Monday, September 20, 2021

Masih bersidang ketika kes terus naik, ahli Parlimen kebal Covid-19?

Kenapa Parlimen tidak ditutup sedangkan jika lokasi lain seperti kilang, pejabat atau kawasan perumahan didapati ada satu dua kes sahaja, tempat tersebut akan diisytiharkan sebagai zon merah!

Other News

Apa yang dibimbangi ramai seluruh rakyat Malaysia akhirnya menjadi kenyataan! Sebanyak 67 kes positif Covid-19 dikesan setakat 29 Julai  di Bangunan Parlimen tempat Mesyuarat Khas Dewan Rakyat sedang bersidang sekarang . Kes-kes tersebut dikesan hasil ujian saringan hasil yang dijalankan antara 21 hingga 29 Julai lalu sempena mesyuarat khas tersebut.

Semalam sahaja 11 kes baru dikesan berbanding lapan kes kelmarin. Daripada lapan kes tersebut, dua kes melibatkan ahli Parlimen dan enam pegawai pengiring manakala 48 kes lagi melibatkan pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan

Walaupun telah wujud kluster Parlimen, mesyuarat tersebut tetap diteruskan seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Malah Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hisham Abdullah memberitahu kementerian kesihatan mencadangkan agar jumlah kehadiran secara fizikal dikurangkan dan tempoh persidangan dipendekkan. Semua individu dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan-peraturan sedia ada. Mesyuarat tersebut berbaki satu hari sahaja lagi dan akan tamat pada 2 Ogos ini.

Persoalannya kenapa Parlimen tidak ditutup sepenuhnya? Sedangkan kalau kejadian ini berlaku di tempat-tempat lain seperti kilang, pejabat atau kawasan perumahan waima hanya dengan satu dua kes sahaja, tempat tersebut akan diisytiharkan sebagai zon merah dan diarahkan ditutup!

Kebimbangan tentang penularan jangkitan pandemik ini di Parlimen telah lama disuarakan oleh rakyat sejak parti-parti pembangkang terutama Pakatan Harapan (PH) dan sebahagian pemimpin Umno mendesak supaya Parlimen dibuka untuk bersidang.

Walaupun ketika itu kes jangkitan dan kematian akibat pandemik itu sedang menggila dengan kemunculan varian baru, parti-parti pembangkang tetap tidak mempedulikannya sehingga  kerajaan terpaksa melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak itu.

Sikap ahli-ahli Parlimen terutama pembangkang yang langsung tidak kisah dengan penularan jangkitan Covid-19 di Parlimen sangat menghairankan kerana sebelum ini mereka mendakwa sangat prihatin dan cakna dengan peningkatan kes-kes pandemik di seluruh negara.

Mereka bukan main lantang mengkritik dan mengecam kerajaan ketika kes-kes jangkitan naik mendadak di sektor pekilangan dan pembuatan. Mereka tergamak menuduh kerajaan macam-macam sehingga ke peringkat menuduh kerajaan pembunuh.

Bagaimanapun apabila berlaku di depan mata, tidak ada seorang pun bersuara. Mereka hanya membisu, memejamkan mata, pura-pura tidak nampak dan tidak berbuat apa-apa. Jauh sekali mencadangkan agar mesyuarat Parlimen ditangguhkan bagi menjaga keselamatan nyawa seluruh ahli Parlimen dan petugas di bangunan tersebut.

Ahli-ahli Parlimen ini hanya mementingkan gejolak nafsu mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada sahaja walaupun mereka tahu perkara itu tidak akan berlaku dalam sesi Dewan Rakyat kali ini.  Tidak ada usul dibawa dan tidak ada pengundian dijalankan. Mesyuarat khas ini diadakan untuk memberi penerangan kepada ahli-ahli Parlimen berhubung Pelan Pemulihan Negara yang sedang dilaksanakan sekarang.

Kalau benar mereka mahu membincangkan soal hidup dan nasib rakyat, mereka tidak akan membuang masa terjerit-jerit mengganggu perjalanan sidang sehingga banyak masa dihabiskan hanya untuk sesi menjerit, memekik dan bertikam lidah sahaja.

Berikutan peningkatan mendadak kes-kes jangkitan Covid-19 ini, bangunan Parlimen bukan lagi sebuah kawasan yang selamat. Semua orang yang berada di dalamnya berisiko dijangkiti pada bila-bila masa sahaja. Premis ini perlu ditutup sepenuhnya, perlu dinyahkuman dan menjadi kawasan larangan buat sementara waktu.

Tetapi jika kementerian kesihatan mengambil tindakan menutup bangunan itu yang sudah tentunya akan menyebabkan mesyuarat khas terpaksa ditangguhkan, bayangkanlah apa yang berlaku.

Kerajaan sudah tentu akan dituduh sebagai sengaja mencari alasan untuk mengelak bersidang, takut dan pelbagai tuduhan lagi. Isu keselamatan diri dan nyawa ahli-ahli Parlimen dan para petugas di situ sudah tidak penting lagi.

Setakat ini masih belum ada kes dari kluster Parlimen yang membawa kepada kematian. Kalaupun ada, adakah ahli-ahli Parlimen yang degil ini peduli? Mereka tidak peduli itu semua kerana merasakan  mereka adalah kumpulan yang kebal Covid-19!

Saladin Hasan Saleh adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles