Monday, September 20, 2021

Menghadapi keadaan dunia gawat

Cabaran ini memberikan kesan kepada individu dan keluarga yang mempunyai masalah tersendiri masing-masing.

Other News

Apabila mengulas mengenai isu-isu gawat, ia sama sekali bukan bertujuan menjatuhkan lagi semangat para pembaca yang sememangnya sudah berada pada tahap rendah dalam keadaan cabaran masa kini.

Ulasan mengenai cabaran dan masalah adalah bertujuan untuk mentafsir segala berita, maklumat dan fakta sedia ada bagi membolehkan lagi kefahaman terhadapnya.

Kefahaman ini berupaya mendatangkan kejelasan, dan daripadanya barulah seseorang boleh merangka respons dan tindak balas bagi menghadapi suasana ini.

Apabila ada kemampuan untuk memberikan respons dan tidak balas, maka seseorang mampu bersikap positif dan menaikkan semangat untuk berazam bagi mengatasi masalah.

Sesungguhnya manusia mempunyai dua sisi.

Sisi positif dan negatif.

Sisi ini mendorong seseorang menarik dirinya kepada kelemahan mental.

Perlakuan ini boleh membawa kepada kemurungan.

Sisi positif berasaskan pada hakikat minda manusia mampu untuk menggerakkan seseorang bertindak untuk menghadapi cabaran dan berusaha meraih kejayaan.

Semangat juang ini sentiasa ada pada manusia.

Tetapi tentunya ia memerlukan kesedaran terhadap realiti sesuatu cabaran.

Cabaran hari ini datang dalam dua bentuk.

Pertama, di peringkat negara.

Kedua, di peringkat dunia, yang juga membabitkan Malaysia.

Cabaran ini memberikan kesan kepada individu dan keluarga yang mempunyai masalah tersendiri masing-masing.

Pada peringkat negara, ada empat cabaran.

Pertama, wabak Covid-19.

Kedua, politik.

Ketiga, ekonomi.

Keempat, hubungan antara kaum.

Di peringkat dunia juga terdapat empat cabaran.

Pertama, wabak Covid-19 juga.

Kedua, perubahan iklim yang juga akhirnya memberi kesan pada Malaysia.

Ketiga, politik global.

Keempat, ekonomi global.

Cabaran-cabaran ini menunjukkan bahawa dunia sekarang berada dalam keadaan gawat.

Perubahan iklim yang sudah lama diperingatkan mungkin masih tidak dirasakan oleh kebanyakan orang di planet ini tetapi daripada laporan berita saban hari menunjukkan ia sedang berlaku.

Kebakaran di Turki, Greece dan California dikaitkan dengan isu pemanasan global.

Begitu juga dengan banjir di Eropah, China dan Jepun dilihat sebagai tanda-tanda perubahan iklim.

Taufan dan banjir adalah suatu yang lumrah.

Tetapi kali ini ia berbeza.

Perbalahan hujah antara pihak yang menafikan keadaan ini dengan para saintis masih berlaku.

Bagi sebahagian dari pakar dan aktivis alam sekitar, manusia sudah terlambat untuk berusaha membendung masalah ini.

Tetapi apa yang berlaku sudah berlalu.

Apa yang boleh dilakukan adalah untuk menangani keadaan yang ada.

Malah, wabak Covid-19 juga dikaitkan dengan pemanasan global.

Ada saintis yang mengkaji kemungkinan virus Corona ini timbul akibat daripada perubahan iklim.

Akibat perubahan itu, ekosistem dalam hutan yang semakin kecil sedang berubah.

Ia melibatkan semua benda hidup, dari tumbuhan, haiwan dan mikro organisma.

Daripada perubahan ini, muncul virus baru seperti Corona.

Kajian dan telahan ini sudah bermula, lebih awal sebelum kemunculan Covid-19.

Pengetahuan mengenai Covid-19 sentiasa berubah dan menambah.

Apa yang diketahui pada Ogos 2020 tidak sama dengan Ogos 2021.

Sentiasa ada maklumat baru.

Tafsirannya juga berbagai.

Sebab itu, dalam menghadapi Covid-19, semua pihak yang terlibat, daripada saintis, doktor mahupun penggubal dasar wajarlah sentiasa memperbaharui pegetahuan mereka terhadap maklumat terbaru.

Dalam hal ini, seseorang tidak boleh bersikap ego dan degil untuk mempertahankan pandangannya yang berdiri di atas maklumat lama.

Sebarang kegagalan mesti diterima dengan besar hati.

Ini tiada kaitan dengan soal peribadi.

Perubahan dasar mesti dilakukan segera bila muncul maklumat baru.

Dalam hal Covid-19 ini, ego dan kedegilan seorang pakar atau pentadbir akan memberi kesan buruk pada nyawa orang ramai.

Bagi orang ramai pula, mereka mesti menerima bahawa pakar lebih mengetahui daripada rakyat biasa.

Pengetahuan dan maklumat sahih datang dari pakar.

Sementara pentadbir pula mempunyai kuasa yang diiringi tanggungjawab.

Tentulah pendirian mereka berbeza daripada orang ramai yang hanya mengikut perkembangan melalui media massa dan media sosial.

Orang ramai juga tidak wajar bersikap ego dan degil untuk akur terhadap rumusan daripada pakar dan pihak berkuasa.

Dalam minggu lalu ada laporan daripada saintis Oxford yang mengetuai pasukan AstraZeneca menyatakan bahawa dalam menghadapi varian Delta, ada tanda-tanda bahawa imuniti kelompok tidak akan dapat tercapai dengan vaksinasi sebahagian daripada penduduk seperti yang dijangka dahulu.

Dengan itu, apaa yang perlu dilakukan ialah vaksinasi penuh untuk menyelamatkan semua orang.

Ini adalah satu contoh maklumat baru mengenai Covid-19.

Pertubuhan Kesihatan sedunia (WHO) pastinya akan membincangkan perkara ini dan akhirnya perubahan polisi akan berlaku di peringkat negara seluruh dunia.

Sememangnya memenatkan untuk sentiasa mengikut perkembangan Covid-19.

Tetapi ia sudah menjadi sebahagian daripada hidup.

Zaman kehidupan tahun 2019 sudah berlalu dan ia hanya menjadi suatu kenangan kolektif global.

Bagi menghadapi cabaran ini, seseorang perlu terus meningkatkan semangat untuk dapat hidup dan menyesuaikan diri dengan keadaan.

Cabaran kedua global ialah politik antarabangsa, yang juga berkait dengan geopolitik.

Walaupun keadaan dunia sekarang ini kelihatan tenang dengan kebanyakan negara memberikan tumpuan kepada Covid-19, tetapi realitinya tidak begitu.

Dengan meneliti kenyataan-kenyataan pemimpin kuasa-kuasa utama dunia iaitu Amerika Syarikat, Rusia, Kesatuan Eropah dan China tentu dapat dirasakan terdapat satu persaingan yang perlu ditangani secara diplomasi.

Ia bukanlah suatu Perang Dingin baru tetapi bibit-bibit seumpama itu sudah ada.

Para pakar hubungan antarabangsa dan diplomat seluruh dunia pasti sedang mempelajari perkara ini.

Bibit-bibit ketegangan itu berlaku antara Amerika Syarikat dan Rusia, serta Amerika Syarikat dan China.

Dalam minggu lalu, Presiden Joe Biden mengisytiharkan bahawa mereka akan menyediakan ruang selamat atau safe haven kepada rakyat Hong Kong.

Tentulah perkara ini menimbulkan kemarahan Beijing.

Perang media antara China dan Amerika Syarikat sedang rancak berlaku.

Apa pun natijahnya, pasti ia memberikan kesan pada dunia.

Sementara itu, perang saudara di Afghanistan juga akan menarik semula penglibatan kuasa besar.

Asalnya, Amerika Syarikat menarik keluar tenteranya dengan mengejut.

Taliban pula mengejutkan dunia dengan mudah menguasai banyak wilayah Afghanistan.

Apa yang lebih mengejutkan Washington ialah kerjasama Taliban dengan China.

Walaupun sedang mengundurkan tenteranya, Amerika Syarikat tetap menggugurkan bom ke atas sasaran Taliban.

Malangnya Taliban berada di tengah-tengah orang awam.

Pastinya ramai orang awam menjadi mangsa.

Perubahan iklim, Covid-19, persaingan Amerika Syarikat-China dan kesan ekonomi dunia akan menjadikan dunia bagi dekad 2020-an ini berbeza dengan dekad sebelumnya.

Dalam senario terbaik, dunia akan kembali seperti tahun 2019.

Tetapi jika senario terburuk pula, ia boleh meruntuhkan seluruh tamadun moden ini.

Dalam sejarah silam, wabak penyakit pernah meruntuhkan empayar dan tamadun.

Empayar Mongol, Golden Horde hilang dari muka bumi kerana wabak penyakit hawar yang merupakan bakteria dibawa oleh tikus.

Empayar Mongol abad ke-14 itu meliputi suatu wilayah besar merentas benua Eropah dan Asia, dari Hungary ke China.

Maknanya ia meliputi negara-negara Eropah, Rusia, China dan Afghanistan.

Tetapi dahulu tidak ada sains, teknologi dan demokrasi.

Sekarang pula ada senjata nuklear, biologi dan kimia.

Adalah diharapkan manusia sekarang lebih arif, lebih bermoral dan lebih berperikemanusiaan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles