- Iklan -
Kolum

Singapura aku datang!!!

Aku lihat Geylang ini macam kampung Melayu.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Tahun 1957 aku sudah masuk darjah satu di Sekolah Umum Kuala Klawang A di Jelebu.

Letaknya di atas bukit di tepi pekan Kuala Klawang.

Hendak sampai ke sekolah aku wajib melintasi kem askar upahan Inggeris, askar Gurkha.

Kuala Klawang ialah pekan askar.

Sama seperti Kuala Kubu Baru dan Mentakab.

Pekan ini menjadi pekan strategik untuk kuasa kolonial Inggeris.

Daerah Jelebu bersempadan dengan Temerloh, Pahang iaitu wilayah pusat pejuang nasionalis Melayu.

Ketika aku mula masuk sekolah, Parti Komunis Malaya sedang memimpin gerakan bersenjata melawan penjajah Inggeris.

Jelebu kawasan “hitam” sehingga tahun 1966.

Justeru kem tentera upahan Inggeris ditempatkan di tepi pekan Kuala Klawang.

Ada satu batalion askar upahan Inggeris ini.

Aku masih ingat lagi hari pertama ke sekolah.

Cikgu darjah satu aku bernama Raja Razali.

Sosok gemuk dan berkulit hitam.

Aku datang ke sekolah berkasut getah, berseluar hitam pendek dan berbaju putih.

Aku memiliki papan batu dan kalam untuk belajar menulis.

Papan batu boleh ditulis depan dan belakang.

Depan untuk tulisan Rumi dan belakang untuk tulisan Jawi.

Aku juga ada membawa botol kecil air untuk memadamkan apa sahaja yang ditulis di papan batu.

Kalau tiada air, air liur pun boleh jadi pemadam.

Dalam bilik darjah tiada kerusi atau meja.

Kami duduk bersila atas lantai simen.

Sekolah Kuala Klawang A untuk lelaki sahaja.

Sekolah Kuala Klawang B untuk perempuan sahaja.

Jadi duduk bersila tidak menjadi masalah kepada kami murid lelaki.

Kerusi dan meja terletak di sudut untuk Cikgu Raja Razali.

Murid duduk bersila menghadap papan hitam.

Aku tidak akan melupakan kelas pertama dalam hidup aku.

Kami diajar mengenal A,B,C dan 1,2,3 berulang ulang.

Huruf dan angka ini ditulis di papan hitam dengan kapur.

Jam 10.00 pagi kami berhenti rehat.

Aku dapat duit belanja 10 sen sehari.

Aku dapat beli sebungkus nasi lemak dan sebiji kuih gulung.

Untuk minuman ada air paip.

Makcik di rumah teres di bawah bukit yang menjual kuih.

Kelas akhir hari pertama jam 12.00 tengah hari Cikgu Raja Razali mengajar sebuah lagu.

Inilah lagu pertama yang aku belajar.

Sampai sekarang aku mengingati:

Bangun Awang,

Bangun Awang,

Kamu tidur ke lagi?

Kamu tidur ke lagi?

Ayam sudah berkokok,

Ayam sudah berkokok,

Kuk kuk koo,

Kuk kuk koo.

Sesudah kami lancar menyanyi lagu ini, Cikgu Raja Razali membenarkan kami semua pulang ke rumah.

Ah! Indah sungguh belajar di sekolah.

Hari pertama yang tidak akan aku lupakan.

Hari pertama juga aku mendapat kenalan baru: Hafiz, Brahim, Jo, Jamal, Zul, Ahmad, Yunus, dan Zahid.

Ini antara kawan-kawan baru aku.

Hari berganti minggu. Minggu menjadi bulan.

Kasut putih jadi hitam. Baju putih jadi kelabu.

Seluar hitam menjadi tambah hitam.

Satu hari emak aku berkata: “Cuti sekolah nanti kita ke Singapura.”

“Cuti bila? Pasal apa gi Singapura? Sapa pegi? Naik apa? Duduk ke mano?”

Kegembiraan mendengar nama Singapura melahirkan pertanyaan bertalu-talu.

Cikgu Zaleha sudah biasa dengan perangai anak muridnya.

“Wan Timah kau nak pergi naik haji. Kita semua pergi. Kita sewa kereta.” Penjelasan pendek.

“Haji macam mano? Haji macam Lobai Asan laki Sawi ke? Nak duduk kek mano di Sangapuro?”

Aku tak puas dengan penerangan pendek.

“Abah kau akan ambil cuti. Kita pergi lepas raya… duduk sano dua minggu.” Lagi penjelasan.

“Duduk di mano? Rumah sapo?” Pertanyaan lagi.

“Mak akan tulis surat pada Pak Long Sani. Dia duduk di Geylang. Pak Lang Latif kau pun ada di sana.”

Emak aku menyebut nama-nama tubuh badan yang belum pernah aku jumpa.

Ini sepupu-sepapat saudara-mara waris dari sebelah Tok Wan Rahmah aku.

Aku tak sabar nak melihat Singapura.

Nama Singapura ini aku selalu dengar dari lagu R Azmi.

Di Kuala Klawang cecorong dipanggil radio, bukan macam di Tapak dipanggil cecorong.

Radio Malaya selalu memainkan piring hitam lagu-lagu nyanyian R Azmi.

Suara R Azmi berkumandang menjemput orang ramai dengan lagu “Kalau Datang Ke Singapura”:

Kalau datang ke Singapura,

Hati tentu merasa ria,

Melihat jambatan Merdeka,

Di Happy World,

New World,

Di Great Wall,

Tempat bersuka berjoget moden,

Tempat berdansa semua sudah sedia,

Tentu tuan tidak akan lupa,

Di waktu petang jika kita berjalan di tepi pantai,

Boleh kita cuci mata,

Dengan pemandangan yang amat permai.

Aku tidak faham apa yang disuarakan oleh R Azmi.

New World, Happy World atau Great Wall.

Semua nama-nama ini tidak ada makna kepada aku.

Joget aku tahu.

Dansa aku tak tahu dan tak pernah melihat.

Apa yang aku tahu ialah aku amat gembira.

Akhirnya aku berpeluang ke Singapura.

Belum ada rakan sedarjah yang pernah sampai ke Singapura.

Aku yang pertama.

Wan Fatimah, emak kepada abah aku akan naik haji.

Emak aku sebagai guru menerangkan tentang naik haji.

Cara naik haji ini bukan senang.

Warga Tanah Melayu wajib naik kapal di Singapura.

Warga dari utara naik kapal di Pulau Pinang.

Sebelum naik haji wajib ada perjanjian dengan seorang Tok Sheikh.

Ini orang Arab di Singapura yang akan menguruskan pembayaran tambang, menyediakan tempat tinggal sementara menunggu kapal sampai ke Singapura.

Tok Sheikh ini juga akan mengendalikan perjalanan dan tempat tinggal di tanah Arab.

Tahun 1957, bila kapal ini akan sampai ke pelabuhan dan bila kapal akan belayar juga tiada tarikh yang tetap.

Emak aku hanya mengagak-agak tarikhnya.

Justeru Wan Timah aku wajib pergi ke Singapura lebih awal menunggu kapal masuk ke pelabuhan.

Maka kami sanak saudara yang hendak menghantar Wan Timah naik haji wajib juga bertandang ke Singapura lebih awal.

Kerana tiada tarikh yang tepat, maka emak aku menyusun dua minggu di Singapura.

Keluarga kami menyewa kereta Pak Uda Budin.

Dia ini sepupu kepada abah aku.

Uda Budin pemilik teksi sapu.

Dua minggu ke Singapura bukan satu masalah untuk Uda Budin.

Tilam, bantal, tikar mengkuang, dapur semawar, cerek, pinggan mangkuk dan payung kain disediakan untuk Wan Timah.

Aku lihat semua ini sama seperti persiapan untuk membuat kelengkapan mendirikan rumah baru.

Bezanya hanya untuk seorang.

Sebelum belayar wajib juga mendapat suntikan dari hospital Kuala Klawang.

Suntikan penyakit kuning.

Aku tak tahu apa penyakit ini.

Semua persediaan dan peraturan ini disampaikan dari mulut ke mulut.

Mendengar surah dan cerita-cerita dari pengalaman orang yang pernah naik haji.

Hari yang baik pun sampai.

Kenduri doa selamat diadakan.

Wan Timah akan pergi bersama Tok Barau dan isterinya.

Tok Barau ini dari Kampung Jelin letaknya di sebelah Kampung Chenor.

Jadi Wan Timah aku ada sosok “jantan” yang jadi kepala.

Rombongan Wan Timah bergerak ke Singapura dengan kereta Pak Ngah Aminuddin.

Pak Ngah ini abang ke pada abah aku.

Dia ini lulusan Sultan Idris Training College (SITC).

Pernah jadi guru.

Tahun 1957 Pak Ngah bekerja di Jabatan Penerangan di Seremban.

Keluarga Rais dan Zaleha bergerak dua hari kemudian.

Rombongan keluarga aku bergerak menuju ke Geylang, Singapura.

Dari Jelebu ke Seremban, ke Rembau, ke sempadan Melaka dan terus ke Muar.

Di Muar mata aku terbuka.

Aku ternampak sungai yang amat luas.

Dalam sungai ini aku nampak banyak perahu besar dan kecil.

Aku tak menyangka dalam sungai ada perahu.

Tak pernah dalam hidup aku melihat sungai seluas ini.

Waktu banjir di kampung pun sungai tidak seluas ini.

“Sini laaa keluar air Batang Muar dopan rumah kito tu.”

Wan Rahmah memberi penerangan.

Aku tahu ada jaringan Batang Muar di Kampung Tengkek.

Tapi aku tidak pernah terfikir akhirnya Batang Muar di Kampung Tengkek berakhir di sini.

Uda Budin memberhentikan kereta di Jeti Penambang, Sungai Muar.

Kami menunggu feri.

Untuk menyeberang Sungai Muar kami wajib naik feri.

Aku melopong hairan kerana belum pernah naik feri.

Malah aku tidak tahu pun ada benda bernama feri.

Feri ini macam jambatan pendek boleh masuk dua kereta.

Kereta berhenti atas jambatan ini.

Kami semua keluar dari dalam kereta.

Di sebelah jambatan pendek ini ada perahu berenjin yang menolak jambatan ini untuk menyeberang sungai.

Enjin perahu ini berasap.

Aku nampak asap hitam berkepul keluar dari serombong di sebelah belakang perahu.

Sampai ke seberang sana kami masuk kembali ke dalam kereta.

Kereta keluar dari jambatan kecil bergerak menyambung ke jalan besar.

Aku tak tahu berapa tambang kereta dan penumpang.

Aku rasa tak melebihi satu ringgit.

Selepas berferi di Sungai Muar kami meneruskan ke Johor Bahru.

Di kiri kanan jalan aku ternampak ladang dengan tanaman berjunjung.

“Itu sirih ke mak?” Aku bertanya.

“Bukan… itu lada hitam.. macam junjung sirih juga.”

Penerangan Cikgu Zaleha.

Aku belum pernah melihat tanaman lada hitam.

Aku hanya nampak dari jauh.

Akhirnya kami sampai ke Johor Bahru.

Uda Budin berhenti melepas penat di hadapan Stesen Kereta Api JB.

Inilah kali pertama aku melihat stesen kereta api dari dekat.

Aku masih belum ada pengalaman naik kereta api.

“Lotih buleh rehat… Tak po ngantuk mosti tido kalau tak bahayo.”

Uda Budin menerangkan cara dia memandu dan meneruskan perjalanan.

“Mak ni ke dia Jambatan Merdeka? Yang R Azmi kata tu.”

Aku memandang ke luar kelihatan kapal dan laut.

“Ini Tambak Johor.. bukan jambatan. tak ada air lalu di bawah jalan ini. Tengok sebelah ada jalan kereta api.. tanah ditambak buat jalan… laut dah mati.”

Emak aku memberi penerangan.

Lewat petang hampir senja, kami sampai ke Geylang.

Aku lihat Geylang ini macam kampung Melayu.

Rumah papan atap zink – ada yang bertiang ada yang tidak.

Ada jalan lecah.

Aku merasa pelik kerana bentuk kawasan macam kampung di Jelebu tapi rumah amat rapat-rapat.

Rombongan kami disambut oleh Pak Long Sani.

Dia ini anak kepada Tok Gantang dengan Wan Acik Saibah.

Wan Acik ini adik beradik satu ayah dengan Wan Rahmah aku.

Jadi sepupu dengan emak aku.

Emak, abah, pak long dan mak long terus bersembang, bertanya khabar si anu dan si anu.

Aku memasang telinga.

Aku amat tertarik dengan bunyi suara Mak Long Sani – dia orang “Singapuree”.

Bunyi sebutan amat jauh berbeza dari kami warga “Nogoree”.

Tahun 1957 Singapura adalah sebahagian dari Tanah Melayu.

Anak-anak muda dari kampung hulu pedalaman seperti Kampung Tengkek datang ke Singapura, kota paling besar di Tanah Melayu untuk mencari pekerjaan.

Ketika emak-emak dan ayah bersembang muncul di pintu seorang anak lelaki.

“Ni Anuar.. dia sudah masuk sekolah primary one.”

Mak Long aku memperkenalkan anak lelakinya kepada kami.

“Sama macam Isam. Sudah masuk darjah satu.” Emak aku membalas.

Aku membuka mata.

Aku merasa bernasib baik.

Pak Long Sani ada anak lelaki bernama Anuar yang sebaya dengan aku.

Maka bertemulah budak kampung dengan budak bandar di Geylang.