- Iklan -
Kolum

Kisah seorang warga generasi merdeka

Misi pertamanya ialah operasi memburu komunis di sekitar estet getah di Kluang tetapi tidak berlaku pertempuran.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Pada 30 Ogos 1957, satu pasukan Askar Melayu Diraja sedang menjalankan operasi di kawasan hutan sekitar Slim River untuk memburu anggota komunis bersenjata.

Pasukan keselamatan itu diketuai oleh seorang komander British.

Mereka ke kawasan itu kerana memperoleh maklumat bahawa terdapat anggota komunis bersenjata di situ.

Pasukan Askar Melayu itu berpangkalan di Kem Tentera Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun setelah beberapa hari di situ, mereka tidak menemui sebarang anggota musuh.

Kumpulan komunis itu mungkin berundur ke kawasan banjaran Titiwangsa.

Pada sebelah petangnya, komander pasukan itu mengumumkan bahawa pada malam itu, mereka akan mengadakan jamuan kecil.

Maka malam itu, para perajurit pun berkumpul di depan khemah dan menghadap unggun api yang memanaskan makanan mereka.

Kesemua makanan adalah dari tin catuan tentera.

Cumanya, malam itu ada sedikit istimewa.

Catuan makanan tentera terdiri daripada daging, ayam atau ikan kari yang diproses masuk ke dalam tin.

Sementara sayur berupa kacang panjang juga diproses dalam tin.

Ia dimasak menggunakan mess tin, iaitu bekas empat segi.

Sementara api dibakar dari bahan putih berbentuk kiub.

Dalam hutan, kedengaran bunyi bising cangkerik, haiwan serta unggas malam.

Sementara pemandangan adalah gelap pekat dengan cahaya hanya datang dari bintang-bintang bertaburan penuh di langit.

Selepas makan, komander itu pun berucap: “Mulai esok kamu tidak perlu panggil saya tuan. Kerana esok Malaya merdeka. Saya bukan lagi tuan kamu. Kamu adalah tuan bagi Malaya. Saya akan pulang ke England.”

Salah seorang perajurit itu yang hadir bernama Mahmud Elias, berasal dari Batu Pahat, Johor, ketika itu beliau berusia 19 tahun dan masih bujang.

Kisah ini diceritakan beliau pada saya.

Dalam hidupnya, dia melihat komunis sebanyak empat kali.

Tetapi tidak pernah bertempur dengan mereka.

Tiga kali adalah ketika dia belum lagi menjadi tentera.

Pertama kali adalah ketika beliau masih kanak-kanak, iaitu pada tahun 1948, sebelum Parti Komunis Malaya diharamkan.

Beliau melihat sekumpulan anggota komunis yang berusia belasan tahun berehat di depan padang berhampiran pejabat kerajaan dan balai polis Batu Pahat.

Mereka berpakaian seragam dan memegang senapang.

Kali kedua ialah ketika beliau berusia 14 tahun.

Komunis yang dilihat adalah seorang komander pasukan terkenal dan amat sukar untuk ditangkap oleh pihak berkuasa.

Dia ialah Mat Indera.

Pada tahun 1952, dia berjaya ditangkap dan banyak kisah misteri meliputi dirinya.

Antara cerita yang berlegar ialah Mat indera boleh melepaskan diri jika ia dapat menjejak kakinya di atas tanah.

Maka dia diletakkan dalam sangkar yang tergantung supaya kakinya tidak menjejak tanah.

Mat Indera dibawa ke Balai Polis Batu Pahat dan diletakkan di luar untuk tontonan orang ramai sebelum dibawa ke Taiping dan menjalani hukuman bunuh.

Kali ketiga beliau melihat komunis ialah ketika bekerja memotong rumput di sebuah ladang getah di Kulai, Johor.

Beliau terserempak dengan sekumpulan komunis, berpakaian seragam dengan lambang bintang merah di topi mereka dan bersenjata senapang.

Anggota komunis itu meletakkan jarinya ke mulut menandakan supaya beliau tidak bersuara.

Kumpulan komunis itu kemudian beredar tanpa sebarang kejadian.

Setelah habis bekerja, beliau memberitahu kejadian tersebut pada penyelianya.

Kerja di situ bukan saja gaji amat kecil tetapi juga berbahaya.

“Kamu pernah bersekolah. Carilah kerja lain yang lebih baik. Di sini tidak sesuai bagi kamu, ” kata mandor itu.

Maka Mahmud pergi ke Singapura untuk mencari pekerjaan.

Tetapi setelah berjalan sehari suntuk, tidak ditemui sebarang pekerjaan.

Tiba-tiba beliau melihat satu poster bertulisan jawi dan gambar askar.

Ia mempelawa pemuda-pemuda supaya menyertai Askar Melayu Diraja.

Juga dinyatakan bahawa bukan saja seseorang memperoleh gaji, tetapi makan minum, tempat tinggal dan kemudahan kesihatan turut disediakan.

Maka Mahmud pun mendaftar untuk menjadi perajurit Askar Melayu Diraja.

Katanya, beliau menjadi askar kerana tiada pekerjaan lain yang pendapatannya terjamin.

Beliau melaporkan diri kem di Port Dickson untuk latihan.

Misi pertamanya ialah operasi memburu komunis di sekitar estet getah di Kluang tetapi tidak berlaku pertempuran.

Mahmud hanya terserempak dengan komunis dalam satu operasi berhampiran laluan keretapi di Mantin, Negeri Sembilan.

Ketika itu anggota komunis adalah lebih ramai dan pasukan Askar Melayu terpaksa berundur dan bersembunyi.

Beliau bersembunyi di bawah lapisan daun-daun rumbia di dalam sebuah pondok.

Maka kedengaran dan dirasakan kaki-kaki anggota komunis memijak badan mereka apabila masuk ke pondok itu.

Pertempuran juga tidak berlaku.

Pada tahun 1960, darurat diisytiharkan berakhir.

Saki-baki komunis berjaya ditolak keluar sempadan Tanah Melayu.

Mereka bersembunyi dan beroperasi dari Thailand.

Maka bilangan anggota tentera didapati berlebihan dan menjadi beban kewangan bagi kerajaan.

Namun masalah ini dapat diatasi sementara apabila Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu meminta negara anggota turut membantu menyumbang anggota tentera untuk dijadikan pasukan pendamai di Congo yang mengalami perang saudara.

Dana PBB membiayai mereka.

Mahmud berada di Congo selama enam bulan.

Bila balik, beliau seperti mana banyak anggota tentera lain pun ditamatkan perkhidmatannya.

Komunis sudah terkawal.

Negara tidak memerlukan mereka lagi.

Beliau kembali ke kampungnya dan berniaga menjaja air minuman manis ais di bandar dengan menggunakan beca.

Pendapatan amat kecil dan tidak menentu.

Saya pernah lihat betapa air itu terpaksa dibuang kerana tidak laku sebab musim hujan.

Apabila Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963, Indonesia melancarkan Konfrontasi.

Negara juga perlu mengatasi gerakan komunis di Sarawak.

Ramai anggota tentera diperlukan semula.

Ia merupakan rezeki bagi anggota tentera yang ditamatkan perkhidmatan.

Mereka dipanggil balik.

Susah-susah dalam tentera, pendapatannya tetap, tidak seperti menjaja air minuman.

Mahmud kembali menjadi tentera pada tahun 1964.

Kali ini dengan rejimen ketujuh Askar Melayu Diraja.

Pangkalan beliau ialah di Kem Sungai Besi.

Tetapi beliau ditugaskan mengawal pantai Morib untuk menghalang sebarang pencerobohan tentera Indonesia.

Selepas Konfrontasi, beliau ditempatkan di kem Mindef, Kuala Lumpur di mana letaknya pejabat kementerian pertahanan.

Pada tahun 1966, beliau mula meminati politik.

Beliau mengagumi Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu mempertikaikan kepimpinan Tunku Abdul Rahman.

Hinggakan apabila anak kelimanya lahir, beliau menamakannya Mahathir.

Anaknya itu lahir ketika Kuala Lumpur di bawah perintah berkurung ekoran peristiwa 13 Mei 1969.

Mahmud turut bersama dalam mengawal keamanan di ibu kota.

Akhirnya pada tahun 1986, beliau bersara daripada tentera pada usia 48 tahun.

Beliau mempunyai enam orang anak yang masih menjadi tanggungannya.

Pangkat terakhirnya ialah pegawai waran satu di Tentera Udara Diraja Malaysia berpangkalan di Ipoh.

Beliau pulang ke kampung dan mengusahakan kebun kelapa sawit di samping menjadi pengedar surat khabar.

Selain itu, beliau aktif dalam Umno dan menjadi ketua cawangan dan turut berkempen semasa pilihan raya umum tahun 1990, 1999, 2004 dan 2008.

Beliau sentiasa menyokong Mahathir dalam pergolakan politik negara.

Tetapi pada tahun 2015 apabila Mahathir menentang Najib Razak dan kemudiannya menubuhkan Bersatu, beliau tetap kekal setia dengan Umno.

Apabila Barisan Nasional kalah pilihan raya umum tahun 2018, beliau amat sedih dan kecewa.

Untuk menyedapkan hatinya, saya memberitahunya bahawa kerajaan Pakatan Harapan hanya dapat bertahan sepenggal.

Saya mengambil Jepun sebagai contoh apabila Parti Liberal Demokratik (LDP) yang kalah dalam pilihan raya tetapi kemudian dapat kembali berkuasa pada penggal berikutnya.

Beliau seronok dengan hujah saya dan menceritakannya pada orang lain.

Kesedihannya pun terubat.

Mahmud meninggal dunia pada tahun 2019 di usia 81 tahun.

Beliau tidak sempat melihat tumbangnya kerajaan PH pada tahun 2020, dan juga kembalinya Umno memegang kuasa.

Mula-mula sebagai anggota kerajaan Perikatan Nasional dan kemudian kembali mengetuai kerajaan pada tahun 2021.