, pagi subuh tengok berapa data, angka.”

Cara Muhyiddin bekerja memang tidak banyak cakap tetapi data dari segi vaksinasi khususnya membuktikan pencapaian yang agak luar biasa beliau di mana akhir Oktober ini kita akan menghampiri imuniti kelompok.

Jangan lupa bahawa Muhyiddinlah yang memulakan inisiatif MPN bermula daripada mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN) pada 9 Julai.

JKKPPN yang bertujuan untuk memantau pelaksanaan strategi dan bantuan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini kemudiannya dibubarkan pada 16 Julai untuk digantikan dengan MPN.

Perlu diingat bahawa keputusan MPN bukanlah dibuat oleh Muhyiddin sendiri kerana ia juga dianggotai oleh wakil-wakil dari sektor swasta, pakar industri, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Apatah lagi bila Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, sendiri dalam ucapan khas pertama beliau menawarkan ruang kepada pemimpin pembangkang untuk menganggotai MPN.

Berdasarkan pengalaman dan pengetahuan mendalam beliau mengenai perancangan dan tindakan memulihkan negara dari pandemik Covid-19 maka amatlah sesuai Muhyiddin dilantik mengetuai MPN.

Lantikan ini pastinya akan menjamin kesinambungan di dalam perancangan dan tindakan kerajaan yang disertai oleh pelbagai penambahbaikan ekoran kemasukan anggota baru, termasuk pemimpin pembangkang.

Perlu diingat bahawa lantikan Muhyiddin ini bukan dibuat secara sendirian oleh Ismail tetapi secara kolektif oleh jemaah menteri dalam mesyuaratnya pada 1 September lalu.

Oleh itu, lantikan ini tidak seharusnya dijadikan sebagai satu isu untuk merendah-rendahkan sesiapa, apatah lagi bila ia telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Jika mahu dikatakan bahawa dengan sebab lantikan sebagai Pengerusi MPN ini maka Ismail Sabri akan menjadi boneka kepada Muhyiddin maka ia adalah satu pembohongan di siang hari.

Ini kerana walaupun lantikan sebagai Pengerusi MPN ini menjadikan Muhyiddin bertaraf Menteri tetapi beliau tidak dilibatkan dalam proses pembuatan keputusan oleh Jemaah Menteri.

Begitu juga jika mahu dikatakan bahawa dengan sebab lantikan sebagai Pengerusi MPN ini maka akan banyak dana kerajaan terbazir untuk membayar gaji Muhyiddin yang merupakan satu kepalsuan.

Ini kerana Muhyiddin sendiri sejak awal lagi telah menyebut sewaktu menerima pelantikan ini bahawa beliau akan menjalankan tugas secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.

Muhyiddin juga sedar bahawa beliau hanya akan berperanan membantu Ismail membawa Malaysia melalui fasa-fasa pemulihan sepertimana yang telah digariskan dalam PPN.

Akhirnya, lantikan ini juga adalah cerminan kepada prinsip kebersamaan Ismail dan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan semua pihak agar melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Mohd Noor Yazid adalah pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow