Saturday, September 25, 2021

Surat pekeliling KP kesihatan jadi ‘game changer’ perancangan KPM

Kemungkinan sekolah tidak akan dibuka 1 September lebih tinggi selepas mengambil kira vaksinasi golongan remaja. 

Other News

Surat pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berhubung kelulusan untuk memvaksin individu berusia 12 hingga 17 tahun bakal menjadi “game changer” untuk kementerian pendidikan (KPM) menjelang pembukaan sekolah yang dijadualkan secara berperingkat secara 1 September ini.

Vaksinasi untuk remaja 12 hingga 17 tahun itu terbahagi kepada dua golongan iaitu mereka yang berusia 12 hingga 15 tahun dan mempunyai masalah kesihatan tertentu, serta semua individu berusia 16 dan 17 tahun tanpa mempunyai masalah kesihatan tertentu.

Pengumuman ini semestinya menyebabkan para ibu bapa dan masyarakat umum menggesa agar anak-anak mereka divaksin terlebih dahulu sebelum sekolah dibuka.

Terdahulu, kerajaan merancang untuk membuka sekolah di negeri-negeri yang sudah memasuki Fasa Dua dan ke atas, mengikut SOP masing-masing.

Sekolah di Fasa Satu sememangnya tidak dibenarkan dibuka.

Bagaimanapun, perkara ini mendatangkan dilema kepada KPM.

Tiada situasi menang-menang dalam hal ini.

Seperti ditelan mati emak, diluah mati bapa, tindakan mengurung anak-anak secara berterusan akan mendatangkan kerugian dari segi pembelajaran mereka, manakala membenarkan mereka ke sekolah mendedahkan mereka terhadap risiko penularan wabak Covid-19.

Ada pihak yang tegas mahu kerajaan tidak membuka semula sekolah, manakala ada pula yang mewajarkan tindakan membuka sekolah mengikut lokaliti, seperti yang dicadangkan Ahli Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia Dr Adeeba Kamarulzaman baru-baru ini.

“Ia tidak boleh menjadi ukuran untuk semua dan keputusan sama ada untuk dibuka semula atau ditutup mesti berdasarkan banyak kriteria seperti kadar vaksinasi guru serta saiz komuniti sekitar sekolah yang luas,” katanya dalam satu forum baru-baru ini.

Namun, ia juga berkemungkinan mendapat tentangan daripada ibu bapa yang tinggal di Lembah Klang yang sehingga kini masih berada di Fasa Satu.

Mereka mungkin menyatakan tidak adil untuk anak mereka tidak sekolah manakala anak-anak di negeri lain mula bersekolah.

Jika sekolah hendak dibuka sekalipun, keutamaan mesti diberikan kepada murid tahun peperiksaan sahaja.

KPM boleh melaksanakan beberapa cadangan antaranya membahagikan sesi persekolahan mengikut minggu.

Ini bermakna, ada kelas yang akan hadir ke sekolah pada satu minggu manakala kelas lain bersekolah secara dalam talian.

Mereka akan bergilir untuk sesi persekolahan secara bersemuka.

Strategi hibrid ini pasti dapat membantu dari segi kepatuhan kepada SOP sekolah.

Vaksinasi di sekolah pula bukanlah satu perkara asing untuk KPM dan KKM, memandangkan program vaksinasi di sekolah telahpun lama diadakan dahulu.

Sebaliknya, isu bekalan vaksin Covid-19 menjadi halangan utama sama ada ia dapat dilakukan secara efektif untuk murid-murid di sekolah yang boleh dibuka.

Cabaran lain ialah guru-guru yang tidak mahu divaksin, atau ibu bapa yang tidak membenarkan anak mereka mengambil vaksin.

Polisi kerajaan tidak mewajibkan vaksin bermakna ketua penjawat awam harus mengemukakan satu ketetapan berhubungan apakah tindakan yang perlu diambil terhadap golongan ini.

KPM juga harus berbincang dengan pakar-pakar mengenai murid-murid  yang dihalang mengambil vaksin oleh ibu bapa mereka.

Di pihak KPM, mereka boleh mengadakan tinjauan untuk mengumpul pandangan ibu bapa.

Pandangan ini harus dibahagikan mengikut negeri yang berada dalam fasa-fasa pemulihan yang berbeza.

Dari situ, KPM boleh mengetahui apa kemahuan ibu bapa.

Di pihak ibu bapa, mereka harus menerima hakikat bahawa sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan berterusan dan tidak akan tamat dalam masa terdekat.

Manakala bagi murid-murid sekolah rendah, berkemungkinan mereka tidak akan ke sekolah sehingga tamat takwim sekolah tahun ini.

Tahun-tahun mendatang akan menjadi lebih mencabar, apabila takwim sekolah tidak lagi berjalan seperti dahulu.

Jika dahulu, ia bermula pada Januari dan berakhir pada November.

Pandemik ini mengubah sama sekali takwim tahunan itu dan menganggu perjalanan sesi persekolahan.

Maka tidak mustahil juga satu hari nanti takwim Malaysia akan diubah seakan negara-negara Eropah atau Thailand contohnya, yang tidak menghabiskan tempoh setahun persekolahan dalam satu tahun yang sama.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles