- Iklan -
Rencana

Apabila pipi Pakatan Harapan tersorong-sorong

Pemimpin PH masih memainkan isu kerajaan perpaduan yang mereka sendiri tolak mentah-mentah ketika ditawarkan oleh Muhyiddin.

Saladin Hassan Saleh
3 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin Pakatan Harapan diketuai Anwar Ibrahim bersama ahli politik pembangkang lain ketika himpunan di Dataran Merdeka 1 Ogos lalu.
Pemimpin Pakatan Harapan diketuai Anwar Ibrahim bersama ahli politik pembangkang lain ketika himpunan di Dataran Merdeka 1 Ogos lalu.

Setelah `diuji’ dengan pelbagai tekanan daripada beberapa pihak termasuk 15 ahli Parlimen Umno sendiri sejak Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob telah selamat mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia yang ke-9 semalam.

Ismail Sabri yang dicalonkan oleh ahli-ahli Parlimen gabungan Perikatan Nasional (PN) memperoleh 114 sokongan mengatasi calon Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim.

Walaupun sudah tewas sehingga dikecam penyokong sendiri, beberapa pemimpin PH masih tidak boleh meneruskan hidup dan terus memainkan isu kerajaan perpaduan yang mereka sendiri tolak mentah-mentah ketika ditawarkan oleh Muhyiddin beberapa hari sebelum kerajaan PN ditumbangkan oleh 15 ahli Parlimen Umno.

Beberapa portal berita mesra Anwar tidak putus-putus mempromosikan Kabinet perpaduan yang terdiri daripada pelbagai parti politik termasuk PKR, DAP dan Amanah. Kononnya pendekatan menghulurkan salam persahabatan kepada parti-parti pembangkang ini membolehkan Ismail memulihkan imejnya yang tercalar ketika mengendalikan krisis pandemik Covid-19 selama ini. Seperti biasa dakwaan tercalar yang dimaksudkan itu adalah dari sudut pandangan parti-parti pembangkang tetapi tidak pada mata rakyat.

Portal tersebut turut mencadangkan agar perdana menteri menawarkan jawatan Kabinet kepada parti pembangkang atau sekurang-kurangnya mengetuai agensi kerajaan, suruhanjaya , jawatankuasa pilihan khas Parlimen atau Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara. Portal yang sama turut mengesyorkan agar perdana menteri kesembilan itu menjemput wakil-wakil daripada blok pembangkang dalam apa-apa perancangan berhubung pemulihan ekonomi dan pelan melawan Covid-19.

Dalam satu rencana lain portal yang sama memetik sumber mendakwa Ismail Sabri telah menghubungi beberapa pemimpin pembangkang bagi mewujudkan kerjasama dalam melawan Covid-19 yang kemudiannya didapati hanyalah satu berita palsu!

Kenapa blok pembangkang begitu beria-ria sangat mencadangkan penubuhan kerajaan perpaduan sejurus selepas tewas dalam perebutan jawatan Perdana Menteri. Apa muslihat di sebalik kesungguhan ini? Dalam beberapa insiden sebelum ini, setiap kali kalah atau gagal, pembangkang tidak duduk diam sebaliknya terus bertubi-tubi menyerang kerajaan, tetapi kali ini dihulurnya salam persahabatan! Tidakkah ini pelik?

Bukankah Anwar dan rakan-rakan dalam PH menjadi orang pertama yang menolak dengan angkuh sekali tawaran persefahaman rentas parti (bi-partisan). Tawaran itu bagi memastikan kerajaan PN yang diancam oleh 15 ahli Parlimen Umno yang menarik kembali sokongan tidak tumbang dan boleh terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba masa sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Malah banyak insentif yang ditawarkan dalam persefahaman itu adalah perkara-perkara yang telah diperjuangkan oleh parti-parti pembangkang sejak berpuluh tahun lalu. Antaranya semua ahli Parlimen tanpa mengira parti politik akan menerima peruntukan tahunan yang sama.

Selain itu semua sesi libat urus kerajaan bagi mendapatkan input dan menambah baik Pelan Pemulihan Negara akan turut melibatkan pimpinan parti pembangkang. Pindaan undang-undang juga akan dibuat bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang Undang-undang Antilompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.

Kerajaan juga akan memperkukuhkan reformasi Parlimen dengan memastikan jumlah ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang, pelaksanaan Undi 18 tanpa menunggu pendaftaran automatik dan ketua pembangkang akan diberikan saraan serta kemudahan setara menteri kanan.

Perdana menteri juga membuat aku janji bahawa PRU15 akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung Julai tahun hadapan, bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi pada waktu pandemik dengan sokongan bipartisan di Parlimen.

Bagaimanapun kesemua tawaran ini ditolak bulat-bulat oleh semua ahli Parlimen pembangkang kecuali dua ahli Parlimen DAP yang melihat ini peluang terbaik blok pembangkang untuk menyekat golongan kleptokrat dalam Umno kembali menguasai kerajaan.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah perjuangan Anwar dan sekutu pembangkangnya dalam PH sanggup meletakkan rasa malu ke tepi dan `menyorong-nyorong pipi’ kepada kerajaan dalam keadaan `hidung yang tak mancung’ menagih belas agar dipertimbangkan cadangan tersebut.

Tindakan ini sangat memalukan blok pembangkang. Kenapa pemimpin-pemimpin pembangkang kelihatan sangat terdesak kali ini sehingga seperti merayu-rayu? Adakah ada sesuatu yang sedang mendesak bakal berlaku?

Saladin Hassan Saleh adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow