- Iklan -
Kolum

Bersediakah kita hadapi endemik Covid-19?

Kesedaran yang perlu ada ialah hakikat bahawa dunia tidak boleh kembali pada zaman pra-Covid-19.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Banyak negara sudah menerima hakikat bahawa pandemik Covid-19 ini tidak akan berakhir sepenuhnya.

Ia akan menjadi endemik.

Iaitu ia merupakan satu penyakit yang akan terus wujud dalam masyarakat.

Manusia perlu meneruskan kehidupan bersama virus Covid-19 dalam keadaan terkawal.

Australia yang pada mulanya menyasarkan Covid-19 sifar mengubah polisi kepada mengawal jangkitan ini dengan tidak menaruh harapan untuk menghapuskan sepenuhnya.

New Zealand yang berbulan-bulan tidak ada lagi laporan kes Covid-19, tiba tiba muncul juga virus itu dan tindakan segera dilakukan bagi membendungnya dengan kesedaran bahawa wabak ini hanya boleh dikawal tetapi tidak dapat dihapuskan.

Singapura yang juga berjaya mengawal wabak Covid-19 ini dengan program imunisasi menyeluruh tiba-tiba menghadapi kes jangkitan dengan ada yang tidak dapat dikesan puncanya.

Malaysia juga membayangkan bahawa pandemik ini akan menjadi endemik.

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, negara akan masuk ke keadaan endemik pada Oktober ini.

Kehidupan tidak akan dapat kembali seperti tahun 2019.

Pada masa-masa akan datang, orang akan terus perlu melakukan vaksinasi penuh.

Prosedur Operasi Standard (SOP) tetap perlu dijaga dan banyak perkara yang dilakukan semasa zaman pra-Covid-19 tidak akan dapat dilakukan lagi.

Pandemik bermaksud wabak yang jangkitannya meluas dengan merentas sempadan negara.

Endemik pula bermaksud sesuatu keadaan wabak yang sentiasa ada, iaitu sesuatu penyakit yang tidak boleh dihapuskan sepenuhnya.

Kalau dilihat lumrah alam, fenomena pandemik bertukar menjadi endemik ini adalah suatu yang dapat difahami.

Memang benar bahawa wabak-wabak dahulu akhirnya tamat juga.

Tetapi tidaklah semua begitu.

Kesan daripadanya tetap ada dan bentuknya adalah berbagai.

Fenomena alam ini bukan saja ada pada wabak penyakit tetapi juga terhadap kelakuan manusia.

Sebagai contoh, perang itu adalah seperti pandemik.

Tetapi ada kalanya ia menjadi endemik.

Ketegangan terus berlaku di Eropah selepas Perang Dunia Pertama.

Ia memunculkan Nazisme di Jerman, Fasisme di itali dan Militarisme di Jepun.

Akhirnya keadaan ini membawa kepada Perang Dunia Kedua.

Begitu juga dengan Perang Dunia Kedua yang berakhir dengan Jepun menyerah kalah.

Tetapi perang ini rupa-rupanya bukan merupakan suatu pandemik, tetapi ia adalah juga endemik.

Perang Dunia Kedua membawa kepada Perang Dingin.

Sementara Perang Dingin berakhir dengan kejatuhan Soviet Union.

Tetapi ia berubah keadaan kepada perang melawan keganasan, yang terus berlanjutan seperti apa yang dilihat dari perkembangan Afghanistan buat masa ini.

Tentunya wabak penyakit tidak boleh disamakan dengan peperangan.

Tetapi apabila melihat bagaimana fenomena alam bergerak, maka seseorang dapat melihat corak sesuatu perkembangan yang boleh dicerap sebagai suatu proses kejadian.

Apa yang berlaku hari ini tidak dapat diramalkan secara tepat dan terperinci oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) walaupun gambaran projeksi dengan menggunakan matematik ke atas data menunjukkan beberapa kemungkinan.

Sebab itu pada awal tahun lalu WHO lambat mengisytiharkan Covid-19 ini sebagai pandemik.

Begitu juga endemik hanya diumumkan pada tahun ini, tetapi ia masih pada peringkat kemungkinan.

Jadi selama ini, ramai pihak di dunia mengharapkan wabak Covid-19 ini cepat berakhir.

Tetapi harapan itu tidak dapat dipenuhi.

Pandemik ini berlarutan, dan apabila ia kelihatan berada di hujungnya, keadaan berubah menunjukkan tanda-tanda ia akan menjadi endemik.

Negara-negara yang sudah dapat mengatasi Covid-19 ini seperti China, Taiwan, Israel, Singapura dan New Zealand menyaksikan kemunculan semula Covid-19.

Selain itu, varian baru juga dikesan.

Bukan saja varian Delta dan Beta tetapi juga yang terkini ialah Mu.

Harapan manusia ialah Covid-19 ini akan bermutasi hingga menghasilkan varian yang bukan saja tidak membahayakan tetapi dapat membunuh varian-varian terdahulu.

Tetapi buat masa sekarang, perkara ini masih pada peringkat teori.

Jadi apakah persediaan yang perlu dilakukan bagi menghadapi endemik Covid-19?

Cara terbaik bagi orang ramai ialah memahami apa yang diumumkan oleh kementerian kesihatan dan mematuhi arahan-arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Apabila endemik itu sampai kelak, pihak berkuasa yang menerima nasihat pakar bertanggungjawab menggubal rancangan tindakan.

Di peringkat dunia, tentulah maklumat terbaik masih datangnya dari WHO.

Namun begitu, bagi mereka yang berkemampuan untuk memahami dengan minda terbuka dan berimbang, bolehlah mereka mengikuti maklumat dan pandangan yang berbeza dari pelbagai sumber.

Tetapi ia perlu dibuat dengan kesedaran bahawa banyak maklumat palsu dalam alam maya terutama dari mereka yang bersikap anti sains, pseudosains dan golongan penggemar teori konspirasi.

Perkara kedua dalam menghadapi endemik Covid-19 ini ialah persediaan mental seseorang.

Kesedaran yang perlu ada ialah hakikat bahawa dunia tidak boleh kembali pada zaman pra-Covid-19.

Pendapatan seseorang dan ekonomi dunia tidak akan kembali seperti dahulu.

Dua tahun, 2020 dan 2021 menjejaskan pergerakan ekonomi dunia, negara dan seseorang.

Sektor-sektor seperti pengangkutan, pelancongan dan segala yang berkaitan dengannya pasti berubah.

Maknanya kalau selama ini, harapan bahawa keadaan akan pulih membawa kepada seseorang itu bersikap menunggu dan bertahan untuk bangkit semula hanyalah sesuai bagi pandemik.

Tetapi ia tidak sesuai untuk endemik.

Minggu lalu ada pengumuman menyatakan sebuah medan selera yang popular di Suria KLCC tutup selamanya.

Medan selera ini melakukan pengubah suaian besar pada tahun 2018 dan 2019 tetapi ternyata usaha mereka itu dimusnahkan oleh Covid-19.

Banyak lagi restoran ditutup terus akibat pandemik ini.

Beberapa bulan lalu, ada laporan menyebut bahawa Jonkers Street di Melaka juga tutup secara kekal.

Kesan terhadap pusat-pusat membeli-belah di seluruh negara pasti besar dan meluas.

Tetapi tidakkah selepas pandemik ini, keadaan perniagaan dan perdagangan akan pulih dan kembali pada keadaan tahun 2019?

Kalau pandemik ini tamat sepenuhnya, maka itulah harapannya.

Tetapi bagaimanakah seseorang dapat melihat pandemik ini tamat kerana ia akan berubah menjadi endemik?

Sebagai contoh, dalam endemik Covid-19, restoran boleh kembali dibuka dan pelanggan dibenarkan makan di dalamnya.

Tetapi ia hanya dibenarkan bagi mereka yang lengkap dua dos.

Maka bilangan pelanggan pasti mengecil.

Walaupun 100 peratus orang ramai menerima dua dos, tidak semua berani untuk makan dalam kedai.

Ini kerana risiko masih ada.

Dalam keadaan ini penyesuaian perlu dibuat.

Tambahan pula, dalam endemik, akan ada suntikan booster, dos ketiga dan seterusnya.

Umumnya, orang akan kurang makan di luar, kurang melancong dan kurang menginap di hotel berbanding zaman pra-Covid-19.

Dari segi kos untuk hidup pada masa endemik juga lebih tinggi berbanding dahulu.

Sekurang-kurangnya pada masa pandemik, suasananya adalah tunggu dan berharap kerana keadaan dijangka lebih baik selepas bencana ini berlalu.

Tetapi endemik ini menunjukkan bahawa keadaan dunia berada di bawah bayang-bayang ancaman Covid-19 yang berterusan.

Dalam endemik, kerajaan mesti memberi peruntukan yang lebih pada kementerian kesihatan untuk sentiasa menghadapi Covid-19.

Malah mungkin ada hospital yang dikhaskan untuk pesakit virus ini secara kekal.

Ini bermakna peruntukan untuk perkara lain terpaksa dikurangkan.

Bagi peruntukan kesihatan pula, perhatian terhadap penyakit lain terpaksa dikurangkan untuk dialihkan kepada Covid-19 secara berkekalan.

Banyak lagi perkara lain yang perlu dilakukan untuk menghadapi keadaan di mana pandemik ini berubah menjadi endemik.

Daripada pendidikan sampailah kepada aktiviti keagamaan dan sosial yang akan turut mengalami perubahan.