- Iklan -
Kolum

Kerja paling senang di Malaysia ialah mengkritik, berjanji

Kalau tak percaya, tanyalah diri, sudahkan PTPTN dimansuhkan, tol dihapuskan dan harga minyak diturunkan?

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Apabila semakin ramai rakyat yang divaksin, jangkitan Covid-19 akan terus meningkat sehingga setiap rakyat Malaysia akan berpengalaman merasai virus itu.

Ya, itu hakikat yang perlu diterima.

Tiada kerajaan manusia yang boleh menghalang perkara ini daripada berlaku.

Pertama, pembawa Covid-19 ini manusia.

Kedua apabila manusia divaksin, ramai yang akan menjadi pembawa kuman Covid-19 secara senyap.

Bukan salah mereka.

Mereka tidak tahu pun mereka dijangkiti Covid-19 kerana tiada gejala.

Golongan yang divaksin pula diberi kelonggaran seluruh dunia untuk hidup dengan cara biasa, bergerak ke sana, ke sini.

Kita semua berpotensi menjadi pembawa kuman Covid-19 secara senyap.

Anda kaya, miskin, golongan kayangan, alim, berdosa mahupun golongan istimewa, tidak menjadikan anda kebal atau susah dijangkiti Covid-19.

Covid-19 ini tidak mengenal kulit, bangsa, umur mahupun kedudukan.

Itu adilnya virus pembunuh ini.

Ramai lagi yang akan meninggalkan kita kerana Covid-19, meskipun divaksin kerana sememangnya ada antara kita yang memiliki kesihatan lebih lemah berbanding yang lain.

Kerajaan yang terpaksa berdepan dengan Covid-19 buat kali pertamanya akan menerima kemarahan rakyat kerana masing-masing sedang belajar cara yang efektif untuk menghadapi pandemik ini.

Namun begitu, segala kesilapan menjadi pengajaran yang bagus untuk kerajaan untuk berdepan dengan wabak kedua pada masa akan datang.

Ia hampir sama seperti kali pertama kerajaan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan atau GST.

Semua rakyat marah sehingga kerajaan jatuh barulah tersedar GST penting untuk negara, untuk berdepan dengan situasi kritikal seperti Covid-19 bagi mengimbangi kewangan negara.

Tanggapan terhadap GST menjadi sangat buruk kerana ketika itu negara bergelut dengan skandal 1MDB sehingga timbul persepsi bahawa cukai itu diperlukan untuk membayar hutang 1MDB.

Kemarahan rakyat terhadap GST menyebabkan rakyat mendapat kerajaan baru, yang akhirnya dilanyak mereka sendiri ketika baru setahun jagung dan akhirnya gugur sendiri.

Cara kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangani Covid-19 selama ini tidak dinafikan ada menimbulkan kemarahan di sana-sini kerana kesilapan cara penyampaian, hukuman dwi-standard, mengemukakan polisi yang tidak difikir secara mendalam serta tersilap lidah dan kelakuan menteri sendiri.

Sebenarnya apa yang kerajaan sedang lakukan, akan juga dilakukan oleh mana-mana kerajaan yang lain iaitu mempercepatkan proses vaksinasi dan memastikan ekonomi tidak mati ketika wabak Covid-19 memaksa penutupan aktiviti ekonomi.

Letaklah sesiapa sahaja pun, itulah yang akan dibuat.

Tapi, kerja yang paling senang di Malaysia ialah mengkritik dan berjanji.

Kalau tak percaya, tanyalah diri, sudahkan PTPTN dimansuhkan, tol dihapuskan dan harga minyak diturunkan?

Ya, tidak dinafikan kerajaan boleh melakukan dengan lebih baik dan melakukan kesilapan.

Tapi biarlah nasib kerajaan ini ditentukan rakyat daripada beberapa individu yang diragui wataknya.

Siapa yang dipecat sebagai timbalan presiden parti kerana enggan tunduk pada mereka yang terlibat dengan penyelewengan wang?

Siapa sekali lagi yang berdepan cabaran hilang jawatan perdana menteri kerana enggan tunduk pada yang terlibat dengan penyelewengan wang, meskipun negara di waktu getir?

Siapa dulu mengutuk mereka yang terlibat dengan penyelewengan wang tetapi kini sanggup bersekongkol, meskipun negara di waktu getir?

Kerajaan ini tidak sempurna, ya.

Tidak berprinsip, nampaknya tidak.

Semoga rakyat belajar daripada pengalaman terlalu mengikut emosi sendiri pada masa lalu.