Tuesday, September 21, 2021

Memahami Islam Mamak

Other News

Terdapat satu tanggapan bahawa Islam mula-mula tiba ke benua India menerusi jalan utara.

Justeru tradisinya Islam India adalah Parsi-Urdu-Hindi.

Maka naratif baru yang dibangunkan oleh kumpulan kanan Hindu di India ialah Islam tiba dari luar menakluk mereka.

Inilah satu hipotesis yang demikian bersungguh-sungguh disanggah oleh pembikin filem dokumentari Kombai S Anwar dalam dokumentarinya bertajuk Yaadhum.

Dokumentari selama 56 minit ini berusaha menelusuri jatidiri Muslim di Selatan India bagi satu tujuan; membuktikan Muslim di India sudah berada di benua itu jauh lebih lama dari yang disangkakan.

Bahawa Muslim di India hadir sebagai pedagang dan saling membina negara.

Bahkan mereka sama sekali bukan seperti tersangka; kononnya penakluk.

Kerja Anwar tidaklah mudah kerana sarjana orientalis meletak tapak dan dasar dalam sejarah bahawa Islam di India itu menjajah, dan banyak masjid terdiri di atas rangka kuil Hindu yang dirobohkan.

Anwar dengan dokumentarinya ini memberi satu penyataan; betapa ini bahkan salah, kerana Islam di Selatan India tidak pun seperti itu.

Maka Anwar memulai dengan satu pertanyaan, jadi aku Muslim di India, namun siapakah aku?

Anwar yakin dengan satu pepatah pendek dalam Tamil arkaik, “Yaadhum Oore Yaavarum Kelir” bermaksud “dunia ini aku punya, kita semua saudara”.

Untuk menjayakan kerja penyiasatan ini, Anwar menjelajah seluruh India Selatan dan menghidangkan kepada kita kefahaman tentang Islam Mamak.

Kita disuguhkan dengan pencarian menerusi sastera, tradisi sufi, acara Hindu yang sudah bercampur baur dengan Islam, teater jalanan, tarian, muzik, arkiteksur, makanan, pestaan dan pelbagai keraian.

Bermula dengan lada dan buah pelaga, raja serta permaisuri rempah; Anwar menghujahkan Islam datang menerusi Hadhramaut ke Selatan India kerana keterpesonaan terhadap emas hitam ini.

Maka dokumentari ini merujuk prasasti kerajaan purba Cola, menjejaki Nagore Sufi, menekuni bukti arkeologi yang menghantar kita kepada satu kenyataan bahawa Islam di India melepasi transformasi sosial di mana aneka ragam dan pengalaman (interfaces) antara saudagar ini membentuk idea, teknologi, gagasan baru dan kefahaman terhadap budaya.

Menerusi sastera klasik dan tulisan lama yang rencam (semacam jawi di mana bahasa Tamil diungkap dengan huruf Arab), audien diheret ke pelbagai majlis agama dan seni.

Juga dibawa menjelajah ke segenap India Selatan.

Maka kita memahami beza Malabar dan Tamil, Pulikat dan Kalikat, atau Mapilla dan Telegu.

Ke kota Kayal sehingga Melaka zaman dahulu.

Kerencaman Islam yang bergaulan dengan Hindu, demikian tebal dan tepu dalam masyarakat sehingga malah ada lelaki Hindu kadang memilih untuk berkhatan.

Apa yang cuba dipersembahkan oleh Anwar adalah Islam yang datangnya dari tanah Arab menerima bentuk berbeza iaitu melalui proses akulturasi, adaptasi dan akomodasi.

Islam Mamak bukan Islam Arab.

Masalah Arabisasi menjolok sesetengah Hindu ekstrem yang menyebabkan berlakunya pertembungan.

Padahal Islam Mamak tidak serencam atau sejahat Wahabi Najdan.

Islam Mamak hidup damai dengan Hindu.

Sepertinya ada penjaja halwa Maskat yang diundang masuk ke rumah seorang Tamil, dijamu makan, membentang tikar terlelap beberapa jam dan bingkas menjaja lagi.

Tesis Anwar menerusi dokumentarinya ini bukan sahaja merupakan satu kombat budaya kepada naratif binaan Modi dan kumpulan kanan Hindu, tetapi juga yang lebih penting, membawa kita memahami kepada kaum Mamak, yang mencipta sejarah dan budaya tersendiri di alam Melayu.

Kerja Anwar dengan dokumentarinya ini menjadi lebih penting kerana Tamil Nadu pernah resah oleh peristiwa pengeboman Coimbatore pada tahun 1998.

Argumen paling sukar untuk dijawab – soalan itu dilemparkan oleh Anwar sendiri – ialah bagaimana masjid-masjid di India disalah ertikan sebagai asalnya kuil?

Benarkah masjid dibina di atas runtuhan kuil?

Anwar menemukan untuk kita Masjid Kilakarai Jumma atau Kilakkarai jumma palli salah sebuah masjid Dravidian yang dibina Seethakathi Maraikayar di Kilakarai lewat kurun ke-17.

Di sinilah Anwar berhujah menutup kelompongan bahawa kononnya banyak kuil dirobohkan untuk dibina sebagai masjid.

Menurut Anwar, formula akulturasi, adaptasi dan akomodasi itulah yang mengelirukan sesetengah Hindu hari ini.

Atau dimanipulasi segelintir Hindu untuk agenda sendiri.

Anwar menghujah apabila Islam tiba ke satu-satu wilayah baru, ia berbaur dengan budaya sedia ada.

Penganut Islam asal di India ingin menyimpan budaya sebelum Islam mereka, maka elemen rekabentuk Dravidian dikekalkan tatkala masjid didirikan.

Akibatnya, masjid akan ternampak-nampak ibarat kuil akan tetapi tidak.

Justeru jikalau masjid-masjid di China kelihatan sepertinya pagoda, maka tidaklah mustahil masjid seperti Miskal Palli (yang diasaskan ketika kurun ke-14 di Kozhikode masih mengekalkan tradisi binaan purba Kerala.

Pertanyaan begini, dan jawapan yang dicungkil Anwar untuk persembahan kita ini sangat penting dan demikian bermakna.

Maka tidaklah hairan dokumentari Yaadhum ini meraih pingat gangsa di Pesta Filem dan Video ke 48 Houston International Film and Video.

Yaadhum selama 56 minit ini akan ditayangkan secara atas talian (platform Zoom) diikuti dengan perbincangan ilmiah pada 27 Julai 2021 bermula pukul 8.30 malam.

Alamat pautan zoom tersebut ialah https://peacemeal.my.

Menonton Yaadhum membolehkan kita mengerti mengapa misalnya Hindu dan Islam berbaur dalam dapur restoran mamak kita di kota, yang mana capati diuli seorang Muslim manakala kari dijerang seorang Hindu.

Usaha Anwar adalah untuk memadam prasangka.

Manfaat kita di Malaysia adalah untuk merayakan keberagaman Islam sedia ada.

Persamaan Islam Mamak dan Islam Nusantara itu amat menjolok sekali, kita juga diserap dan berbahagi rasa dan lingkungan dengan agama terdahulu kita sebelum Islam, iaitu Hindu.

Selamat Menonton.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles