- Iklan -
Rencana

Ketua Pemuda Umno memalukan!

Sayap pemuda perlu berani cari alternatif untuk memperkasa parti dan mempertahan ruang kepimpinan yang ada apatah lagi menteri-menteri strategik adalah dari Umno.

Jalaluddin Al-Rumi
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berucap ketika Perhimpunan Agung Umno 2020.
Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berucap ketika Perhimpunan Agung Umno 2020.

Asyraf Wajdi Dusuki yang merupakan ketua Pemuda Umno Malaysia adalah “the weakest link”, dan memalukan apabila cuba mencari populariti murahan dengan membuat lebih ramai rakyat dan netizen marah kepada Umno.

Usah kita biarkan parti keramat orang Melayu ini menanggung hinanya yang berpanjangan kerana salah kita!

Yang mahu bawa perpecahan dan buat Umno tunduk kepada Anwar Ibrahim serta Kit Siang, Guan Eng itu adalah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sendiri!

Sanggup kita sebagai parti yang menjadi teras bangsa sejak Merdeka, biarkan sebuah parti yang bukan berteraskan tunjang Melayu selaku asas negara ini menjadi perdana menteri?

Dalam erti kata lain, sanggup kita angkat perdana menteri bukan dari parti Melayu? Kena ingat, ini negara Malaysia, kekuatan kemajmukan kita yang berbilang kaum sejak Merdeka adalah apabila orang Melayu capai keselesaan dalam keterpendaman Melayu. Bukan dicarik maruah kita!

Hakikatnya kita sendiri yang pernah silap, biarkan rasuah berleluasa jadi amalan parti, biarkan budaya menjilat tidak tentu hala sampai kedudukan orang Melayu dihina.

Sejarah buktikan kejatuhan dan kebangkitan sesuatu peradaban itu bukan asbab orang lain, sebab kita sendiri! Agama kita Islam juga mengatakan hal yang sama sepertimana yang disebut dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11.

Sepatutnya pergerakan sayap pemuda perlu berani cari alternatif untuk memperkasa Umno dan mempertahan ruang kepimpinan yang ada apatah lagi menteri-menteri strategik yang Muhyiddin bagi pegang portfolio semua orang kita! Semua portfolio strategik dan bantu angkat imej kita balik Umno yang pegang.

Apa salahnya kita menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai pemimpin perubahan kita. Parti utama orang Melayu ini perlu bangkit! Bukan dibawa untuk tunduk kepada ejen perosak negara dan kumpulan yang sanggup menghina dan merendahkan, serta sanggup menggugat kedudukan orang Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu seperti DAP!

Kita perlu belajar daripada sejarah, “mereka yang melupai sejarah, pasti akan mengulanginya semula,” kata George Santayana.

Kita dalam Umno inilah yang turun ke jalanan menentang Icerd, Statut Rom dan sebagainya. Hari ini Presiden hendak bawa kita tunduk dan bergelumang dengan orang yang nak mengkhianati asas negara?

Hanya sebab mahu selamatkan diri sendiri yang buat segala kesilapan yang perlu dibuktikan tidak bersalah di mahkamah?

Disebabkan itu nak heret seluruh perjuangan Umno? Apakah kita dalam Umno ini begitu bacul?

Jangan kita ulang kesilapan Bersatu yang pernah bergelumang dengan DAP dan Anwar Ibrahim yang licik dan membuka mata puak Bersatu Muhyiddin sampai akhirnya sebab desakan permainan kotor Anwar telah memaksa Mahathir letak jawatan! Jangan ulangi kesilapan.

Sekurangnya sekarang bukanlah seperti keluar mulut harimau masuk mulut buaya, sebab kita ada menteri-menteri yang utama dan buat kerja begitu baik untuk rakyat.

Asyraf Wajdi jangan jadi bangsat yang menjahanamkan Umno, seharusnya ketua sayap kena berani corak perubahan dan berada pada kebenaran. Sabar demi perubahan.

Berubahlah.

Jalaluddin Al-Rumi adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow