- Iklan -
Kolum

Iklan dan hasut

Aku merasa bangga melihat orang AS pakai sabun Lux macam aku di Ulu Klawang.

Hishamuddin Rais
7 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Pada tahun 1959 aku dalam darjah tiga.

Ketika itu keluarga kami duduk di Ulu Klawang.

Kami tinggal di rumah guru Sekolah Umum Batu Serambai.

Pada awal tahun, Cikgu Zaleha Sidek menerima sebuah buku diari bergambar.

Buku diari ini adalah hadiah dari United States Information Service (USIS).

Ini pastilah sebahagian daripada tugas kedutaan di Kuala Lumpur untuk memberi maklumat tentang negara besar yang bernama Amerika Syarikat (AS).

Dalam buku ini banyak gambar-gambar yang amat menarik lagi cantik.

Gambar kampung di AS.

Gambar ladang buah limau di California.

Gambar koboi naik kuda di ladang.

Gambar kota New York.

Gambar ibu kota AS, Washington DC.

Memang cantik dan menarik.

Ada satu gambar dari buku diari ini yang terlekat dalam hati aku.

Ini gambar sabun Lux.

Gambar ini menjadi ingatan kerana aku tidak sangka di AS juga ada orang yang menggunakan sabun mandi Lux.

Pada hemat aku ketika itu sabun mandi Lux ialah sabun mandi Tanah Melayu.

Ini kerana sabun mandi Lux menjadi sabun mandi kami sekeluarga.

Malah dalam kedai Makcik Jarah yang terletak di depan sekolah Batu Serambai ada sabun mandi Lux dijual dengan harga 25 sen sebuku.

Aku merasa bangga melihat orang AS pakai sabun Lux macam aku di Ulu Klawang.

Pada sabun Lux yang keluarga aku pakai ada gambar Minah Salleh yang cun terpapar pada kertas pembalut.

Aku tidak tahu siapa Minah Salleh ini.

Apa yang aku faham Minah Salleh ini juga menggunakan sabun Lux.

Minah Salleh pakai sabun Lux menyebabkan dia jadi cantik.

Aku pun faham, kita yang berkulit sawo matang jika pakai sabun yang sama pasti juga akan jadi cantik.

Beberapa tahun kemudian wajah Minah Salleh di pembungkus sabun Lux bertukar.

Kali ini wajah Latifah Omar.

Aduh! Latifah Omar ini memang aku minati.

Latifah dengan tahi lalat di dagu adalah mimpi khayal aku.

Latifah cun dan bergetah.

Aku yang dibesarkan oleh filem Melayu Cathay Keris.

Justeru aku amat mengenali Latifah.

Latifah selalu berlakon menjadi kekasih Nordin Ahmad.

Latifah selalu memiliki kawan bernama Roseyatimah.

Roseyatimah pula akan menjadi kekasih Mustapha Maarof.

Aku tak sangka Latifah akan menggantikan muka Minah Salleh dikertas pembalut sabun Lux.

Aku juga bertambah bangga kerana Latifah yang cun bergetah juga memakai sabun Lux seperti kami sekeluarga di Ulu Klawang.

Ketika aku menonton filem Melayu di Ruby Theatre di Kuala Klawang, ada juga ditunjukkan filem pendek.

Seorang Minah Salleh yang berkemban nak masuk ke dalam tab mandi.

Dia ada membawa sabun Lux.

Kemudian Minah Salleh dalam tab mandi.

Kemudian dengan berbuih-buih Minah Salleh ini akan menyapu badan dengan sabun Lux.

Kemudian aku terbaca satu temubual bersama Latifah.

Mengikut Latifah kerana wajahnya digunakan oleh sabun Lux, maka saban bulan syarikat sabun itu akan menghantar sabun ke rumah Latifah.

Apabila sesiapa datang ke rumah Latifah, maka sahih terbukti bahawa Latifah sah menggunakan sabun mandi Lux.

Aku berfikir juga kenapa aku tidak ditemubual.

Aku akan buktikan keluarga Cikgu Zaleha anak beranak juga menggunakan sabun mandi Lux sama seperti Latifah Omar.

Bila aku sudah lama ke sekolah, maka aku mula faham tentang gambar Minah Salleh dan Latifah Omar di kertas pembalut sabun Lux.

Ini namanya iklan.

Muka mereka digunakan untuk mengiklankan sabun Lux.

Iklan ini menayangkan muka yang cun lagi bergetah.

Bakal pembeli sabun Lux ini jika mandi menggunakan Lux maka kulit mereka pasti akan jadi licin, cun dan bergetah seperti kulit muka Latifah.

Aku semakin sedar Latifah yang aku minati itu adalah umpan untuk menarik hati bakal pembeli.

Para pembeli diumpan oleh kecantikan Latifah.

Ketika itu aku terfikir kalau hanya kerana cantik, kenapa syarikat Lux tidak menggunakan muka Tengku Alawiyah kawan sedarjah aku.

Anak Tok Penghulu Ulu Klawang ini juga aku takrifkan sebagai cun dan bergetah.

Pasti ada sebab yang lain.

Pemahaman aku tentang wanita dijadikan umpan ini datang lambat.

Ada perkara-perkara lain yang datang bersama umpan yang bernama Latifah Omar.

Kisah Latifah Omar dengan sabun Lux ini aku bawa berkelana hingga ke London.

Tiba-tiba telefon aku berdering lagi.

“Hello Rais. There is a job.”

Di hujung talian suara Jimmy dari Oriental Casting.

“Rais is my father. He is in Malaysia. Call me Isham.”

Sekali lagi aku betulkan nama panggilan untuk diri aku.

Rais ini nama ayah aku.

Ini cara budaya panggilan nama untuk orang Eropah.

Mereka memanggil kita mengikut nama ayah kita.

“Sorry Isham.”

Jimmy minta maaf.

“No worries mate.”

Ini ucapan gaya Australia aku yang aku belajar di Melbourne ketika aku berkelana di negara itu.

“Amex advert. Need a guy, Asian bloke… are you keen?”

Satu lagi kerja filem dalam otak aku.

“What is Amex?”

Aku budak kampung duduk di London bertanya .

“Amex the credit card. American Express Credit Cards. They are doing commercial… with a Bali Hotel.” Jimmy memberi pencerahan.

“Ooo cool count me in.”

Dalam kepala apakah aku ada peluang meninggalkan kota London yang sejuk.

Mungkin penggambaran akan dilakukan di Bali atau Jamaica.

“I think the shoot in London at Hilton Park Lane. I will mail you the details.”

Jimmy menerangkan di mana penggambaran akan berjalan.

Ciss. Aku kecewa. Bukan ke Bali atau ke Jamaica, masih di London.

Aku tahu hotel ini.

Aku selalu ternampak ketika aku naik bas.

Park Lane ini kawasan mewah.

Bukan seperti wilayah East End atau Brixton.

Park Lane wilayah West London tempat kediaman orang kaya-kaya.

Tempat bercanda-canda Tok Arab, Orang Minyak, Orang kaya Baru dan Orang Kaya Lama.

Kalau kita main Monopoly kita tahu nilai mahal Park Lane.

Aku pernah sekali masuk dalam Hilton Park Lane ini.

Ceritanya begini: Aku dapat panggil telefon dari adik Kamarazaman Yacob, yang kawan-kawan panggil dia Zaman.

Si Zaman ini kawan lama dari zaman Universiti Malaya.

Adik Kamarazaman bernama Sabri.

Ketika Sabri menelefon aku, dia menginap di Hotel Hilton Park Lane.

Aku tak pernah kenal sosok bernama Sabri ini.

Rupa muka pun tak pernah aku lihat.

Kawan aku Zaman pernah bercerita pada aku bahawa adiknya bernama Sabri pelajar jurusan undang-undang di Universiti Malaya.

Si Sabri ini juga pernah menjadi presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).

Nampaknya dari sejarah, abang dan adik pernah memimpin PMUM.

Ketika Sabri menelefon aku, dia dalam lawatan ke London bersama Menteri Pelancongan Sabaruddin Chik.

Aku difahamkan si Sabri ini bertugas sebagai setiausaha kepada pak menteri ini.

Setiausaha jenis apa aku tidak tahu dan aku tidak ambil pot.

Ketika ini aku sudah jadi Londoner.

Tak ikut sangat hal politik Malaysia.

Aku mencadangkan bertemu di Delhi Brasserie di daerah Soho, London.

Aku tahu restoran ini.

Tapi tak pernah masuk.

Kali ini kerana ada Sabri nak belanja, maka aku memilih restoran ini.

Sesudah menjamu selera masakan India, Sabri mempelawa aku minum kopi ke Hilton.

Ah! Aku tidak menolak.

Dari Soho kami ambil teksi menuju ke Park Lane.

Inilah kali pertama dalam hidup aku masuk ke Hotel Hilton.

Aku tidak tahu pun berapa harga secawan kopi.

Pasti melintasi lima pound sterling.

Si Sabri yang membayar dengan tanda tangan biliknya.

Tiba-tiba aku terlibat sekali lagi dengan Hotel Hilton.

Kali ini aku perlu berlakon di Hilton Park Lane.

“Isham. If they ask you special hair cut or shave your beard or special dress. You tell me…. will bill them extra.”

Jimmy agen aku memberi penjelasan.

Wow! Kuat betul kuasa Equity – Persatuan pelakon di Kota London menjaga kebajikan.

Ketika ini Maria gadis dari Finland menjahitkan aku satu jaket dari kain Tweed.

Jadi tak perlu aku membuat jaket baru.

Aku diminta memakai seluar hitam, berjaket dan berbaju lengan panjang.

Wajib dilihat kacak dan bergaya sebagai pelanggan yang selalu ke Hilton.

Di London kasut aku sentiasa Doc Mart.

Semua pakaian yang diperlukan tidak menjadi masalah kerana aku yang bekerja sebagai pelayan restoran, memiliki pakaian jenis ini.

Sabtu petang hari yang ditetapkan, aku sampai ke hadapan Hilton.

Aku nampak tenaga kerja sudah bersedia.

Lampu penggambaran terpasang.

Aku pergi mendaftar diri.

Pengarah, Mat Salleh berumur dalam 40-an.

Aku lihat pakaian dia macam fesyen punk tak jadi.

Aku hanya tersenyum.

Apa pun fesyen salah yang dipakai, dia pengarah filem iklan ini.

Aku hanya pelakon dan wajib ikut arahan.

Babak aku: Aku dengan dua Mat Salleh wajib berjalan menuju ke pintu Hotel Hilton.

Berjalan dengan bergaya santai datang bercuti ke Hilton.

Filem iklan ini tidak ada kata bual.

Yang perlu rupa bentuk dan gaya aku berjalan dan menuju ke pintu Hilton.

Aku pelajar filem merasa amat bangga kerana kini aku dapat berpeluang melihat bagaimana iklan dibuat dengan menggunakan kamera 35mm.

Aku belum pernah melihat kamera jenis ini.

Dari pintu hotel masuk ke dalam hotel.

Kamera mengikuti kami.

Aduh! Bila aku masuk ke dalam coffee house Hilton aku terperanjat.

Semuanya diubah suai.

Tempat aku dan Sabri minum dahulu kini menjadi ruang tamu Hilton di Bali.

Di atas meja kelihatan buah-buahan tropika, nenas, kelapa muda, pisang yang diselang seli dengan bunga orkid.

Pisang dan nenas dua buah yang agak mahal harganya di London.

Buah kelapa muda memang mustahil hendak dijumpai.

Entah dari mana ianya diterbangkan untuk menjadi prop iklan ini.

Babak kami berjalan menuju ke meja kafe.

Ini sahaja lakonan aku, berjalan macam orang kaya yang ingin bercanda-canda di Hilton.

Lakonan aku berjalan ini pun diambil tiga kali.

Memang susah orang tak berduit nak berlakon macam orang kaya.

Jalan pun tidak betul.

Dalam bahasa orang filem “three takes”.

Tiga kali ambil rakaman.

Di satu babak lain seorang Mat Salleh kacak dan bergaya sedang duduk semeja dengan seorang minah yang cun dan bergetah.

Mereka sedang berlabun mesra dalam kafe yang dihiasi oleh bunga yang menggambarkan “ambiance” tropika.

Mat Salleh inilah bintang utama iklan ini.

Aku jangkakan setelah selesai minum kopi Mat Salleh ini akan memanggil pelayan meminta bil.

Apabila bil sampai maka dia akan meletakkan kad Amex ke dalam dulang bayaran.

Lima jam kemudian semua beres.

Iklan ini tidak akan melebihi satu minit apabila disiapkan.

Dalam dunia iklan tiada iklan panjang sampai tiga atau lima minit.

Epilog 1:

Selesai penggambaran aku menapak ke Soho.

Lalu aku teringat akan Latifah Omar dengan iklan sabun mandi Lux.

Latifah terus diberi kan sabun Lux untuk membuktikan bahawa dia menggunakan sabun ini.

Aku terfikir alangkah bahagianya aku jika aku diberi kad Amex untuk membuktikan bahawa aku adalah pengguna kad kredit ini.

Tapi hakikatnya dari dahulu hingga ke hari ini aku tidak memiliki apa-apa bentuk kad kredit.

Jauh sekali memiliki Amex.

Tapi aku dijadikan umpan, berlagak sebagai orang kaya memasuki Hotel Hilton untuk memancing penonton agar memiliki Amex.

Epilog 2:

Aku belum pernah melihat jauh sekali bermalam di bilik Hotel Hilton.

Hotel Hilton KL Sentral aku nampak setiap pagi dari Jirat Hokkien ketika aku membawa anjing aku, Tak Tak dan Ezi berjalan setiap pagi dan petang.

Aku hanya nampak tapi belum pernah masuk Hilton KL Sentral.

Epilog 3:

Pada 8 Januari 2015, aku didapati bersalah.

Aku dituduh menghasut orang ramai untuk keluar berdemonstrasi melawan kerajaan.

Aku dituduh di bawah Akta Hasutan 1948.

Mahkamah Sesyen mendapati aku bersalah.

Aku didenda RM 5,000.

Pendakwa merayu ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwa tak puas hati aku hanya kena denda.

Pada 15 Januari 2016, Mahkamah Tinggi menjatuhkan aku hukuman penjara sembilan bulan penjara.

Aku membuat rayuan.

Pada 16 Mei 2016, tiga Hakim di Mahkamah Rayuan menolak hukuman Mahkamah Tinggi dan mengekalkan hukum denda RM 5,000, keputusan Mahkamah Sesyen.

Epilog 4:

Sebulan kemudian aku sempat melihat iklan Amex ini di saluran ITV London.

Aku melihatnya iklan 30 saat ini hanya sekali.

Aku tidak tahu di stesen TV negara mana lagi iklan ini dijual.

Desas-desus yang aku dengar pengarah dibayar berbelas ribu pound.

Mungkin bajet filem ini mencecah 100 ribu pound.

Epilog 5:

Bagaimana peranan iklan ?

Apakah iklan tidak menghasut?

Latifah Omar diberi sabun Lux untuk menghasut orang kampung agar membeli sabun mandi ini.

Malah kita tidak tahu apakah betul-betul Latifah yang cun bergetah mandi menggunakan sabun Lux.

Apa yang terbukti sahih menghasut ialah Hishamuddin Rais.

Dia menghasut penonton untuk menggunakan kad kredit Amex.

Walhal Hishamuddin seumur hidup tidak pernah memiliki kad Amex.

Hishamuddin berlagak sebagai orang kaya bercanda-canda di Hilton untuk menghasut penonton agar datang ke Hilton dan memiliki kad Amex.

Malah Hishamuddin menipu penonton kerana dia sendiri tidak memiliki kad Amex.

Hakikatnya kalau Sabri adik Kamarazaman Yacob tidak mempelawa Hishamuddin Rais ke Hilton Park Lane, London sampai kiamat pun Hishamuddin tidak akan berupaya untuk bercanda-canda di Hilton Park Lane.

Ini kerana dia tidak memiliki modal.

Iklan juga ialah penghasut dan menghasut.

Malah lebuh buruk lagi kerana iklan menghasut dengan menipu.

Ketika aku mengajak dan menghasut orang ramai keluar berdemo ianya bukan penipuan.

Ianya lahir dari niat hati yang jujur.