- Iklan -
Kolum

Kurang adanya ‘sense of urgency’ dalam menghadapi Covid-19

Maka kesemua aksi-aksi politik ini dianggap memalingkan perhatian negara terhadap perkara utama yang patut diberi tumpuan oleh semua pihak iaitu mengatasi wabak Covid-19.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Keadaan wabak Covid-19 di negara ini semakin buruk dengan angka jangkitan baru harian mencecah lebih 20,000.

Maka dalam suasana begini semua pihak pasti bersetuju bahawa tumpuan hendaklah pada mengatasi wabak ini, dan bukan perkara-perkara lain khususnya tindakan politik.

Sebab itu ada ramai yang tidak bersetuju Parlimen dibuka kerana ia akan berlaku aktiviti politik yang memalingkan perhatian terhadap melawan wabak Covid-19.

Begitu juga apabila berlaku demonstrasi bendera hitam, rmai pihak yang marah kerana tindakan mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan menjejaskan usaha melawan Covid-19.

Kebimbangan akan berlakunya tindakan politik apabila Parlimen dibuka ternyata wajar apabila didapati ia menjadi medan bagi mempersoalkan majoriti kerajaan kerana adanya tanda-tanda angka itu sudah terhakis.

Ini berlaku apabila ada kontroversi mengenai pembatalan Darurat tanpa mengikut peraturan Perlembagaan.

Parlimen kemudiannya ditutup atas sebab kes Covid-19 tetapi perkara ini dipersoalkan oleh pihak pembangkang.

Ini membawa kepada bantahan oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang yang berhimpun di jalan masuk ke Parlimen.

Ada kalangan yang mengecam perhimpunan ahli-ahli parlimen itu kerana melanggar SOP.

Begitu juga, mereka turut mengecam perhimpunan pihak pembangkang yang mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka.

Ini kerana perhimpunan itu melanggar SOP.

Maka kesemua aksi-aksi politik ini dianggap memalingkan perhatian negara terhadap perkara utama yang patut diberi tumpuan oleh semua pihak iaitu mengatasi wabak Covid-19.

Maka dikatakan apa yang dilakukan oleh kerajaan khususnya kementerian kesihatan dan kementerian sains, teknologi dan inovasi sedang berjalan lancar bagi mengatasi wabak Covid-19.

Barisan hadapan kementerian kesihatan sedang bertungkus-lumus membendung wabak itu dengan mengasingkan dan merawat pesakit.

Sementara pihak berkuasa imunisasi sedang mengejar masa untuk menyuntik vaksin supaya virus Covid-19 ini tidak dapat merebak lagi.

Sebarang pelanggaran SOP boleh menjejaskan usaha-usaha melawan Covid-19.

Lebih besar lagi ialah jika kestabilan kerajaan tergugat, maka usaha melawan Covid-19 akan terjejas.

Bayangkan kalau kerajaan bertukar, tentu banyak perubahan akan berlaku dan ia akan menjejaskan usaha ini.

Tentunya ada menteri-menteri baru dlantik dan cara melawan Covid-19 pasti diubah.

Sedangkan dikatakan walaupun negara dalam keadaan teruk sekarang, ia hanya sementara.

Dijangkakan bahawa pada penghujung Ogos apabila angka vaksinasi sudah mencapai tahap tertentu, maka bilangan jangkitan pasti turun.

Apa yang perlu sekarang ialah bertegas dalam menjaga SOP dan mempercepatkan proses vaksinasi.

Memang benar, tumpuan melawan Covid-19 mesti diutamakan.

Ia patut bukan saja dilakukan sekarang tetapi sejak mula virus ini timbul.

Jika ahli-ahli Parlimen sedar perkara ini dari awal pada tahun lalu, maka Langkah Sheraton tidak akan dilakukan.

Tentunya menteri kesihatan dan menteri sains dalam kerajaan Pakatan Harapan dahulu mampu menjalankan kerja jika mereka tidak diganggu oleh perubahan kerajaan.

Sepanjang tahun lepas hingga tahun ini, tumpuan ramai pihak termasuk kerajaan tidak sepenuhnya pada memerangi wabak Covid-19.

Bukan saja Kabinet yang ditubuhkan menimbulkan banyak tanda tanya tetapi juga kerajaan-kerajaan negeri bertukar, hinggalah pada pilihan raya negeri Sabah yang memburukkan keadaan Covid-19 negara.

Tindakan politik oleh kerajaan pasti dibalas oleh pembangkang.

Akhirnya tumpuan melawan Covid-19 sedikit sebanyak terjejas.

Kewibawaan kerajaan dalam melawan Covid-19 terhakis dengan pelanggaran SOP oleh ahli politik.

Prestasi dan pelaksanaan rancangan kerajaan bagi melawan Covid-19 tidak cukup meyakinkan rakyat.

Perintah kawalan pergerakan yang tidak cukup berkesan dan proses imunisasi yang lambat bermula menunjukkan kurang tumpuan.

Kepantasan imunisasi yang berjalan sekarang hanya berlaku apabila banyak kritikan dilemparkan selepas kes rebutan suntikan vaksin AstraZeneca tidak lama dahulu.

Banyak kesilapan berlaku.

Tetapi mungkin ia bukan kesilapan.

Mungkin ia hanya persepsi.

Terdapat tanda-tanda bahawa komunikasi antara pihak berkuasa dengan rakyat kurang berkesan.

Jika rakyat hilang keyakinan terhadap saluran rasmi, maka apa yang mereka dapat adalah persepsi.

Orang ramai sudah banyak tidak membaca akhbar dan menonton televisyen kerajaan.

Mereka bergantung pada media sosial.

Media ini hanya menular apa yang diyakini penggunanya.

Kurang keberkesanan komunikasi ini melemahkan lagi tumpuan orang ramai bagi melawan Covid-19.

Apa yang berlaku sudah berlalu.

Tidak ada apa yang boleh dilakukan.

Peluang untuk berjaya mengalahkan Covid-19 lebih awal seperti yang dapat dilihat di Singapura dan New Zealand sudah terlepas.

Tumpuan yang perlu diberikan adalah keadaan sekarang ini.

Tetapi adakah apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang adalah sesuatu yang betul atau tidak?

Mungkin adalah lebih baik bagi orang ramai untuk menyokong segala langkah kerajaan.

Tentulah kerajaan tahu apa yang dilakukan. Mereka mempunyai maklumat dan data, serta pelbagai jenis pakar.

Sebarang kritikan akan mengganggu pelaksanaan.

Namun apabila melihat cara kerajaan menangani wabak Covid-19, ada perkara yang boleh dipersoalkan.

Rakyat biasa tiada saluran untuk mengetahui apa yang berlaku.

Siapa yang boleh melakukannya adalah wakil rakyat.

Sebab itu mereka dipanggil wakil rakyat.

Sememangnya usaha melawan pandemik ini adalah tanggungjawab kerajaan khususnya menteri yang berkaitan dan perdana menteri.

Ini kerana mereka yang memiliki kuasa.

Merekalah yang membuat keputusan berasaskan pada perakuan jentera kerajaan.

Tetapi mereka perlu menjawab pada Parlimen.

Ahli-ahli Parlimen boleh tanya atau mempersoalkan supaya segala pelaksanaan mereka itu betul.

Inilah demokrasi.

Tentulah dalam hal Covid-19 ini tidak terlepas daripada soal darurat.

Sementara pengisytiharan darurat dan penamatannya pula berkaitan dengan Yang di-Pertuan Agong.

Sistem ini dicipta adalah untuk ada keseimbangan dalam pembahagian kuasa dan tanggungjawab.

Sebabnya negara ini milik bersama.

Ia bukan milik kerajaan semata-mata.

Masalah yang timbul dalam sidang Parlimen baru-baru ini ialah soal pengumuman berakhirnya darurat tanpa menurut peraturan.

Pada mata sebahagian rakyat, terlihat ialah terdapat masalah politik bukan saja antara kerajaan dengan pihak pembangkang.

Tetapi juga antara kerajaan dengan parti pendokongnya iaitu Umno.

Jadi kelihatannya ada kebimbangan pada pihak kerajaan bahawa majoriti mereka akan dicabar.

Sementara pihak pembangkang pula mahu membuktikan bahawa kerajaan ini dari segi moral tidak berhak mentadbir kerana sudah menjadi minoriti.

Perhimpunan ahli-ahli Parlimen di jalan menuju Parlimen dan di Dataran Merdeka adalah suatu pelanggaran SOP.

Ia merupakan reaksi terhadap tindakan menutup Parlimen.

Dr Mahathir Mohamad mengakui pelanggaran SOP itu dan meminta maaf.

Tetapi ada pihak menganggap tindakan ahli-ahli Parlimen bermain politik itu tidak patut kerana tumpuan dan perhatian sepatutnya kepada usaha melawan Covid-19.

Ada pendapat yang ditularkan secara meluas menyebut sebarang perubahan kerajaan akan menjejaskan usaha melawan Covid-19 yang sedang rancak dilakukan dengan baik oleh kementerian-kementeran terbabit.

Tetapi ada satu perkara yang perlu difikirkan ditimbulkan oleh Mahathir.

Cara kerajaan mengendalikan soal Covid-19, dari dulu mahupun sekarang ialah ketiadaan “sense of urgency” atau “rasa kesegeraan.”

Ada benarnya kata beliau.

Tiada “sense of urgency” mengurangkan penumpuan perhatian terhadap Covid-19 ini.

Mungkin inilah gaya kepimpinan Muhyiddin Yassin.

Rakyat terpaksa menunggu sampai September untuk mengetahui sama ada gaya ini akan berjaya atau tidak.

Tetapi sehingga ini, adalah dipercayai iaitu sejak tahun lalu, gaya tanpa “sense of urgency” mendatangkan banyak kemudaratan bagi negara.

Orang boleh menghuraikan sebab-sebabnya yang kemudian dijadikan alasan mengapa keadaan ini berlaku.

Jika ada kepimpinan yang memiliki “sense of urgency” , Malaysia mungkin berada dalam keadaan lebih baik berbanding sekarang.