- Iklan -
Rencana

Ismail taruhan terbaik Umno

Presiden parti perlu memberikan arahan dan mesej yang jelas untuk mengangkat Ismail sebagai calon perdana.

Aizat Fikri Nasir
3 minit bacaan
Kongsi
Ismail Sabri adalah timbalan perdana menteri ketika Muhyiddin Yassin mengetuai pentadbiran kerajaan. Gambar: Bernama
Ismail Sabri adalah timbalan perdana menteri ketika Muhyiddin Yassin mengetuai pentadbiran kerajaan. Gambar: Bernama

Plato melalui bukunya ‘The Republic menggagaskan, demokrasi ialah satu sistem pemerintahan yang berbahaya dan berisiko tinggi untuk korup. Liberalisasi disebut sebagai tunjang demokrasi yang memacu pengamalnya untuk mengatur diri sendiri melakukan sesuka hati sehingga menimbulkan kekerasan, ketidakadilan dan kekacauan.

Kita dapat melihat hipotesis Plato itu terealisasi pada hari ini. Semua pihak cuba mencari jalan, sama ada untuk merampas kuasa atau mempertahankan kuasa dalam ekosistem politik Malaysia dewasa ini. Permainan tarik tali, sepak terajang dan lompat tikam ini melibatkan semua parti politik di Malaysia yang masih mempraktikkan amalan dan budaya demokrasi yang kita raikan selama ini.

Umno merupakan sebuah parti yang sentiasa dibadai kisah dan anekdot menarik sekali gus menjadikannya parti yang sarat dengan pengalaman. Ramai yang mempersoalkan tindakan ahli-ahli Parlimen Umno yang kekal memberi sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional. Harus diingat, mereka ini adalah manusia dan bukannya lembu yang dicucuk hidung. Umno seharusnya membuka ruang perbincangan bersama ahli-ahli Parlimen mereka, nyatakan hala tuju dan pelan jangka masa panjang demi kestabilan negara. Kita pastinya tidak mahu melihat negara ini digantung tidak bertali, goyah dengan natijahnya rakyat yang menderita. Selama 22 bulan mereka menjadi barisan hadapan Umno di parlimen sebagai pembangkang, tentunya hal ini wajib diberikan pengiktirafan dan bukannya cacian.

Walaupun ramai yang mengutarakan pandangan sekarang bukanlah masa untuk bergaduh dan berebut kuasa. Hakikatnya, untuk mengemudi Malaysia keluar dari kemelut politik, ekonomi dan sosial dalam situasi pandemik ini, seorang tokoh pemimpin yang berkaliber amat diperlukan.

Oleh itu, figura manakah yang paling ideal di persada pentadbiran negara pasca Muhyiddin?

Pada hemat saya, Ismail Sabri ialah kunci kepada masalah yang ditanggung Umno dan Bersatu. Beliau adalah taruhan terbaik Umno bagi terus memperkasakan parti kerana sosok ini boleh menjadi jambatan muhibah menghubungkan kedua-dua parti.

Ismail telah membuktikan kewibawaan beliau menguruskan parti sebagai ketua pembangkang dan mengetuai kluster keselamatan dengan baik dalam tempoh yang singkat setelah mengambil alih kerajaan tahun lepas. Imej yang bersih dilihat sebagai penyelamat kepada Umno yang terconteng arang dek pemimpin-pemimpin yang beragenda politik peribadi.

Rakyat memerlukan satu pencerahan dan perubahan dalam struktur politik negara yang kucar-kacir. Ketegangan dan kemelut yang diwujudkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab perlu dititiknoktahkan.

Umno perlu memberikan restu kepada beliau untuk mentadbir negara. Dengan itu, bukan sahaja Ismail dapat dijulang ke posisi nombor satu negara bahkan ia akan melonjakkan semula parti ke landasan yang lebih layak dan terhormat.

Umno perlu menjadi penggerak yang mencorakkan hala tuju kerajaan dan negara dengan tegas, bukannya sebagai pemerhati pasif. Tiba masanya presiden parti memberikan arahan dan mesej yang jelas untuk mengangkat calon perdana menteri dari Umno ini.

Dalam pada masa yang sama, Bersatu juga perlu membalas budi dengan menyokong Umno untuk menerajui negara, dengan itu barulah kita dapat memastikan perjuangan membela nasib rakyat dan memulihkan negara terencana dengan lancar. Jika kita terus berpecah belah, pembangkang akan mengambil kesempatan terhadap kelemahan kita. Sekiranya mereka kembali memerintah, Malaysia akan benar-benar terhumban ke gaung kehancuran.

‘Meski telah memiliki telaga, tangan masih memegang tali, sedang orang mencapai timba, berbuahlah pisang tiga kali, Melayu itu masih bermimpi’ – Usman Awang

Apa yang paling mustahak ialah kebajikan dan kemaslahatan rakyat. Itulah yang harus dijadikan prioriti. Oleh itu, kepentingan politik dan agenda peribadi mestilah dikesampingkan. Imej Umno perlu dibina semula, negara perlu ditadbir nakhoda yang bukan sahaja berpengalaman tetapi disenangi rakyat, mempunyai visi yang jelas dan berjiwa besar.

Aizat Fikri Nasir adalah bekas timbalan presiden Umno London.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow