- Iklan -
Rencana

Kenapa Ku Li bersungguh mahu undi percaya terhadap perdana menteri?

Cadangan Ku Li dilihat bakal mengganggu pentadbiran Ismail.

Saladin Hassan Saleh
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Usul undi percaya bagi menentukan keabsahan perdana menteri timbul lagi walaupun perdana menteri baru sudah dipilih.

Kali ini isu itu dibangkitkan oleh Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah, yang diketahui dari awal-awal lagi sudah tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan satu nama yang disebut-sebut akan dilantik sebagai perdana menteri interim jika Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.

Ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri, isu itu timbul ekoran tindakan Kumpulan 15 Umno yang diketuai presidennya, Ahmad Zahid Hamidi menarik balik sokongan kepada beliau sehingga menyebabkan kerajaan PN hanya berbaki 100 kerusi sahaja.

Walaupun mempunyai jumlah kerusi yang paling banyak dibandingkan dengan Pakatan Harapan (PH), kerajaan PN tumbang juga kerana tidak mencapai minimum 111 kerusi bagi mengekalkan kerajaan.

Razaleigh memberi alasan undi percaya perlu bagi membolehkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dapat mentadbir negara tanpa sebarang gangguan oleh mana-mana pihak.

Alasan Razakeigh ini sedikit melucukan kerana Yang di-Pertuan Agong telah mengesahkan keabsahan Ismail sebagai perdana menteri menerusi jumlah sokongan 114 ahli Parlimen berdasarkan kepada surat akuan bersumpah (SD) dan pertemuan bersemuka ahli-ahli Parlimen yang menyokongnya dengan Seri Paduka sendiri.

Perkara ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan daripada Istana Negara pada 20 Ogos lalu and yang antara lain menyebut:

“Dari surat-surat akuan tersebut seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob, jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Susulan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima mengadap 114 ahli Dewan Rakyat untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai perdana menteri.

“Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Ismail sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

“Proses seterusnya ialah lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai perdana Menteri yang dijadualkan pada 21 Ogos 2021 (Sabtu), jam 2.30 petang, di lstana Negara.”

Dalam kenyataan itu juga tidak disebut langsung, satu undi percaya perlu dikemukakan di Dewan Rakyat secepat mungkin bagi mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan.

Sidang penuh Dewan Rakyat bagi penggal keempat, Parlimen ke-14 akan diadakan selama 15 hari bermula 6 September ini.

Justeru tidak timbul lagi keperluan untuk melaksanakan undi percaya terhadap perdana menteri sebagaimana dituntut oleh Razaleigh.

Malah apa yang disebut oleh rakan seveteran Razaleigh, Dr Mahathir Mohamad bahawa tidak ada keperluan lagi untuk mengadakan undi percaya di Dewan Rakyat adalah tepat.

Mahathir melihat desakan untuk undi percaya boleh mengundang risiko berulang lagi pergolakan politik negara.

Menurut Mahathir, dunia akan mentertawakan Malaysia sekiranya berlaku lagi pertukaran Perdana Menteri dalam waktu yang sangat singkat.

Selain itu tindakan mendesak undi percaya ini sudah pasti akan mewujudkan kembali ketidakstabilan politik dalam negara yang ketika ini terkesan teruk dengan penangan pandemik Covid-19.

Situasi ini juga sudah tentu mengganggu Pelan Pemulihan Negara yang diperkenalkan pada era Muhyiddin yang sedang berjalan lancar dan menghampiri sasaran imuniti kelompok menjelang Oktober depan.

Pelan pemulihan ini akan membolehkan rakyat keluar daripada pandemik, membina kembali ekonomi negara seterusnya memulihkan kehidupan rakyat.

Jika ahli Parlimen Gua Musang itu memberi alasan bahawa langkah tersebut bertujuan membolehkan pentadbiran Ismail tidak diganggu oleh mana-mana pihak, Razaleighlah sebenarnya menjadi individu pertama yang cuba mengganggu pentadbiran perdana menteri ke-9 itu dengan cara mengemukakan cadangan yang dilihat penuh dengan muslihat tersembunyi!

Saladin Hassan Saleh adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow