- Iklan -
Kolum

Rasuah 500 ringgit membunuh anak penoreh getah

Cerpen Azizi ini berpesan betapa murahnya nyawa rakyat dan murbawan.

Faisal Tehrani
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Banyak tahun dahulu, ada sebuah cerpen yang sangat menghantui fikiran saya selepas membacanya.

Judul cerpen ini ialah “Tebusnya Lima Ratus Ringgit” karya Allahyarham Azizi Haji Abdullah.

Cerpen ini dimuatkan dalam sebuah antologi cerpen dan diberi judul “Hari Kemerdekaan”, disusun oleh bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia; Ramli Isin dan Sahlan Mohd Saman.

Ia diterbitkan pada tahun 1986.

Dalam prakata antologi cerpen ini Ramli dan Sahlan menukilkan, cerpen-cerpen pilihan mereka yang dimuatkan dalam antologi ini dihadirkan kerana “setiap cerpen itu untuk dijadikan teladan hidup dan menentukan arah masa depan setiap individu masyarakat Malaysia”.

Selain itu niat mereka adalah “meninggalkan kesan pembacaan yang cukup berguna untuk generasi muda yang bakal mengganti generasi yang ada”.

Ini kerana “memahami kehidupan lalu juga adalah memahami sejarah bangsa”.

Bukanlah kebetulan pula antologi ini kemudian dijadikan teks subjek kesusasteraan sekolah menengah.

Azizi Abdullah yang menuliskan cerpen “Tebusnya Lima Ratus Ringgit” ini dikenali oleh khalayak sastera menghasilkan novel seperti “Seorang Tua di Kaki Gunung”, “Sangeetha”, “Ayahanda”, dan “Kawin-Kawin”.

Beliau adalah antara murid Shahnon Ahmad di Universiti Sains Malaysia.

Cerpen “Tebusnya Lima Ratus Ringgit” mengisahkan sepasang suami isteri, Murad dan Maneh – orang kampung dan penoreh getah – berdepan dengan dugaan maha hebat apabila anak tunggal mereka Sapie meninggal dunia kerana dilanggar lori yang membawa muatan kayu getah sepulang dari sekolah.

Azizi memperincikan kematian Sapie dengan begitu mengesankan:
“Maneh tau, Murad tau, akibatnya lori cabuk yang bermuat kayu-kayu getah itu. Kalau langgar ayam, ayam akan jadi macam sotong kering. Kalau langgar kambing, segala perut tahi bersepah di situ juga. Kalau rempuh kerbau, selalunya kerbau itu tidak sempat disembelih. Jadi kalau anaknya Sapie, yang kurus macamnya, yang baru berumur lapan tahun, yang masih rapuh tulang belulangnya, tentu jadi pipih macam upih kering. Tentu pecah kepalanya. Tentu bersembur otaknya. Tentu remuk tulang belulangnya. Dan akhir sekali tentu kojol. Dan memang berita yang diberitahu oleh Sudin, Sapie sudah mati.”

Berita kematian Sapie membuatkan Maneh dan Murad hilang kewarasan buat seketika.

Murad dalam keadaan terlalu sakit dan derita emosi mencapai parang yang biasa digunakan untuk berkebun.

Ayah mana yang dapat ditenangkan oleh jiran tetangga.

Orang kampung cuba meyakinkan Murad yang polis mengurusi kejadian malang itu.

Malah Murad diingatkan bahawa dia tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya.

Apatah lagi lori-lori itu milik Ng Poh.

Lori-lori ini dikhabarkan “tak ada lesen”, “tak ada cukai jalan”, dan “modelnya sudah tidak dilulus oleh Pendaftar Kereta Motor”.

Pun, Murad tidak mengendahkan nasihat lantas berkejar ke tempat kejadian.

Niat Murad ialah untuk menetak pemandu lori.

Namun, oleh tidak kuatnya jiwa, Murad pengsan di tempat kejadian.

Kemalangan ngeri itu berlaku tidak jauh dari padang golf kepunyaan estet yang mana “orang-orang besar dan berpangkat selalu datang bermain”.

Berdasarkan saksi dan laporan polis, “anaknya mungkin tidak salah, kerana Sapie berjalan di tepi sewaktu lori itu merempuh. Lori itu terlampau banyak muatan, dan ikatan itu terungkai. Drebar tidak dapat mengontrol. Akhirnya terbabas dan merempuh Sapie.”

Pelukisan kejadian itu amat mencekam jiwa saya yang membacanya. Saya masih berusia 16 tahun pada waktu itu.

Azizi memperihalkan lagi, oleh banyak nasihat orang, Murad percaya “yang bersalah tetap dihukum” dan kelak “pengadilan akan menentukannya.”

Saya juga, di usia 16 tahun, ingin percaya itu akan berlaku.

Tidak sukar untuk kita menelah bahawa kejadian itu – berulang kali berlaku – kerana ada rasuah dan korupsi. Tulis Azizi lagi begini:

“Murad terbayang tentang perusahaan Tauke Ng Poh. Dia tahu cara perusahaan Ng Poh, kerana dia tinggal di situ sudah bertahun-tahun. Enam biji lori kepunyaan Ng Poh semuanya tidak berlesen. Tidak ada cukai jalan. Nombor lori semua serupa. Lori itu kalau ikut undang-undang sudah tidak boleh dipakai lagi. Murad hairan, mengapa cara perusahaan itu tidak membuka mata pihak berkenaan? Sana sini lori kepunyaan Ng Poh. Bergolek, tidak ditahan. Kuli-kuli bekerja tanpa ada wang simpanan pekerja. Semua itu tidak sampai ke pengetahuan pihak berkenaan. Bukan tak ada balai polis di daerah itu. Bukan pihak polis tidak nampak lori kepunyaan Ng Poh bergolek tanpa lesen. Bukan mereka tidak tahu muatan sehari-hari lebih dari hadnya. Tapi semua itu macam tidak nampak.”

Siapa Ng Poh tentu saja tidak diperikan dengan jelas dalam cerpen ini, cuma disebutkan yang Ng Poh “sering bersama orang besar, pegawai tinggi di padang golf. Sebulan sekali, sebulan dua kali mereka datang ke rumah Ng Poh.”

Akan tetapi apa yang membuatkan jiwa saya yang baru berumur 16 tahun tidak kuat ialah apabila cerpen ini mengambil pusingan yang mengejutkan.

Tauke Ng Poh datang mengunjungi Murad di malam hari dan menyogokkan wang berjumlah lima ratus ringgit.

Pada mulanya Murad mahu kekal bersikap.

Tetapi Ng Poh mengingatkan “kita selesai sama sendiri lebih senang. Kau fikir kalau dibawa ke tengah kau akan menang bicara? Jangankan itu, duit nak buat belanja tambang pun aku agak kau tak sanggup ke luar.”

Saat Murad mengejutkan isterinya dari tidur dan menunjukkan wang lima ratus ringgit itu, Maneh amat bersyukur dan mengangankan untuk membesarkan dapur rumah mereka.

Mendadak sedih Maneh surut. Malah kata Maneh, “Belas kasihan tauke. Sapie mati kerana ajal dah sampai. Takdir takkan boleh dielak.”

Murad yang belum boleh menelan begitu sahaja, esoknya ke balai polis dan disambut ketua balai dengan kata-kata, “tak usah panjang-panjang perkara ini. Budak tu dah mati. Tak guna nak sibuk-sibuk. Saya fikir lima ratus ringgit cukup banyak sebagai hadiah kepada anak awak.”

Murad tidak bertanyakan bagaimana polis tersebut mengetahui tauke memberinya lima ratus ringgit.

Hari-hari kemudian, dia dapat tahu pegawai polis tersebut bermain golf dengan Taukeh Ng Poh.

Cerpen “Tebusnya Lima Ratus Ringgit” ini amat mengganggu fikiran saya pada waktu itu.

Ada banyak pertanyaan terapung menggigit benak saya.

Ingat, usia saya 16 tahun.

Perasaan saya kuat mengatakan Murad dan Maneh tak harus beralah.

Dan betapa kejinya perangai Ng Poh, atau pegawai polis tersebut.

Bertahun-tahun setelah membaca cerpen ini, saya sendiri menjadi seorang pengarang.

Kemudian banyak kali bertemu Azizi Abdullah.

Tak banyak karya sastera begini lagi.

Seperti dipesan dalam prakata antologi “Hari Kemerdekaan”, cerpen begini adalah amanat pengarang lalu untuk pembinaan generasi di masa depan.

Kisah-kisah ini selalu kita dengarkan, tambahan ketika musim derita ini.

Sudah jadi lumrah mendengar hal rasuah, hal polis mengambil dan sogok, sudah macam fitrah orang politik menyebelahi cukong atau pendana (baca kapitalis dan pengaut keuntungan).

Akan tetapi yang lebih pahit ialah di hujung semua ketidakadilan ini, orang kampung – marhaen – yang dibela beria-ia oleh kita akan memilih untuk pasrah dan menerima habuan kecil.

Begitu senang mereka dibeli.

Mereka, iaitu orang kampung akan kekal bodoh dan percaya sedangkan nyawa sudah diragut, tragedi menimpa, dan nestapa tidak berakhir.

Oleh kerana jenis manusia seperti Maneh dan Muradlah pemimpin jahat dan kapitalis keparat dapat terus berleluasa di negara kita.

Murad dan Maneh ini ada di Padang Rengas, Kinabatangan, Marang, Pagoh, Pekan, Bagan Datoh, Pasir Salak, Tumpat dan Bera.

Cerpen Azizi ini berpesan betapa murahnya nyawa rakyat dan murbawan.

Betapa babi dan sialnya pemimpin politik, polis korup dan kapitalis lahanat.

Betul, negara ini jahanam kerana mereka.

Tetapi yang lebih sakit ialah apabila negara ini jahanam kerana ada manusia seperti Murad dan Maneh yang sanggup menelan saja kematian anak mereka setelah disuguhkan wang sebanyak 500 ringgit.

Terlalu murah nyawa dan jiwa raga dibeli untuk yang kayangan terus berkuasa.