Saturday, November 27, 2021

Antara Najib, Zahid dan Syed Saddiq, siapa lebih ‘berharga’ bagi Muhyiddin?

Sekiranya benar Syed Saddiq diugut untuk menyertai kerajaan PN, mengapa perkara ini tidak dilaporkan kepada polis?

Other News

Bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menyalahgunakan dana bekas partinya, Bersatu bernilai RM1 juta.

Ahli Parlimen Muar itu bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.

Bagaimanapun, menjelang pendakwaannya hari ini, semalam Syed Saddiq berkata pertuduhan dikenakan terhadapnya kerana beliau tidak mahu menyertai Perikatan Nasional (PN).

“Saya lebih rela masuk mahkamah dari masuk Perikatan Nasional,” tulis Syed Saddiq di laman Facebook miliknya.

Katanya, sudah lebih setahun beliau diugut untuk didakwa sekiranya tidak menyertai kerajaan PN.

“Tiap kali ada undian di Parlimen, ugutan akan datang.”

Menurut ahli Parlimen Muar itu, ugutan kepadanya dilakukan bermula Julai dan Disember 2020 dan Januari 2021 sehinggalah seminggu sebelum Parlimen bersidang.

Timbul tanda tanya berhubung dakwaan berat yang ditimbulkan Syed Saddiq ini.

Pertama, sekiranya benar beliau diugut untuk menyertai kerajaan PN, mengapa tidak diadukan perkara ini kepada pihak berkuasa terutamanya polis?

Menurut pemerhatian penulis, dari segi watak Syed Saddiq yang begitu gilakan publisiti di media sosial, sudah pasti beliau akan menggunakan isu ini dan diperbesar-besarkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Kedua, berapakah kerusi Parlimen yang dipunyai Syed Saddiq dan partinya, Muda?

Satu sahaja!

Ketiga, jika benar, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin begitu terdesak ingin terus berkuasa, adalah lebih baik beliau campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Sekiranya dilakukan perkara ini, tidak perlulah Muhyiddin pening kepala memikirkan apakah beliau mempunyai majoriti di Parlimen kerana akan disokong sebulat suara oleh Najib, Zahid dan Umno.

Akan tetapi itu tidak dilakukannya.

Muhyiddin konsisten dengan pendiriannya untuk tidak campur tangan dengan urusan mahkamah.

Sekiranya Najib dan Zahid benar-benar tidak bersalah, lawanlah di mahkamah sehingga menang.

Begitu juga dengan Syed Saddiq.

Sekiranya tidak bersalah, buktikan di mahkamah dan bukannya membuat kenyataan politik berhubung pendakwaan pecah amanah terhadapnya, seolah-olah beliau takut akan perbicaraan kes ini.

Penulis teringat akan satu peribahasa Melayu, “berani kerana benar, takut kerana salah.”

Kamarul Khairy merupakan pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles