- Iklan -
Rencana

Kenapa bukan Anwar Ibrahim?

Sehingga saat ini, kenyataan Anwar bahawa beliau mempunyai majoriti yang cukup dan meyakinkan tidak terbukti.

Tan Poh Lai
5 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Presiden PKR Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Memandangkan alasan ketidakpuasan hati di negara ini terhadap Muhyiddin Yassin, seseorang  itu berpendapat bahawa ketua pembangkang akan mendapat sokongan sejagat untuk  menggantikan perdana menteri yang tidak popular. Walau bagaimanapun, ini tidak kelihatan begitu.  

Mahathir membawa Anwar Ibrahim ke dalam Umno, memintas ramai lagi untuk menjadi  timbalan perdana menteri sebelum dipecat pada 1998 atas tuduhan liwat dan salah guna kuasa.  

PKR kemudiannya ditubuhkan sebagai saluran untuk reformasi. Prospek sebuah parti berbilang  kaum sangat menarik, dan tangisan Reformasi menarik perhatian ramai. Kejayaan PKR yang ada  pada hari ini adalah kerana ramai ahli yang berkorban besar untuk parti. Walau bagaimanapun,  gaya kepimpinan Anwar telah memecah-belahkan dan meyebabkan kesusahan dalam parti.  

Apabila pembangkang yang diketuai Anwar memenangi Selangor pada 2008, Anwar dengan sewenang-wenangnya memilih seorang tokoh korporat daripada luar parti, Khalid Ibrahim, untuk  menjadi menteri besar (MB).

Tindakan ini telah menyebabkan ramai tidak puas hati dalam PKR. Ini  adalah titik permulaan perpecahan dalam parti selama bertahun-tahun. Perpecahan ini  bertambah rumit dan menyebabkan PKR dibahagikan kepada pelbagai puak, yang merupakan  rahsia terbuka.

Walaupun terdapat rasa tidak puas hati yang serius terhadap kepimpinan Anwar,  dengan sewenang-wenangnya, pada tahun 2013, Anwar tanpa berunding terlebih dahulu  dengan kepimpinan parti yang dipilihnya, menjadikan Khalid sebagai MB sekali lagi untuk penggal kedua  pada 2018!

Ahli-ahli PKR dari akar umbi yang sudah lama berbakti dalam parti cuba memberi  gambaran penampilan bersatu walaupun keputusan yang mengejutkan ini. Tetapi dalam masa  yang singkat, ia tidak dapat dipertahankan. Adalah jelas bahawa Khalid perlu undur dan  digantikan. Penyelesaiannya ialah Langkah Kajang.  

Rancangan asal ialah Anwar akan bertanding di kerusi DUN Kajang, untuk membolehkannya menjadi pengganti kepada Khalid sebagai MB. Walau bagaimanapun, rancangan itu gagal apabila  jelas bahawa terdapat banyak halangan untuk tindakan ini.

Oleh yang demikian, isterinya  kemudian dipilih untuk menjadi calon di Kajang secara arbitrari. Walaupun beliau menang, Wan  Azizah kelihatan tidak boleh diterima untuk menjadi pengganti sebagai MB.

Parti itu  kemudiannya menghadapi satu lagi krisis serius yang disebabkan oleh gaya kepimpinan Anwar  yang cuai. Keputusannya yang kurang bijak dan dibuat tanpa rundingan terlebih dahulu dengan  kepimpinan parti, menyebabkan kekecohan dalam parti. Ahli-ahli akar umbi mengalami  kekusutan akibat daripada keputusan-keputusan yang buruk ini.

Syukurlah, suatu penyelesaian  untuk mengatasi masalah ini diatasi apabila Azmin dilantik sebagai MB selepas rundingan  berlarutan dengan parti komponen dalam Pakatan.  

Dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) 2013, ramai ahli telah berkorban besar dari akar umbi untuk meletakkan calon yang boleh dipercayai untuk PRU. Walau bagaimanapun, pada 

beberapa minggu sebelum hari penamaan calon, Anwar telah menggantikan ramai calon yang  berpotensi dengan pilihan peribadinya. Kejutan pada saat akhir ini menyebabkan kemelut yang mendalam.

Dipercayai bahawa terdapat kerusi boleh dimenangi sekiranya tiada perubahan pada  saat terakhir ini. Oleh itu, apabila tiba masanya PRU 2018, ramai telah berharap peristiwa saat  teŕakhir ini tidak akan berulang.

Garis panduan yang jelas telah disediakan untuk memastikan  bahawa kejutan atau “flip-flop” pada saat terakhir ini dielakkan. Walau bagaimanapun, senario  terburuk berlaku di mana calon-calon yang berpotensi yang telah lama bekerja keras di akar umbi  selama bertahun-tahun sekali lagi digantikan pada saat-saat akhir!! Adalah jelas bahawa Anwar  cakap tidak serupa bikin.  

Satu lagi contoh yang jelas mengenai kepimpinan yang arbitrari dan berkontroversi ialah  pemilihan parti dalaman pada 2019. Pemilihan parti sebelum ini pada tahun 2014 telah diakui  mengalami huru-hara dan telah menarik banyak publisiti negatif pada PKR. Anwar kemudian  berikrar bahawa pemilihan pada 2019 akan berjalan lancar, telus, dan sah.

PKR kemudian melaksanakan satu-ahli-satu-undi melalui pengundian digital. Ini adalah kaedah buat julung kali  dalam pemilihan parti di Malaysia. Ramai ahli telah menyuarakan keraguan tentang  kebolehlaksanaan pengundian digital ini. Dipercayai bahawa parti belum bersedia untuk kaedah  ini.

Apa yang berlaku adalah senario paling buruk. Banyak kejadian dan tomahan, dan keadaan huru hara berlaku. Terdapat aduan dibuat kepada jawatankuasa pemilihan parti yang  berlangsung begitu lama, antara 4 – 6 bulan.  

Apabila bukti yang jelas dikemukakan kepada jawatankuasa pemilihan parti terhadap calon-calon tertentu, tiada tindakan yang sewajarnya diambil. Ini telah menyebabkan ramai yang mendakwa  sekali lagi bahawa Anwar tidak mengamalkan apa yang dikatanya sendiri – cakap tak serupa bikin.  Nampaknya unsur pilih kasih diamalkan.  

Kemudian, satu lagi kejutan yang cukup luar biasa telah melanda parti.  

Di satu cabang di Sarawak, yang dikenali sebagai Julau, berlaku lonjakan besar-besaran  kemasukan seramai 13,000 ahli yang kononnya didaftarkan untuk mengundi selepas tarikh akhir  pendaftaran. Oleh itu, kelayakan mereka untuk mengundi adalah dipertikaikan. Amat  keterlaluan! Sekali lagi, tindakan yang sewajarnya tidak diambil.

Yang lebih mencurigakan, isteri  Anwar iaitu timbalan perdana menteri secara “kebetulan” muncul di Julau, satu kawasan  terpencil di Sarawak! Rupa-rupanya kehadiran beliau adalah untuk berkempen. Keadaan ini  sangat bertentangan dengan garis panduan parti!  

Ini juga menzahirkan perasaan ketidakpuasaan hati terhadap kepimpinan Anwar, yang kelihatan bertindak secara wewenang dan mengamalkan nepotisme.  

Secara keseluruhan, pemilihan parti ini penuh dengan berbagai kontroversi dalam tempoh 4–6  bulan tersebut. Walau bagaimanapun, semasa pemilihan berlangsung, dan ahli-ahli sedang  bergelut dengan banyak isu yang belum diselesaikan di seluruh negara, Anwar tiba-tiba  mengumumkan keputusan yang begitu mengejutkan!

Beliau ingin bertanding menjadi ahli parlimen supaya menjadikan dirinya layak untuk menjadi perdana menteri! Kerusi Port Dickson dipilih. Ramai mempersoalkan mengapa tidak kerusi isteri atau anak perempuannya sendiri?  

Ahli-ahli akar umbi kemudiannya dikehendaki turun ke Port Dickson untuk membantu  kempennya walaupun kontroversi pemilihan parti yang berterusan. Ramai yang mempersoalkan  mengapa beliau tidak boleh menunggu satu atau dua bulan lagi setelah kian lama menunggu  untuk langkah ini apabila pemilihan parti akan berakhir.  

Sepanjang tempoh pandemik Covid-19, sebagai ketua pembangkang, beliau sepatutnya  memberikan kepimpinan yang kuat untuk membantu negara dalam krisis yang melanda negara.  Semasa Pilihan Raya Negeri Sabah pada September 2020, ramai pemimpin-pemimpin Pakatan  turun berkempen untuk Shafie di Sabah.

Sehari sebelum hari pengundian di Sabah pada Jumaat – Anwar secara mengejutkan telah mengadakan satu sidang media mendakwa “Saya  mempunyai jumlah angka sokongan”.

Pengumuman ini sangat menakjubkan dan menghantui beliau sehingga ke  hari ini. Episod ini serupa dengan peristiwa 916 pada tahun 2008.  

Pada hari pengumuman itu juga, pasaran saham jatuh merudum, dan keesokan harinya Shafie Apdal kalah pilihan raya dengan beberapa kerusi. Sehingga ke hari ini, kenyataan Anwar bahawa beliau mempunyai majoriti yang cukup dan meyakinkan tidak terbukti.

Melalui kejadian itu, PH  sepatutnya mencari hidayah dan mendapatkan pengganti untuk mengelakkan krisis yang dihadapi  ketika ini apabila tiada cukup majoriti menggantikan Perikatan Nasional. 

Kepemimpinan Anwar dalam PKR telah dilanda krisis berterusan sehingga menyebabkan parti itu retak.

Tentangan terhadap kepimpinannya semakin meningkat. Untuk  menangani tentangan ini dalam sekitar April 2020, beliau memecat beratus-ratus orang ahli tanpa mengikut proses yang sewajarnya. Semua yang dipecat adalah ahli yang bertentangan  dengan kepimpinannya, walaupun mereka tidak melanggar peraturan. 

Dalam saat yang genting pada masa ini, wajarkah negara ini memberi kepercayaan kepada  seorang pemimpin yang telah berkali-kali menunjukkan sikap yang kurang bijak?

Walaupun  terdapat faktor yang memihak kepada beliau, dia telah gagal menyatukan ahli-ahli Parlimen  untuk mendapatkan sokongan majoriti yang jelas dan meyakinkan sepertimana yang pernah  didakwa pada bulan September 2020.

Jika Anwar seorang yang berhemah, beliau sepatutnya mengakui dengan rendah hati bahawa beliau patut berundur daripada menjadi PM, memandangkan begitu banyak peluang telah diberikan kepadanya. Pada masa yang sama, PH perlu memiliki pandangan menjangkai susuk Anwar dan secara agresif mengejar satu alternatif baru dengan kemungkinan memilih Shafie Apdal sebagai pengganti.  

Tan Poh Lai adalah bekas naib ketua Wanita PKR.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow