- Iklan -
Rencana

Ordinan darurat: Apakah penting dibahas dan diungkai di Dewan Rakyat?

Perlembagaan memberi pilihan mudah untuk mengungkai ordinan darurat tanpa perbahasan dan pengundian di Dewan Rakyat.

Nik Mawardi Mohamed
4 minit bacaan
Kongsi
Tugu Tunku Abdul Rahman di Bangunan Parlimen. Gambar: AP
Tugu Tunku Abdul Rahman di Bangunan Parlimen. Gambar: AP

Sekurang-kurangnya dua tokoh dilapor mencadangkan supaya Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang bermula 26 Julai dan dijadualkan berakhir 2 Ogos ini dilanjutkan.

Tokoh pertama, pakar Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, dilapor mencadangkan supaya kerajaan meminda aturan mesyuarat Parlimen dan memasukkan agenda untuk membentangkan Proklamasi dan ordinan darurat, membahaskannya dan membuat keputusan secara undian untuk diluluskan pembatalan atau tidak.

Kata Nik Ahmad Kamal, kalau masa tidak cukup, maka terbuka kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menambah sehari atau dua hari lagi. Tambah beliau, itu boleh dilakukan kerana sidang Parlimen boleh ditambah dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong

Tokoh kedua, Ahli Parlimen Gua Musang yang juga Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, turut dilapor menggesa agar mesyuarat khas Dewan Rakyat dilanjutkan untuk memberi peluang kepada semua ahli Parlimen membahas dan mengungkai Ordinan Darurat di Dewan Rakyat.

Kata Tengku Razaleigh, pelanjutan mesyuarat khas Dewan Rakyat ini adalah selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong menerusi kenyataan rasmi baginda sebelum ini yang bertegas mahu ordinan darurat dibentang dan dibahas di Parlimen. Ujar beliau, elok perkara ini dilakukan semula dan sidang sekarang melanjutkan peluang kepada ahli-ahli menyuarakan pendapat rakyat tentang baik buruk ordinan yang ada dipakai sekarang.

Cadangan ini adalah menarik, malangnya ia hampir mustahil untuk dilaksanakan kerana beberapa perkara.

Pertamanya, selaras dengan namanya, mesyuarat khas Dewan Rakyat ini bukanlah Sidang Dewan Rakyat biasa, tetapi adalah mesyuarat sewaktu Parlimen dalam tangguhan.

Semua urusan bagi mesyuarat khas Dewan Rakyat ini telah ditetapkan lebih awal selaras dengan Peraturan 11. (3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat berbunyi:

“Pada masa Majlis dalam tangguhan jika perdana menteri memaklumkan kepada Tuan Yang di-Pertua iaitu bagi faedah orang ramai mustahak Majlis mengadakan mesyuarat dahulu daripada tarikh yang telah ditetapkan, maka Tuan Yang di-Pertua hendaklah dengan serta-merta mengeluarkan pemberitahu menyatakan berapa hari bulan hendak diadakan mesyuarat itu dan Majlis hendaklah mengadakan mesyuarat pada masa yang disebutkan dalam pemberitahuan itu. Urusan-urusan bagi hari itu hendaklah ditetapkan oleh Perdana Menteri dan pemberitahuan berkenaan dengan urusan itu hendaklah dihantar kepada ahli-ahli tidak lewat daripada masa hendak diadakan mesyuarat itu.”

Urusan-urusan bagi mesyuarat has Dewan Rakyat ini adalah:

(1) Mendengar penerangan berkenaan Pelan Pemulihan Negara oleh Perdana Menteri pada 26 Julai.
(2) Mendengar penerangan berkenaan Tindakan Menangani Pandemik COVID-19 oleh Menteri Kesihatan pada 27 Julai.
(3) Mendengar penerangan berkenaan Program Vaksinasi oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada 28 Julai.
(4) Mendengar penerangan berkenaan Pakej-Pakej Bantuan Ekonomi oleh Menteri Kewangan pada 29 Julai.
(5) Mendengar penerangan berkenaan Pelaksanaan Darurat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) pada 2 Ogos.

Oleh sebab itu, berdasarkan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat ini, tiada penambahan urusan, pemasukan agenda atau perlanjutan tempoh boleh dilakukan ke atas mana-mana Mesyuarat Khas Dewan Rakyat.

Sebaliknya, apa yang boleh dilakukan adalah untuk ketua majlis, iaitu perdana menteri, menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya memanggil satu lagi mesyuarat khas Dewan Rakyat baru pada satu tarikh baru mengikut prosedur ditetapkan khusus untuk membincangkan urusan yang dicadangkan oleh kedua-dua tokoh ini.

Soalnya sekarang ialah sebegitu pentingkah urusan untuk membahas dan mengungkai ordinan darurat di Dewan Rakyat ini tatkala sudah diketahui umum apa pendirian hampir kesemua ahli Parlimen, baik dari pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang, ke atasnya?

Mengapakah seolah-olah mahu dipaksakan supaya dibuat perbahasan dan pengundian ke atas pengungkaian ordinan darurat ini tatkala Perlembagaan memberi pilihan mudah, iaitu pembatalan biasa yang tidak memerlukan dibuat perbahasan dan pengundian ke atasnya?

Bukankah tidak ada apa-apa peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa keputusan untuk membatalkan ordinan darurat hanya boleh dibuat melalui satu ketetapan oleh Parlimen?

Atau perlukah dibiarkan sahaja ordinan darurat ini luput sendiri selepas tempoh enam bulan Proklamasi Darurat berakhir pada 1 Ogos ini sepertimana Ordinan Darurat yang dibuat di bawah Proklamasi Darurat 1966, Proklamasi Darurat 1969 dan Proklamasi Darurat 1977 dibiarkan luput sendiri selepas tempoh enam bulan semua Proklamasi Darurat ini diungkaikan oleh Najib Razak selaku perdana menteri pada 24 November 2011?

Apakah yang lebih penting antara isu berbentuk prosedural seperti penamatan atau perungkaian ordinan darurat dengan isu menyelamatkan nyawa manusia?

Perlu diingat bahawa pada hari keempat mesyuarat khas Dewan Rakyat ini berlangsung, iaitu 29 Julai 2021 jam 12.30 tengah hari, kementerian kesihatan (KKM) telah dimaklumkan mengenai dua kes positif Covid-19 yang telah hadir ke Parlimen.

Penilaian risiko berdasarkan maklumat siasatan awal serta sejarah pergerakan kes, didapati kedua-dua kes tersebut dikhuatiri telah berada di beberapa lokasi di sekitar Parlimen semasa tempoh Mesyuarat Khas Dewan Rakyat ini.

Ekoran daripada itu, seramai 1,183 individu telah menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva test kit pada hari itu di mana pada akhirnya sebanyak sebelas kes positif, termasuk dua kes awal, telah dikesan.

Siapakah yang akan disalahkan jika nantinya wujud penularan meluas kes positif yang bakal dikenali sebagai kluster Parlimen ekoran penerusan mesyuarat khas Dewan Rakyat ini?

Demi keselamatan semua, eloklah hasrat untuk meneruskan mesyuarat khas Dewan Rakyat ini, sama ada melalui lanjutan tempoh atau pemanggilan sidang baru, tidak diteruskan.

Nik Mawardi Mohamed adalah mantan pensyarah Pusat Pengajian Jarak Jauh (PACE) Universiti Utara Malaysia (UUM).

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow