Thursday, October 21, 2021

Kesan Afghanistan pada dunia melangkau satu generasi

Belum pun menguasai Afghanistan, Taliban mengumumkan kesediaannya untuk bekerjasama dengan China.

Other News

Ketika dunia termasuk Malaysia sedang bertungkus-lumus menghadapi virus Covid-19, Afghanistan pula berada di ambang pusingan perang saudara antara tentera kerajaan dengan Taliban.

Afghanistan sentiasa dalam perhatian orang Islam di Malaysia sejak tahun 1978 apabila negara itu mula dikuasai komunis.

Gerakan Islam generasi 1980-an lahir bersama perjuangan pembebasan Afghanistan daripada penguasaan Soviet Union.

Adalah dipercayai bahawa kes Covid-19 juga ada di Afghanistan.

Tetapi perhatian kerajaan dan rakyatnya tentulah terhadap persediaan mereka untuk menghadapi kemasukan semula Taliban ke Kabul.

Bagi mereka yang mampu atau ada jalan, dipercayai akan meninggalkan Afghanistan.

Belum pun menguasai Afghanistan, Taliban mengumumkan kesediaannya untuk bekerjasama dengan China.

Nampaknya China akan menggantikan Amerika Syarikat (AS) untuk berperanan sebagai kuasa luar utama di negara itu.

Afghanistan merupakan negara strategik bagi China kerana kedudukan geografinya di tengah-tengah laluan sutera bersejarah dan juga dalam kerangka gagasan Satu Jalur, Satu Jalan yang merupakan projek geoekonomi penting bagi China ke arah menjadi kuasa dominan dunia.

Dalam sejarahnya Afghanistan merupakan wilayah rebutan bagi empayar zaman terdahulu.

Ia juga terkenal sebagai negara yang tidak dapat dijajah oleh kuasa luar.

Daripada British sampailah kepada Rusia dan AS.

Malangnya rebutan antara kuasa-kuasa ini tidak mendatangkan keamanan dan kemakmuran pada rakyatnya.

Akibat peperangan di situ, ramai rakyat Afghanistan yang menjadi pelarian, bukan saja di Pakistan dan Iran tetapi juga Eropah dan AS.

Pada tahun 2011, penulis menyaksikan keluarga-keluarga dari Afghanistan menjadi peminta sedekah di pusat membeli-belah di Birmingham, United Kingdom.

Bayangkan berapa banyak perbelanjaan yang dicurahkan oleh AS, negara-negara Eropah, Soviet Union dan juga dunia Islam untuk peperangan dan pembinaan semula negara di Afghanistan dari mula ia diperintah oleh komunis sehingga AS mengundurkan tenteranya.

Ini belum dikira lagi perbelanjaan oleh badan-badan dunia dan badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa serta sumbangan projek kerajaan asing seperti Jepun dan India yang turut membina empangan di negara itu.

Selain itu, terdapat juga penglibatan perdagangan gelap yang berlaku di Afghanistan selama ini.

Tentulah persoalan timbul dari mana Taliban memperoleh senjatanya.

Begitu juga ke mana hasil ladang pokok-pokok popi yang dijadikan bahan untuk dadah dipasarkan.

Afghanistan juga mencorak pemikiran politik dunia, termasuk terhadap gerakan Islam.

Ketika Mujahidin melancarkan jihad untuk membebaskan Afghanistan daripada komunis, ia merupakan suatu perjuangan tulen bagi menegakkan negara Islam.

Mujahidin mendapat sokongan dana, senjata dan semangat bukan saja dari AS dan Barat tetapi juga dunia Islam, dari Arab Saudi, Iran, Pakistan hinggalah kepada Indonesia dan Malaysia.

Apa yang berlaku di Afghanistan menjadi satu naratif padu bagi negara Islam.

Maka ada kalangan mengharapkan Afghanistan akan muncul sebagai sebuah negara Islam sebenar selepas komunis berjaya ditumpaskan.

Ia diharapkan menjadi Republik Islam kedua selepas Iran.

Kalau Iran dianggap negara Syiah, maka Afghanistan pula mewakili negara Sunni.

Pada tahun 1980, ketika jihad di Afghanistan, demonstrasi sering diadakan di kampus-kampus dan di depan pejabat kedutaan Soviet Union bagi membantah pendudukan tentera mereka di Afghanistan.

Penulis juga turut serta dalam demonstrasi yang dianjurkan oleh kesatuan pelajar di kampus pada zaman itu.

Malaysia juga aktif menyokong Mujahidin.

Pejabat wakil Mujahidin dibuka di Kuala Lumpur.

Ada satu ketika pada tahun 1983 di Wisma Putra, penulis selaku pemberita menghadiri satu taklimat khas oleh Menteri Luar Ghazali Shafie yang menghuraikan panjang lebar mengenai latar belakang apa yang berlaku di Afghanistan.

Bagaimana Zahir Shah digulingkan oleh tentera dari golongan komunis.

Bagaimanapun apabila Mujahidin menang, apa yang muncul bukanlah sebuah Republik Islam yang stabil dan boleh dijadikan contoh.

Sebaliknya perang saudara, iaitu antara kumpulan Mujahidin berlanjutan.

Hizbi Islami dan Jamaati Islam serta kumpulan-kumpulan lain bertarung untuk merebut pemerintahan di Kabul.

Banyak usaha dibuat untuk mendamaikan perbalahan kumpulan-kumpukan ini tetapi tidak berjaya.

Bertambah buruk apabila negara-negara luar turut campur tangan khususnya Arab Saudi, Pakistan dan Iran.

Mereka mempunyai kepentingan geopolitik terhadap Afghanistan.

Ketika itu AS tidak berminat kerana Soviet Union bukan saja keluar dari negara itu tetapi negara komunis itu sendiri sudah tumbang.

Untuk itu penulis pernah menghadiri satu persidangan antarabangsa mengenai Afghanistan yang diadakan di Tehran pada tahun 1989.

Dalam keadaan di Kabul belum reda, muncul Taliban yang menyeberangi sempadan Pakistan dan dapat mengalahkan kumpulan-kumpulan Mujahidin hinggalah mereka berjaya menawan Kabul dan menerajui pemerintahan.

Pangkalan Taliban adalah di Kandahar dan kebangkitan mereka menakjubkan.

Ketika itu kumpulan-kumpulan lain sudah tidak memiliki sokongan dan bantuan AS.

Tetapi Taliban kelihatannya lengkap bersenjata.

Walaupun kumpulan-kumpulan Mujahidin berbalah sesama mereka tetapi kesemuanya termasuk tokoh-tokohnya dikenali oleh gerakan Islam sedunia.

Mereka adalah sebahagian daripada naratif gerakan kebangkitan semula Islam tahun 1980-an.

Tetapi tidak Taliban.

Gerakan Islam tidak mengenali Taliban.

Ketuanya, Sheikh Omar juga tidak dikenali.

Akhirnya apabila menguasai Kabul, cara mereka menggunakan kuasa ternyata tidak disenangi oleh kebanyakan umat Islam sedunia.

Cara mereka adalah ekstrem dan kasar.

Walaupun penguasaan Taliban mendatangkan keamanan pada Afghanistan tetapi pemerintahan mereka memberi nama buruk pada orang Islam.

Bagaimana Taliban memberi layanan buruk pada wanita dan cara mereka melaksanakan Syariah menyebabkan banyak kalangan gerakan Islam menilai semula idealisme perjuangan masing-masing.

Nama Taliban menjadi istilah bagi menggambarkan satu bentuk Islam ekstrem.

Talibanisasi mula dijadikan istilah bagi menggambarkan proses Islam ekstrem itu.

Hanya tiga negara mengiktiraf kerajaan Taliban iaitu Pakistan, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

Kefahaman geopolitik terhadap keadaan ini ialah kesemuanya merupakan konspirasi bagi menghalang pengaruh Iran.

Keadaan itu menyebabkan umat Islam dan gerakan Islam bukan saja kecewa tetapi hilang minat terhadap Afghanistan.

Namun rupanya bukan saja pentadbiran Taliban menjejaskan nama Islam tetapi juga kemunculan Al-Qaeda yang mengamalkan kaedah keganasan bunuh diri memberi pukulan kepada gerakan Islam dan umat Islam.

Jihad yang sebelumnya merujuk pada perjuangan untuk membebaskan Afghanistan daripada komunis kini dikaitkan dengan keganasan bunuh diri.

Al-Qaeda juga muncul dengan tiba-tiba sedangkan sebelum itu ia tidak dikenali.

Al-Qaeda menubuhkan pangkalannya di Afghanistan di bawah perlindungan Taliban.

Apabila AS mengaitkan Al-Qaeda dengan Peristiwa 11 September, ia menandakan bahawa A pastiS menyerangnya dan ramai orang awam pasti terbunuh.

Setelah dibom bertalu-talu, AS pun mendarat di bumi Afghanistan.

Ketika tentera Amerika mara mengalahkan Taliban di wilayah mereka satu persatu pada tahun 2001, penulis menghadiri satu persidangan mengenai keadaan negara itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Persidangan itu dianjurkan oleh Institut Kajian Strategik Antarabangsa Malaysia (ISIS) dan disertai oleh pelbagai pertubuhan negara ini.

Ketua pengarahnya, Noordin Sopie memberikan analisis jelas dan bernas mengenai keadaan di sana.

Nada di persidangan itu adalah simpati pada Afghanistan yang teruk dibom oleh AS.

Walaupun umumnya tidak menyokong cara dan kelakuan Taliban tetapi ramai peserta mengharapkan ia dapat menghalang kemaraan AS.

Maka tidak hairanlah seorang penyampai ucapan yang merupakan warga AS dan dari sektor ahli perniagaan menyatakan kesalnya terhadap hadirin yang bersimpati pada Taliban.

Katanya AS adalah mangsa dan seharusnya merekalah yang wajar diberi simpati.

AS menguasai Afghanistan selama 20 tahun dengan usaha untuk membina negara itu atas nilai-nilai demokrasi.

Setelah 20 tahun berlalu, Presiden Joe Biden memanggil pulang kesemua tenteranya dengan menyatakan bahawa biarlah orang Afghanistan selesaikan masalah mereka sendiri.

Kalau hendak dikirakan dari tahun 1981, maka Afghanistan sudah melalui 40 tahun.

Itu bermakna sudah berlalu satu generasi.

Taliban dijangka akan menguasai semula Afghanistan tentunya generasi baru yang mempunyai sikap berbeza daripada pemimpin dahulu.

Diharapkan generasi kini tidak akan mengulangi kesilapan pemimpin-pemimpin dahulu.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles