Monday, September 27, 2021

Tiga kali rakam

“Del Boy is now George. Don’t fuck around.”

Other News

Akhirnya berita baik yang aku akan berlakon dengan David Jason a.k.a Del Boy menjadi fakta.

Maria gadis dari Finland kini bersetuju untuk menjahitkan aku sehelai baju kemeja untuk dipakai ketika berlakon.

Pagi Sabtu aku dan Maria mengambil kereta api bawah tanah untuk ke Dalston Market di Hackney.

Aku tidak tahu sangat pasar ini.

Maria memperkenalkan aku dengan pasar ini.

Minah ini arif dengan pasar ini kerana dia sering membeli kain dan fabrik.

“Hei Maria how are you? Long time no see.”

Lelaki muda penjual kain menyambut Maria ketika kami di hadapan gerai.

“Hameed….. Isham…from Malaysia… Hameed where are you from?”

Maria memperkenalkan aku dengan Hameed.

“You forget? How come? Me from Afghanistan. Me? Kabul Boy.”

Hameed memberi penjelasan.

Aku mula membelek-belek kain untuk sehelai baju.

Aku cari yang berbunga-bunga.

Berlakon sebagai wartawan yang tiada uniform rasmi.

Aku mahu dilihat seperti aku di Kuala Lumpur, bumi tropika.

“My price is cheap. Yes.. that one is good.. yes that is good too. Yes.. yes .. that one very good…my shop all good… all cheap.”

Hameed membawa budaya bazar Kabul.

“You will look sugar. Sweet darling on that shirt.”

Kata penutup dari Hameed setelah aku memilih kain yang akan di potong sebagai baju.

Kembali dari Dalston Market, Maria mengukur badan aku.

Sehelai baju berbunga cerah bermotifkan bumi tropika.

Aku tidak risau dengan baju kain kapas potongan Hawaii dipakai masa musim sejuk.

Ini kerana semua penggambaran akan dijalankan dalam studio BBC Television Center, White City.

Dua hari kemudian, aku menerima surat mengatakan tarikh penggambaran ditunda.

Ada “talent” kena serang flu.

Tidak dinyatakan siapa.

Seminggu kemudian satu lagi surat sampai.

Kali ini tarikh baru bersama cek bayaran.

Aku merasa pelik.

Aku belum membuat apa-apa lagi. Tapi dibayar.

“Tony, why they paid me before the shoot?”

Aku bertanya kepada Tony yang mungkin dapat memberikan pencerahan.

“That’s the power of Equity, the union.” Jawapan Tony.

Lalu Tony menerangkan kepada aku tentang kesatuan pekerja filem dan TV di United Kingdom.

Semua sosok yang dilamar dan diambil berlakon di TV atau untuk filem wajib menjadi ahli The Actors Equity Association (AEA).

Nama popularnya Equity.

Tanpa menjadi ahli Equity tiada sesiapa boleh mendapat kerja.

Menjadi ahli kesatuan dahulu baru boleh melamar kerja.

Untuk mendapat dan menjadi ahli Equity wajib pernah berlakon di pentas untuk sekian-sekian jam dan membawa watak ini dan itu.

Atau ada pengalaman berlakon di kelab atau pentas drama di kampung dan pekan kecil.

Pengalaman berlakon di luar kota atau di pinggir kota London ini wajib.

Pengalaman ini penting sebelum diterima untuk menjadi ahli Equity untuk berlakon di panggung arus perdana di West End, London.

Sistem Equity kesatuan pelakon United Kingdom ini sama seperti sistem mendapat lesen memandu pesawat Boeing 747.

Pilot wajib telah memandu berapa ratus jam kapal terbang berkipas sebelum beralih ke kapal terbang jet.

“But Tony.. I’ve not a Equity…not a member.”

Aku menerangkan aku bukan ahli kesatuan pelakon.

“BBC needs you…there’s no Malaysian actor in London.”

Mengikut Tony aku dapat berlakon dalam produksi BBC kerana tiada pelakon Malaysia di London.

“They paid you because they’ve booked you on that date.” Tony menambah.

Baru aku faham mengapa belum bekerja lagi aku dibayar.

Ini perjanjian dengan Equity.

Kalau ada tarikh dan pengembaraan batal, pihak produksi wajib membayar pelakon.

“Equity for actors and talents. ACTT for workers behind the scene. Like us when we graduated from PCL.”

Tony memberi penjelasan tentang Association for Cinematograph and Theatre Union (ACTT).

Tentang ACTT ini aku dah lama tahu.

Di United Kingdom, sekolah filem aku adalah antara tiga sekolah filem yang mendapat pengiktirafan dari ACTT.

Kini, aku semakin sedar tentang peranan hebat kesatuan sekerja.

Dan bagaimana aku yang bukan ahli pun mendapat bayaran dua kali untuk satu lakonan.

Skrip dan jadual sampai.

Aku tak banyak bercakap tapi wajib berada dalam banyak babak.

Aku diperlukan menjadi Pak Sibuk sebagai wartawan tempatan yang cuba menemuibual emak dan ayah dua anak muda Inggeris yang akan digantung mati kerana kes dadah.

Nama pengarah, penerbit dan pelakon ada sama.

Aku tak kenal mereka ini.

Yang aku kenal hanya Del Boy a.k.a David Jason.

Sosok ini adalah pelakon komedi yang paling “hot” ketika itu.

Di dalam pub sebut sahaja nama Del Boy, atau mengajuk cara Del Boy bercakap akan menjadi bahan ketawa.

Siri komedi Only Fools and Horses lakonan utama Del Boy sudah masuk tahun kelapan.

Masih mendapat sambutan jutaan penonton.

Terus menaiki tangga carta teratas jumlah penonton.

Berlakon?

Bukan satu yang baru untuk aku.

Ketika di PCL aku selalu berlakon.

Bila kami buat latihan filem, aku ada berlakon watak ini dan watak itu untuk membantu produksi kawan-kawan.

Kami tolong menolong.

Penggambaran di PCL memakai filem 16mm dan video.

Tapi dengan pelakon ternama seperti David Jason? Belum pernah.

“Have a great laugh Isham. When you see Del Boy, sent my regards.”

Kata-kata semangat dari Tony.

Hujung minggu sebelum hari penggambaran salji turun.

Untuk aku ini cuaca malang.

Aku tidak suka pada musim sejuk.

Wajib pakai seluar dalam.

Wajib ada jaket tebal.

Wajib ada stoking.

Untuk aku semua ini leceh lagi remeh.

Setiap kali musim sejuk sampai, aku teringat akan Jelebu yang sentiasa panas.

Pagi itu aku bangun jam 5 pagi.

Jam 7 pagi mengikut jadual aku wajib ke bilik solekan.

Aku membawa baju Hawaii aku dalam beg plastik.

Menuju ke stesen kereta api.

Lalu aku berfikir: jam 7 pagi wajib masuk bilik solekan?

Mustahil.

Bergerak jam 6 pagi dalam cuaca buruk musim sejuk.

Salji sedang cair dan jalan berlecak lagi sejuk.

Terlintas dalam kepala aku: apakah David Jason mendapat jadual “shoot” yang sama?

Apakah David Jason akan sampai ke bilik solekan pada jam 7 pagi?

Dalam kesejukan menapak ke stesen kereta api, sikap Melayu aku meresap kembali.

Disiplin tentang masa yang diajar oleh cikgu Mat Salleh di PCL meresap hilang.

Sikap Melayu aku berkata mustahil pelakon besar seperti David Jason akan sampai ke bilik solekan jam 6.30 pagi yang basah lagi sejuk.

Melintas jam 7 aku sampai studio BBC.

Aku menapak dan masuk ke studio.

Wow! Aku terperanjat besar bila melintas di hadapan bilik solekan yang berdinding kaca.

Di tengah bilik ada seperti kerusi kedai gunting.

Nah! Tersandar di atas kerusi ialah Del Boy.

Ertinya Del Boy sampai pada waktu yang ditetapkan.

Hanya aku budak kampung yang bukan bintang besar datang agak lewat.

Ini pengajaran untuk aku.

Dari sini aku mendapat ilmu disiplin masa.

Kamu tuan ke, kamu Datuk ke, atau kamu Baginda Queen ke, masa tetap masa yang wajib dipatuhi.

Kini budaya masa aku bukan lagi budaya masa Melayu.

Setiap kali aku ada temu janji, aku akan teringat akan babak pagi yang amat sejuk ketika aku menapak ke White City studio BBC.

Apa yang David Jason ajar pada aku tidak akan dilupakan.

Aku masuk ke studio utama.

Ada dua bahagian.

Satu rupa bentuk ruang tamu sebuah hotel empat bintang.

Satu lagi kafe di sebelah ruang tamu.

Di satu kawasan ada rupa bentuk bilik hotel.

Di satu kawasan lagi bilik penjara.

Semuanya direka untuk tujuan penggambaran.

Termasuk lift untuk tetamu hotel keluar masuk.

Aku tergamam.

Sebagai pelajar filem, ada ilmu yang aku pelajari.

Aku lihat ruang tamu ini direka seperti ruang tamu hotel di Kuala Lumpur.

Dengan bunga keladi, dedaun hijau dan pokok pisang.

Di mana semua ini didapatkan aku tidak tahu.

Set reka bentuk Amongst the Barbarians ini meyakinkan aku.

Aku terasa diri aku sedang berada di Pulau Pinang.

Drama yang sedang difilemkan berlaku di hotel dan penjara di Pulau Pinang.

Penjara!

Ha ha cukup meyakinkan aku.

Ini sebelum aku meninggalkan Malaysia, aku sendiri pernah masuk lokap dan masuk Penjara Air Molek di Johor Bahru.

Paling mengejutkan aku ialah Pak Guard, seorang Benggali berjanggut berserban dengan pakaian seragam penjara Malaysia.

Mengingatkan aku kepada Penjara Air Molek.

Kerja seni Mat Salleh ini cukup teliti.

Pengarah filem ini seorang wanita bernama Jane Howell.

Skrip teater asal ditulis oleh Micheal Wall.

Dan Penerbit ialah Richard Langridge.

Pasukan produksi ini duduk sekumpulan.

Kami pelakon duduk di sekumpulan lain.

Teh, kopi dan makanan disediakan.

Selain wartawan tempatan ada juga wartawan Inggeris.

Juga seorang anak muda Cina yang berlakon sebagai bell boy.

Hari pertama kami hanya diperlukan sebagai watak latar, “Pak Sibuk” dalam kafe.

Tiba-tiba juru kamera agak kelam kabut dengan tali wayar yang bersimpang siur.

Filem ini menggunakan teknik video.

“Darling… we are not going to stay here all day long.”

Suara pengarah filem yang aku dengar.

Bunyinya agak marah dan memperli jurukamera.

Ini sekali sahaja aku dengar, suara yang agak meninggi.

Hari ke dua penggambaran dalam penjara.

Kami hanya di tepi set.

Aku membuka mata untuk melihat dan mempelajari cara dan teknik penggambaran.

Aku perhatikan semua pelakon sudah hafal skrip mereka.

Pasukan pengarah duduk di belakang bilik set memerhatikan pasukan teknikal menjalankan tugas.

Semua berjalan rapi dan tuntas.

Aku pelajar filem memerhatikan cara Mat Salleh atau cara BBC membuat kerja.

Budaya filem dan video datang dari mereka, justeru teknik yang afdal juga dikumpul dan dibukukan hasil pengalaman mereka.

Hari ketiga, hari ini aku wajib bersuara untuk difilemkan.

Sebelum babak aku dirakam ada babak atas katil.

Antara si ibu yang anak akan mati digantung sedang “bercengkerama” atas katil dengan budak bar.

Watak budak bar ini dimainkan oleh pelakon keturunan Indonesia dari Amsterdam.

Sebelum babak aku dirakam aku teringat ketika di Universiti Malaya aku mendengar kesah klasik penggambaran filem: Si Mamat ini menghafal skripnya.

Watak Mamat ini menyambut tamu dan bersalaman sambil berkata: Apa khabar Cik Bakar? Ketika penggambaran filem dijalankan kerana gopoh dan darah gemuruh yang keluar dari mulutnya: Apa Bakar Cik Khabar?

Babak lakonan aku berjalan dalam ruang tamu hotel, David Jason yang menjadi ayah keluar dari lift. Aku sebagai wartawan tempatan akan bertanya: “Any news from the lawyer?”

Sebelum babak ini dirakam aku dengan budak Cina Bell Boy bersembang tentang David Jason.

Budak Cina ini juga peminat Del Boy.

Babak aku ini bermula dengan George, si ayah yang dimainkan oleh David Jason keluar dari lift dengan Bell Boy berdiri di pintu lift.

Aku dari hadapan datang ke arah si ayah.

Ketika aku memandang kepada George, si Bell Boy menjelirkan lidahnya ke arah aku.

Bell Boy membuat perangai ini kerana dia di luar sasaran kamera. Aku ketawa. Rakaman gagal.

Rakaman kali kedua juga gagal.

Ini kerana dalam kepala aku yang aku pandang bukan George tapi Del Boy dan Rodney adiknya.

Only Fools and Horses berlegar dalam kepala aku.

Kali ketiga rakaman berjalan.

Kali ini aku menghayati David Jason sebagai George, si ayah yang anaknya akan di gantung mati.

Del Boy tidak wujud lagi. Aku menjadi wartawan yang ingin tahu apa yang berlaku.

Rakaman kali ketiga berjaya.

Aku menarik nafas panjang dan terus berjalan ke arah Bell Boy yang kini menunjukkan ibu jarinya kerana aku berjaya.

“Del Boy is now George. Don’t fuck around.”

Kami sama-sama ketawa.

Epilog 1:

David Jason lahir pada tahun 1940.

Pada tahun 2006, beliau dinobatkan sebagai salah seorang dari 50 bintang TV yang tersohor di United Kingdom.

Watak Derek Del Boy Trotter menjadi sejarah komedi.

Pada tahun 2005 David Jason dianugerahkan darjah kebesaran “Sir” oleh Baginda Queen Elizebeth kerana khidmatnya dalam dunia seni pentas TV dan filem.

George dalam Amongst the Barbarians adalah watak pertama yang bukan komedi dilakonkan oleh Sir David Jason.

Epilog 2:

Pada 14 April 1993, Arwah Salleh Ben Joned menulis tentang Amongst the Barbarians.

Untuk aku ini adalah tulisan yang paling tepat tentang teater garapan Micheal Wall.

Salleh faham akan makna dan tanda dalam teater ini.

Salleh tahu yang dimaksudkan sebagai “barbarians – orang liar tanpa tamadun” bukan anak bumi Tanah Melayu.

Barbarians yang dimaksudkan ialah satu keluarga Mat Salleh yang datang ke Pulau Pinang ketika menghadapi hari-hari akhir menziarahi anak mereka yang akan digantung mati kerana kes dadah.

Amongst the Barbarians juga adalah rakaman budaya di zaman Perdana Menteri Magaret Thatcher.

Dua anak muda yang digantung mati adalah manifestasi dari dasar “cepat kaya – loads of money” dan budaya Yuppies ketika itu.

Drama ini adalah rakaman sejarah budaya zaman Thatcher yang aku sendiri sama bergelumang di dalamnya di London.

Epilog 3:

Pada tahun 2008, aku dipelawa oleh stesen TV Astro untuk terlibat dalam skrip realiti TV siri Anak Wayang.

Tugas aku ialah menterjemah dan membudaya Melayukan skrip “opera sabun” dari Mexico.

Drama sambung bersambung ini dipanggil “Kecuali Cinta Mu”.

Kali pertama pasukan skrip bertemu aku mendengar taklimat dari seorang lelaki Inggeris yang pernah bekerja dalam bidang TV di United Kingdom.

“My introduction to Malaysia was through a film called Amongst the Barbarians in 1990.”

Sosok Inggeris yang kini bekerja dengan Astro ialah Richard Langbridge penerbit filem yang aku berlakon di BBC London.

Kali ini kami bertemu betul-betul di bumi tropika Equine Park Seri Kembangan di ibu pejabat bahagian kreatif Astro.

Pokok keladi dan pisang bukan props tapi tanaman asal Tanah Melayu.

Epilog 4:

Dua kali aku dibayar kerana terlibat dalam kes dadah.

Kali pertama aku menjadi penterjemah untuk Salim dan Bo Ah Ha yang ditangkap di lapangan terbang Heathrow kerana cuba menyeludup dadah.

Kali kedua aku dibayar dua kali kerana berlakon menjadi wartawan Malaysia dalam kes dua anak muda yang digantung mati di Malaysia.

Epilog 5:

Amongst the Barbarians ditayangkan oleh BBC 2 pada jam 9 malam Rabu, 11 Julai 1990.

Aku tidak menonton filem ini kerana malam Rabu aku bekerja di Garuda Restoran.

Amongst the Barbarians masih boleh dilihat di YouTube.

Tapi aku tak sanggup melihat baju jahitan Maria yang kini hanya menjadi ingatan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles

Irama kehidupan

Pop, ‘counter culture’ dan MTV

Dari cencorong ke Pop Yeah Yeah

Iklan dan hasut

Berkubang dengan ‘barbarian’