- Iklan -
Kolum

Apa kesudahannya?

Asalkan manusia gembira berbalah, boleh sahaja teruskanlah sehingga mati.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Kita akan mati.

Sama ada kita dikebumikan atau dibakar bergantung pada agama dan kepercayaan masing-masing.

Maruah, ego, sengketa, wang ringgit, rumah, kereta dan jawatan tidak akan dibawa bersama.

Lahir ke bumi bukan kita yang tentukannya.

Bila mati pun bukan kita yang tentukan.

Antara kedua waktu itu, kita menjadi manusia.

Kita tidak perlu melahirkan diri kita sendiri.

Kita juga tidak perlu membunuh diri sendiri.

Bumi hanyalah persinggahan.

Tidak lebih daripada itu.

Di waktu persinggahan yang pendek inilah, manusia suka bersengketa atas segala isu dunia yang tidak boleh dibawa mati.

Dalam keluarga, manusia bersengketa sesama ahli keluarga sendiri.

Dalam negara, manusia bersengketa berebut kuasa dan maruah.

Di peringkat antarabangsa, manusia bersengketa menjadi kuasa terbesar.

Yang belum mendapat kuasa, ingin mendapatkan kuasa.

Yang sudah mendapatkan kuasa, ingin mengekalkan kuasa.

Yang sudah mencapai kedudukan tertinggi, ingin menjadi Tuhan sehingga manusia menyembahnya.

Bacaan dan fahaman terhadap satu-satu buku juga menjadi pertikaian sesama manusia.

Umpamanya Perlembagaan negara.

Ayat yang dibaca sama, tapi fahaman dan tafsiran lain-lain.

Sebab itu adanya peguam dan penasihat undang-undang.

Apabila ada perselisihan dan perbezaan pendapat, ada mahkamah sehingga empat peringkat untuk melihat kehakiman berpihak pada fahaman dan tafsiran yang mana.

Namun, ini tidak bermakna fahaman dan tafsiran yang tidak mempunyai majoriti kehakiman itu salah.

Ia tewas hanya kerana undi, bukan kerana pandangan itu salah.

Demokrasi dan Perlembagaan menyediakan satu ruang untuk saling tidak bersetuju sehingga satu persetujuan dicapai.

Namun demokrasi juga adalah satu ruang untuk manusia untuk terus berbalah.

Pada waktu Covid-19 menyerang negara dari segala sudut dan arah, semua masih nak berbalah.

Ia tidak salah kerana ruang demokrasi membenarkannya.

Memaksa manusia suka berbalah untuk berkumpul di dalam satu dewan hanya menghasilkan jeritan dan sindiran terhadap benda teknikal fahaman dan tafsiran masing-masing.

Yang pergi protes waktu Covid-19 menggila ini, memang tak sia-sia hidup sebagai manusia dengan mendedahkan diri menjadi pembawa wabak.

Kalah mati.

Menang pun mati juga.

Tak apalah, hidup ini kan pendek.

Asalkan manusia gembira berbalah, boleh sahaja teruskanlah sehingga mati.

Mereka ini golongan yang bahagia.

Golongan yang lapar dan sakit tidak akan menghabiskan masa untuk berbalah sebab mereka perlu mencari kehidupan sebelum mati datang mengunjung.