- Iklan -
Rencana

Krisis politik: Antara strategi, helah dan solusi

Pihak pembangkang sepatutnya mengambil kesempatan dengan berunding terlebih dahulu dengan kerajaan PN mengenai tawaran ini.

Abdul Azim Bin Roslan
6 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan sebahagian ahli Kabinet. Gambar Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan sebahagian ahli Kabinet. Gambar Bernama

Semalam perdana menteri (PM) telah membentangkan cadangan ‘bersama pulihkan negara’. Banyak perkara yang kerajaan Perikatan Nasional (PN) tawarkan kepada rakyat dan pembangkang sebagai timbal balas menyokong keabsahan Muhyiddin Yassin sebagai PM di sidang Parlimen akan datang.

Antara tawaran yang dikemukan PM ialah bantuan tunai RM10 bilion kepada 11 juta penerima dalam separuh kedua tahun 2021, rang undang-undang (RUU) pindaan Perlembagaan yang menghadkan tempoh jawatan PM kepada dua penggal sahaja dan RUU anti-lompat Parti. Kerajaan PN juga bersetuju untuk melaksanakan Undi 18 tanpa perlu menunggu pelaksaan pendaftaran automatik yang mana akan mengambil masa yang lama. PM juga berjanji bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan selewat-lewatnya pada Julai 2022.

Lebih menggiurkan, ketua pembangkang akan diberikan pengiktirafan setaraf dengan menteri kanan yang mana akan diberikan saraan dan kemudahan yang sama. Dalam masa yang sama, PM mengakui dia tidak lagi mempunyai majoriti sokongan ahli Parlimen (MP), tetapi dia juga mendakwa pihak pembangkang tidak mempunyai calon PM yang mempunyai sokongan majoriti MP.

Mari kita analisa satu per satu situasi politik di Malaysia secara rasional dan objektif.

Siapa calon PM pembangkang?

Adakah benar Muhyiddin telah hilang majoriti sokongan MP sebagai PM? Ya benar, dia sendiri telah mengesahkannya secara terbuka. Maka, apa pilihan yang dia ada? Meletakkan jawatan sebagai PM atau menasihati Agong untuk membubarkan Parlimen.

Jika dia meletakkan jawatan sebagai PM, maka Agong perlu melantik PM yang baru. Mari kita semak nombor sokongan. Muhyiddin setakat 9 Ogos memiliki sokongan jelas 100 MP termasuk 23 MP Umno yang tidak bersama Ahmad Zahid Hamidi. Anwar Ibrahim pula melalui gabungan PH mempunyai sokongan 88 MP sebagai calon PM.

Warisan dengan sokongan 8 MP jelas tidak menyokong Anwar sebagai calon PM. Hal yang sama berlaku dengan parti Pejuang yang mana mereka bertegas bahawa negara perlukan majlis pemulihan negara atau Mageran 2.0.

MP Umno (baca: kluster mahkamah) secara terbuka bertegas dengan slogan ‘No Anwar dan No DAP’. Sama ada kenyataan ini bersifat strategi politik atau tidak, rakyat dan ahli Umno akan membuat penilaian kelak.

Pembangkang walaupun mempunyai majoriti MP teramai tetapi tidak pernah bersepakat dan bersetuju dengan satu nama calon PM. Jika akhirnya nanti mereka ditakdirkan sepakat menamakan satu calon PM, majoriti yang mereka ada juga amat tipis. Apabila ada satu atau dua MP melompat masuk ke blok lain, maka kerajaan yang baru nanti juga akan jatuh.

Jika Muhyiddin benar-benar meletakkan jawatan, apa yang akan jadi selepas itu? Krisis politik yang berterusan dan mungkin akan lebih parah. Ini semua akan membuang masa dan fokus kita terhadap isu rakyat seperti usaha menangani Covid19.

Pilihan ke dua ialah menasihati Agong untuk membubarkan Parlimen. Pilihan ini majoriti semua sepakat bukanlah pilihan yang ideal dan amat tidak sesuai dengan situasi semasa.

Confidence and Supply Agreement (CSA)

Apa yang kerajaan PN tawarkan kepada pembangkang ketika ini adalah mirip kepada CSA. CSA berlaku apabila kerajaan berada dalam keadaan minoriti yang menyebabkan tidak cukup sokongan MP di Dewan Rakyat untuk meluluskan ‘votes of confidence’ atau pun hal-hal yang berkaitan dengan belanjawan. Apabila ini berlaku, kerajaan dan pembangkang mencapai kata sepakat untuk meluluskan atau menyokong usul kerajaan tanpa perlu menjadi sebahagian daripada pihak kerajaan.

CSA adalah perkara biasa yang berlaku di negara-negara Komanwel yang mengamalkan Westminster Parliamentary Democracy System. Antara negara-negara yang pernah mengamalkan CSA ialah New Zealand, United Kingdom, Australia dan Kanada. Maka tuduhan bahawa tawaran kerajaan PN ini adalah bersifat rasuah atau “scheme of things” mungkin perlu dinilai semula.

Walaupun kini menentang, Syed Saddiq dan parti Muda (baca: pendaftaran parti telah ditolak) pernah mencadangkan idea CSA ini pada tahun lepas. Anthony Loke daripada DAP juga pernah menyuarakan hal ini dan meminta reaksi balas daripada rakyat Malaysia.

Kini, Ong Kian Ming dan Tony Pua menyarankan agar pihak pembangkang mengambil serius cadangan kerajaan PN dan segera berbincang.

Akhirnya, kini pintu perbincangan CSA melalui kerajaan dan parti pembangkang seakan ditutup apabila semua parti pembangkang kelihatan sepakat untuk menolak tawaran kerajaan PN.

Strategi dan helah politik

Tindakan Muhyiddin Yassin untuk mengusulkan undi percaya di Parlimen pada bulan September sememangnya dia sedang membeli masa. Dia cuba untuk mencari lebih banyak sokongan MP daripada blok pembangkang untuk menyokong dan menyesahkan keabsahannya sebagai PM.

Apabila tular dakwaan kononnya terdapat aktiviti membeli MP dengan harga durian RM30 juta, ini merupakan tindakan terancang, sama ada ia benar-benar dibuat oleh pihak yang sedang ingin mengekalkan kuasa atau pun sebenarnya dibuat oleh “black ops” pihak pembangkang. Jika ini dibuat oleh pihak yang sedang berkuasa, maka jelas ini tindakan bodoh. Gunakan aplikasi whatsapp untuk beli MP dengan nilai puluhan juta ringgit? Like seriously?

Bukan rahsia sebenarnya di dalam blok pembangkang itu sendiri terdapat MP yang tidak bersetuju untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada, walaupun kekal dengan prinsip tidak menyokong kerajaan PN tetapi mereka bimbang dengan implikasi yang akan berlaku selepas jatuhnya kerajaan sedia ada.

Menyedari hal ini, ‘black ops’ pembangkang boleh sahaja mencipta isu beli MP dengan harga durian RM30 juta. Ini akan mematikan langkah MP pembangkang yang berniat untuk menyokong Muhyiddin ketika sesi usul undi percaya di Parlimen kerana mereka akan berasa bimbang dituduh telah dibeli oleh kerajaan PN melalui tawaran durian RM30 juta.

Menyedari hal ini, Muhyiddin segera membuat tawaran terbuka agar kebimbangan mereka akan dituduh terima durian RM30 juta akan terhakis. Tawaran-tawaran yang dibuat sangat bersifat reform institusi yang mana kerajaan PH sebelum ini juga gagal untuk melakukannya.

Bilakah lagi kita akan mendapat peluang melaksanakan reform sebesar ini?

Walaupun kelihatan pintu rundingan antara kerajaan dan parti pembangkang telah tertutup, tetapi situasi politik pasca PRU14 sangat berbeza. Keputusan induk parti politik tidak lagi dilazimi dengan diikuti oleh ahli Parlimen parti terbabit.

Lihat sahaja Umno sebagai contoh. Ini situasi yang menarik untuk kita perhatikan ketika sesi usul undi percaya di dewan Parlimen nanti.

Solusi menang-menang

Pihak pembangkang sepatutnya mengambil kesempatan dengan berunding terlebih dahulu dengan kerajaan PN mengenai tawaran ini. Antara kritikan yang didengari ialah, jika benar kerajaan PN ikhlas, sepatutnya peruntukkan parlimen sama rata kepada semua ahli Parlimen termasuk pembangkang dilakukan sebelum ini.

Bukan ketika nyawa kerajaan PN dihujung tanduk. Mungkin pembangkang terutamanya PH lupa, ketika zaman mereka memerintah pun walaupun ada peruntukkan diberikan kepada MP pembangkang, tetapi jumlahnya jauh berbeza.

Sepatutnya mereka ambil peluang untuk memberikan syarat tambahan untuk sokongan diberikan kepada kerajaan PN. Contohnya, menjadikan peruntukkan untuk setiap ahli Parlimen sama rata bagi setiap kawasan Parlimen tidak kira kerajaan atau pembangkang.

Mungkin saiz Parlimen, soal geografi dan jumlah penduduk boleh diambil kira. Jadikan ia akta atau undang-undang supaya siapa pun yang akan menjadi kerajaan kelak, isu ini tidak akan lagi berbangkit dan pengundi tidak akan dihukum kerana memilih wakil MP yang berbeza dengan pihak yang memiliki majoriti sokongan di Dewan Rakyat.

Pembangkang juga boleh mendesak kerajaan untuk bersetuju menurunkan sebahagian bidang kuasa pusat ke negeri bagi membolehkan kerajaan negeri mengawal urusan tertentu yang berkaitan dengan pengurusan bencana Covid-19 dan juga urusan pemberian vaksin terutamanya di negeri-negeri yang dikuasai oleh PH atau Umno.

Ini juga memberikan lebih tanggungjawab kepada kerajaan negeri mengawal urusan tertentu kerana seringkali kritikan yang didengari ialah banyak yang tidak boleh dilakukan kerana bukan dalam bidang kuasa negeri contohnya penutupan kilang-kilang.

PRU15 dijanjikan akan dilaksanakan selewat-lewatnya bulan Julai 2022. Ada banyak isu berbangkit yang diperjuangkan oleh pembangkang sebelum ini terutamanya yang melibatkan SPR dan juga RUU pembiayaan dana politik.

RUU ini difahamkan sudah sedia ada cuma tidak sempat dibentangkan di Parlimen apabila kerajaan PH tumbang awal tahun lepas. Masukkan sekali RUU pembiayaan dana politik sebagai syarat sokongan.

Untuk menjadikan imej pembangkang tetap “bersih” walaupun menerima tawaran CSA daripada kerajaan PN, maka boleh sahaja tolak cadangan agar ketua pembangkang diberikan saraan dan kemudahan yang sama seperti menteri kanan.

Ini satu kerugian, tetapi jika persepsi umum yang menjadi isu, maka tidak salah jika tawaran ini ditolak pada kali ini tetapi boleh diperkasakan dimasa hadapan.

Jika kita amati, semua tawaran dan cadangan syarat balas ini akan menguntungkan semua pihak. Kerajaan PN masih boleh kekal berfungsi, pembangkang akan mendapat pembelaan yang lebih baik dan rakyat pula akan mendapat manfaat terbesar apabila kerajaan akan menjadi lebih stabil kerana kurang politiking, dan banyak peluang reformasi boleh dilaksanakan.

Rakyat itu raja

Parti dan pemimpin politik sebenarnya memiliki dua raja. Satu raja yang ditegakkan di atas institusi Perlembagaan, dan satu lagi raja tidak rasmi iaitu rakyat marhaen.

Apa pun keputusan dan perancangan orang politik kelak, mereka bukan hanya perlu memuaskan hati institusi beraja sahaja, tetapi juga mengangkat dan mendukung maruah rakyat kepada kehidupan yang lebih baik. Ini semua memerlukan ahli politik yang berjiwa besar dan bersifat negarawan.

Akhir kalam, izinkan penulis memetik kata-kata Kian Ming ketika perbahasan di Parlimen baru-baru ini apabila dia mengajak kepada moratorium Covid-19, “Extraordinary times calls for extraordinary leadership by all of us here in this hall.”

Sekarang, bola tanggung di kaki semua ahli politik sama ada mahu terus bergulat merebut kuasa atau boleh saling bekerjasama membaik pulih negara ini.

Abdul Azim Bin Roslan pengasas bersama Anak Muda Merdeka.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow