- Iklan -
Rencana

Apa lagi yang kluster mahkamah mahu?

Lebih banyak kenyataan dikeluarkan Zahid, lebih ramai rakyat Malaysia dapat menilai kebodohannya.

Kamarul Khairy
2 minit bacaan
Kongsi
Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Hari ini kluster mahkamah yang diketuai oleh Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno untuk mengeksploitasi isu terkini antara kerajaan dan Istana Negara.

Seperti biasa, Zahid akan mengikut tindak-tanduk yang dilakukan gurunya iaitu Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menyerang kononnya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Akan tetapi, belum mesyuarat bermula, Muhyiddin mengeluarkan kenyataan kerajaan bersetuju untuk membentangkan usul untuk membatalkan ordinan darurat, membenarkan ahli-ahli Parlimen untuk membahaskannya, selari dengan titah pandangan Yang di-Pertuan Agong.

Hari ini dilaporkan juga Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengirim sejambak bunga kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan yang sedang dirawat di sebuah hospital di Kuala Lumpur kerana masalah jantung.

Kelihatannya seperti ketegangan antara Putrajaya dan Istana Negara reda.

Penulis percaya kedua-dua pihak menunjukkan sikap berjiwa besar dan kematangan supaya perselisihan kecil yang timbul berhubung isu pembatalan ordinan-ordinan darurat minggu lalu tidak diperpanjangkan.

Apatah lagi ketika negara masih lagi berperang dengan musuh yang tidak kelihatan iaitu pandemik Covid-19.

Walaupun tidaklah sempurna, pujian harus diberikan kepada kerajaan kerana berjaya mempergiatkan program vaksinasi negara sehingga turut diakui oleh isteri kepada perdana menteri Singapura Lee Hsien Loong.

“Ini adalah kadar vaksinasi di AS ketika ini, bezanya AS miliki 10 kali populasi penduduk berbanding Malaysia,” kata Ho Ching dalam catatan Facebook beliau yang turut memuji usaha vaksinasi Singapura.

Akan tetapi bukanlah sesuatu yang memeranjatkan sekiranya Zahid hari ini akan terus menyerang kerajaan dan langsung tidak mahu bekerjasama dalam melawan pandemik Covid-19 walaupun berkali-kali Yang di-Pertuan Agong menitahkannya.

“Amukan” mengejut pengguna media sosial di laman-laman pemimpin Pakatan Harapan (PH) semalam selepas mereka berhimpun di Dataran Merdeka membuktikan rakyat Malaysia tidak menyokong secara membuta-tuli.

Walaupun sebelum ini mereka menyerang kerajaan kerana tidak berpuas hati dengan pengendalian krisis Covid-19, tetapi kini mereka menyerang pemimpin PH yang secara terbuka berhimpun semalam seolah-olah mereka kebal daripada virus.

Pemimpin PH menunjukkan mereka sanggup membelakangkan undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) semata-mata kerana laparkan kuasa.

Dan jangan pula kita terkejut sekiranya Zahid dan beberapa pemimpin kluster mahkamah melakukan perkara sama hari ini.

Akan tetapi lebih banyak kenyataan dikeluarkan Zahid, lebih ramai rakyat Malaysia dapat menilai kebodohannya.

Lagipun, Zahid merupakan timbalan kepada Najib Razak ketika Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Jika kita perhatikan, pemimpin Umno yang “meroyan” kebanyakannya terdiri daripada orang-orang yang kalah.

Najib dan Zahid, menyebabkan BN kalah PRU14.

Mohamed Khaled Nordin menyebabkan BN hilang kuasa di Johor, kalah di kerusi Parlimen Pasir Gudang dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas.

Nur Jazlan Mohamed kalah kepada Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub di Pulai.

Shahrir Samad yang sangat berpengalaman tewas kepada “budak hingusan” PKR di Johor Bahru.

Puad Zarkashi pula tidak dicalonkan pun untuk bertanding PRU14.

Ahli-ahli MKT Umno perlu menilai, apakah mereka harus mendengar cakap-cakap daripada orang-orang yang kalah?

Akhir kata, “apa lagi yang kluster mahkamah mahu?”

Kamarul Khairy merupakan pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow