- Iklan -
Rencana

Apabila semuanya serba tak kena

Semasa pentabiran Najib, tidak berlaku sebarang pandemik seperti sekarang. Jika tidak, banyak 'keputusan pelik' yang akan beliau lakukan.

Ryan Sofea
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak.Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak.Gambar: Bernama

Tindakan bekas perdana menteri Najib Razak yang mempersoalkan alasan penggantungan Parlimen oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan menyebut risiko Covid-19 sebagai alasan setelah 11 kes dikesan di Parlimen ibarat cacing dalam kepanasan. Segala tindakan yang dilakukan oleh kerajaan dilihat serba tak kena di mata Najib Razak.

Bekas perdana menteri itu turut menyatakan bahawa “keputusan pelik” itu adalah antara contoh punca Covid-19 menjadi semakin teruk di bawah pemerintahan PN sehingga menjadi antara yang terburuk di dunia dari segi jangkitan per kapita. Amboi! Sedap mulut sahaja Najib berkata-kata.

Beliau lupa semasa pemerintahannya banyak juga “keputusan pelik” yang telah dilakukannya. Untunglah, semasa pemerintahan beliau, tidak berlaku sebarang pandemik penyakit seperti sekarang ini. Jika tidak, banyak lagilah “keputusan pelik” yang telah beliau lakukan.

Yang peliknya, bekas perdana menteri ini tidak pula mempersoalkan penutupan cawangan sesebuah institusi perbankan selama dua minggu disebabkan ada kes Covid-19 dalam kalangan pekerja ataupun pelanggan.

Begitu juga dengan penutupan sesebuah cawangan rangkaian perniagaan makanan segera selama dua minggu disebabkan faktor yang sama. Yang peliknya lagi ialah apabila beliau mempersoalkan pulak pembukaan sekolah dengan menyatakan kenapa nak buka sekolah di kala kes Covid-19 sedang memuncak.

Kenapa nada yang sama tentang pembukaan parlimen tempohari tidak kedengaran daripada mulut beliau. Emm. Pelik juga. Kenyataan beliau, “Covid boleh membiak seperti lipas dalam dewan kosong ke? Langsung tak masuk akal” seperti membuat kenyataan kepada diri sendiri. “Bekas ketua negara pertama di Malaysia diheret ke mahkamah? Bekas perdana menteri didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa?  Langsung tak masuk akal.”

Selepas ini rakyat pula akan berkata, “Bagaimana seseorang yang telah didapati bersalah atas tujuh pertuduhan oleh mahkamah boleh lepas bebas? Bagaimana seseorang yang telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh mahkamah terlepas begitu sahaja? Langsung tidak masuk akal.”

Bukankah begitu wahai Najib Razak?

Ryan Sofea adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow