Thursday, August 5, 2021

Aidiladha pada tahun 1637

Menurut Mundy lagi, perayaan Aidiladha ketika awal pemerintahan Sultan Iskandar Thani itu begitu 'menjadi-jadi' dan terlalu berlebihan.

Other News

Pada tahun 1637, seorang pengembara Inggeris bernama Peter Mundy belayar ke Sumatera dan singgah di Acheh antara 22 April sehingga 2 Mei 1637.

Mundy turut berada di situ pada tarikh 26 April 1637 iaitu tatkala Aidiladha disambut, dan Mundy merakamkan apa yang beliau lihat dengan mata kepalanya sendiri.

Catatan beliau itu terbit sebagai The Travels of Peter Mundy in Europe and Asia, 1608-1667.

Saya membaca edisi terbitan tahun 1919 Jilid 3 terbitan Hakluyt Society dan suntingan Richard C Temple.

Catatan kembara Mundy ini sangat penting.

Ini kerana ia memberi kita sedikit pengetahuan mengenai bulan-bulan awal pemerintahan Sultan Iskandar Thani selepas kemangkatan Sultan Iskandar Muda.

Ia menjadi lebih penting untuk diteliti, memandangkan Sultan Iskandar Thani adalah seorang putera dari negeri Pahang yang dinikahkan dengan anak perempuan Sultan Iskandar Muda.

Menurut Mundy lagi, perayaan Aidiladha ketika awal pemerintahan Sultan Iskandar Thani itu begitu “menjadi-jadi” dan terlalu berlebihan.

Mundy merujuk perayaan Aidiladha itu sebagai Bakar’Id dalam jurnalnya (ejaan beliau gunakan Buckeree Eede).

Sesungguhnya begitu sulit membaca catatan kembara Mundy memandangkan bahasa Inggeris arkaik yang beliau gunakan.

Namun demikian, pengetahuan yang diberikan kepada kita tentang sambutan Hari Raya Haji itu amat bernilai sekali.

Mundy melaporkan sambutan Hari Raya Haji tepu feudal itu terpusat di masjid agung atau beliau sebutkan sebagai “greatt Messitt”.

Perayaan itu dihadiri oleh raja dengan iringan hiruk pikuk gajah yang teramat banyak.

Baginda dikatakan duduk di atas tandu di atas gajah dan ketibaannya dilengkapi dengan muzik istana sebagai penanda permulaan upacara.

Kehadiran baginda segera disambut rakyat jelata yang mengangkat sembah beramai-ramai mempamerkan jiwa hamba, “as the king passed, the people made their obeysaunce by lifting their Joyned hands over their heads.”

Terdapat beberapa tingkat khemah didirikan untuk raja bersemayam.

Baginda berpindah dari pundak gajah ke sebuah bangunan yang dinamai chabutra, dan mendaki tingkat lain yang dihiasi dengan emas dan tembaga.

Baginda juga mengenakan mahkota emas dengan taburan permata.

Dari tingkat yang banyak itu, baginda kemudian bergerak ke masjid.

Tentulah agak mencengangkan untuk rombongan Inggeris melihat raja ke masjid membawa mahkota yang berat.

Setelah itu baginda dinukilkan, sebagai menyaksikan upacara penyembelihan kerbau sebanyak 500 ekor. Mundy menuliskan adegan bersejarah itu seperti ini:

“And soe hee proceeded to the Messitt, where hee alighted and entred, when presently (immediately) were sent in (by report) 500 yong buffaloes to bee sacrificed, whereof the king killed the first and officers appointed killed the rest, which was afterwards carried outt and Distributed among the people; this latter passage by relation. This, in conclusion, was the Manner of the King of Acheins riding in state to his Mosche or Messit to celebrate his buckree Eede or feast of goates. For they hold (as I was told) thatt a goate appeared outt of the bush and not a Ramme. These being Mahometaines Doe in commemoration of Abrahams his offring his sonnne keepe certaine festivall Daies every yeare. In the Description afforegoing somethings may bee lefft outt and others Misplaced. However, somwhatt More or lesse, it is as I saw it.”

Upacara korban itu berlangsung seharian dan dimulai oleh raja sendiri melakukan penyembelihan sulung.

Daging kerbau itu kemudian diberikan kepada mereka yang hadir.

Namun demikian, Hari Raya Korban itu tidak berakhir hanya di situ.

Oleh sebab terdapat banyak lagi ternakan akan disembelih pada hari kedua dan ketiga, maka untuk memeriahkan suasana, raja menganjurkan pula aksi perlawanan gajah.

Kira-kira 150 ekor gajah disediakan untuk saling beradu melanggar satu sama lain dengan gading tajam.

Acara ini menyaksikan bukan sahaja kerbau terkorban, bahkan banyak gajah “ikut terkorban”.

Demikianlah kesan Aidiladha tanpa amanat Nabi.

Oleh kerana kebetulan Aidiladha itu juga jatuh pada musim gajah mengawan, maka ternyata bukan hanya kerbau dan lembu ditumbangkan.

Mundy menyaksikan bagaimana gajah jantan diatur untuk mengamuk berebutkan yang betina.

Untuk pestaan lebih liar, penjaga gajah menyapu minyak ke “zakar gajah-gajah jantan” itu agar lebih gasang dan lasak.

Gajah betina pula dilepaskan sebagai umpanan.

Agak sering pula aksi kejar mengejar ini menyebabkan saksi atau rakyat yang memerhati di padang ikut terbunuh dipijak haiwan mamalia tersebut.

Mundy mencatatkan pergaduhan antara gajah itu sangat dahsyat dan mengerikan di mana mereka saling menaji antara satu sama lain dengan taring dan gading sehingga ada yang luka calar balar dan koyak tersiat.

Kira-kira 200 ekor penjaga gajah diperlukan untuk mengawal permainan yang sungguh hodoh itu.

Di akhir perlawanan banyak bangkai gajah bertimbunan dan gading-gading dihimpunkan.

Menurut Mundy, raja menyimpan gading berharga ini di dalam gudang dan antara harta kekayaan baginda putera Sultan Pahang yang bertakhta di Acheh itu ialah memiliki lebih 1000 gading gajah.

Mundy mencatatkan terdapat 15 langkah pertarungan antara gajah ini bermula dengan ketibaan baginda Sultan Iskandar Thani ke Chowtree, dengan iringan kaum wanita dan gundik.

Sehinggalah umpanan gajah betina dan pertarungan gajah-gajah jantan.

Sorak-sorai upacara itu amat menenggelamkan acara korban kerbau yang turut berlangsung di sebelah lain masjid.

Terdapat juga pesta laga yang kecil-kecilan melibatkan kerbau, dan kijang.

Salah seekor kerbau jantan yang tegap turut dihadiahkan kepada nakhoda kapal Inggeris tumpangan Mundy iaitu Kapten John Weddell.

Oleh kerana sukar membawakan haiwan ini, ia akhirnya dibunuh.

Laporan yang dikemukakan oleh Mundy di atas sejujurnya sangat mengejutkan.

Ia mengelirukan kita kerana Islam telah bertapak beberapa ratus tahun dan kononnya undang-undang syariat tertegak.

Ini menunjukkan meskipun Islam sudah bertapak di alam Melayu tatkala itu, perangai kuasa feudal dan akhlak bangsawan Melayu sangatlah buruk.

Bayangkan di sela ibadah korban, terdapat pestaan pembunuhan haiwan seperti gajah yang menghilangkan sama sekali makna “pengorbanan Ismail” di tangan Nabi Ibrahim.

Jika kita mencari apakah puncanya perangai menjijikkan ini terjadi kita tidak dapat tidak menyalahkan menteri agama Acheh pada ketika itu yang bernama Nuruddin al-Raniri, seorang mufti ekstremis yang membakar karya-karya Hamzah Fansuri dan Shamsuddin Pasai, selain memburu pengikut Wujudiyyah dan membunuh mereka.

Beliau adalah menteri agama yang gagal.

Makanya tidaklah menghairankan perangai pemerintah Acheh yang asal dari Pahang itu amat jelek dan melongokan.

Ini kerana ulama sedia ada tidak berfungsi melakukan apa-apa untuk menasihat, malah membiarkan aksi yang sangat jahil dan bertentangan dengan semangat Aidiladha itu berlaku untuk sekian lama.

Barangkali inilah sebabnya juga ibadah korban di bawah naungan Islam ala feudal atau Islam pestaan begini tidak membawakan keberkatan dan pengorbanan seperti dalam ibadah korban yang tulen.

Sebaliknya roh korban terpadam dan hanya menjadi aksi sia-sia dan satu pembunuhan beramai-ramai.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles