- Iklan -
Rencana

Umno jadi ‘melukut di tepi gantang’ DAP

PKR dan DAP tidak akan sesekali menyerahkan jawatan-jawatan penting kepada Umno kerana parti itu sudah menjadi parti minoriti jika terbentuk jajaran baru.

Saladin Hassan Salih
3 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memeluk Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam sebuah pertemuan di Pulau Pinang pada 2017. Gambar: Facebook
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memeluk Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam sebuah pertemuan di Pulau Pinang pada 2017. Gambar: Facebook

Jajaran politik baru yang melibatkan kerjasama politik, Umno dan Pakatan Harapan (PH) ,  sudah hampir pasti menjadi kenyataan melihat kepada perkembangan politik semasa hari ini. Segelintir ahli-ahli Parlimen Umno sudah mengumumkan menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang akan menyaksikan kerajaan sekarang mungkin kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Ahli-ahli Parlimen Umno yang setia kepada presiden parti Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak dijangka memberi sokongan kepada PH bagi membolehkan sebuah kerajaan baru dibentuk, sesuatu yang telah lama dinanti-nantikan kedua-dua mereka.

Beberapa rentetan peristiwa menuju ke arah pembentukan kerajaan baru ini sudah bermula sejak tahun lalu dengan Zahid dan Najib mengutus  surat menyokong Anwar sebagai perdana menteri kepada Istana Negara dan audio perbualan antara Anwar dan Zahid yang menyokong ketetapan dibuat dalam Perhimpunan Agung Umno yang tular dalam media sosial.

Pembentukan kerajaan baru ini juga akan menyaksikan ketua pembangkang Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri manakala bekas menteri-menteri Kabinet seperti Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kembali memegang jawatan masing-masing.

Kedudukan Zahid dan Najib bagaimanapun tidak dapat dipastikan dalam Kabinet baru ini. Nasib mereka hanya akan ditentukan oleh persetujuan tiga parti komponen PH iaitu PKR, DAP dan Amanah yang menyumbang jumlah kerusi terbesar dalam jajaran politik baru itu.

Kerjasama dalam jajaran politik baru melibatkan parti PKR, DAP dan Umno itu semakin kencang kedengaran akhir-akhir ini malah sudah mula dibincangkan secara terbuka.  Kalau dahulu, para pemimpin ketiga-tiga parti yang mencetuskan idea ini cukup berahsia dan berhati-hati apabila bercakap perkara ini, sekarang tidak lagi.

Terbaru, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar mingguan tidak menolak kemungkinan segelintir ahli-ahli Umno yang menarik diri daripada menyokong PN akan menyertai PH bagi membentuk kerajaan baru dengan majoriti mudah.

Menurut Saifuddin, meskipun setakat ini belum ada usaha ke arah itu, gabungan tersebut tidak mustahil berlaku mengambil kira dasar kedua-dua parti itu dan bukan sentimen kebencian semata-mata. PKR dan Umno menurut beliau pada hakikatnya berkongsi dasar yang sama iaitu memelihara kepentingan Melayu dan Islam. Sekali gus kata Saifuddin, pendirian “No Anwar, No DAP” yang dipegang Umno hanyalah sentimen semata-mata dan bukan dasar parti.

Beliau juga tidak percaya “No Anwar, No DAP” itu satu dasar parti kerana terdapat perbezaan antara dasar dengan sentimen yang mana dasar itu kekal manakala sentimen pula tidak kekal dan boleh hilang.

Lagi pun menurut Saifuddin, PH dan Umno mempunyai banyak persamaan dasar antaranya Umno dan PH mengiktiraf agama Islam  sebagai agama Persekutuan, mengakui peranan Raja-raja Melayu, kedudukan Melayu dan hak bumiputera lain, bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan perkara-perkara ini boleh menjadi titik pertemuan kedua-dua parti.

Saifuddin mengambil contoh bagaimana penggabungan Umno dan Pas yang dilihat mustahil boleh berlaku atas nama Muafakat Nasional.

Walaupun Saifuddin mendakwa kedua-dua parti tersebut mempunyai banyak persamaan dasar, Umno dijangka menjadi menjadi komponen paling kecil dan lemah dalam gabungan dan kerjasama politik ini. Matlamat Umno untuk menjatuhkan kerajaan PN mungkin berjaya tetapi matlamat untuk mengetuai dan menjadi dominan dalam jajaran baru itu sangat mustahil apatah lagi untuk Zahid dilantik sebagai perdana menteri.

PKR dan DAP tidak akan sesekali menyerahkan jawatan-jawatan penting kepada Umno kerana parti itu sudah menjadi parti minoriti. Parti minoriti hanya mengharapkan belas ihsan daripada “abang-abang besar. ”

Lagipun PH mahu kembali ke Putrajaya bagi menyelesaikan banyak agenda tertunggak. Mereka sempat merasa nikmat duduk di atas takhta selama 22 bulan sahaja. Jika para pemimpin Umno daripada kategori kluster mahkamah merasakan mereka akan terselamat daripada dihumban ke dalam penjara dengan menyertai gabungan baru ni, mereka silap besar. DAP terutamanya tidak akan bertolak ansur dengan ahli-ahli Umno daripada kluster ini.

Walaupun sudah bergabung nanti, DAP tidak akan memberi laluan mudah kepada Zahid dan Najib dalam apa juga kedudukan mengambil kira kebencian tidak bertepi DAP kepada Umno selama ini. Umno akan kekal menjadi melukut di tepi gantang dalam gabungan kerajaan jajaran baru ini!

Saladin Hassan Salih adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow