- Iklan -
Kolum

Mencari strategi baru melawan Covid-19

Juga tidak kira siapa jadi perdana menteri, keadaan negara juga tidak akan juga berubah.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Banyak perkembangan politik berlaku minggu lalu tetapi apa yang lebih penting ialah pengumuman Menteri Kesihatan Dr Adham Baba kementeriannya akan menilai strategi bagi melawan Covid-19.

Pengumuman itu dibuat pada Rabu lalu tetapi apa yang disebut sebagai strategi adalah tertumpu kepada usaha bagaimana kementerian kesihatan terpaksa berhadapan dengan bilangan pesakit Covid-19 yang kini bertambah banyak.

Dalam pengumuman itu disebut mengenai penambahan katil dan pembinaan hospital medan serta pengerahan doktor dan jururawat dari tempat lain untuk bertugas di Lembah Klang.

Maknanya apa yang diumumkan sebagai strategi baru itu adalah penyusunan semula sumber kementerian kesihatan bagi menghadapi pesakit-pesakit Covid-19, dan tidak membabitkan soal-soal lain.

Tetapi bagi orang ramai, keadaan yang berlaku adalah mencemaskan dan mengharapkan satu tindakan drastik dilakukan oleh kerajaan bagi membendung penularan virus Covid-19.

Suasana cemas ini dapat dilihat daripada hantaran-hantaran warganet dalam media sosial.

Kerajaan bagaimanapun kelihatannya tidak menunjukkan suatu keadaan yang mencemaskan.

Adakah rasa cemas orang ramai hanyalah suatu emosi yang berlandaskan pada panik dan wajar diredakan?

Kelihatannya bagi kerajaan, Pelan Pemulihan Negara sudah digubal dan baru dilaksanakan.

Tentulah ia memerlukan masa untuk mendatangkan hasil.

Ramai orang tentulah berharap begitu.

Ini kerana orang ramai pun bukannya boleh buat apa-apa.

Hanya kerajaan yang memiliki kuasa untuk melakukan sesuatu.

Tetapi sebarang kejayaan melawan Covid-19 ini amat bergantung kepada kerjasama orang ramai.

Contohnya, apabila kilang yang tidak sepatutnya dibuka terus beroperasi secara tersembunyi dan mengakibatkan kluster baru jangkitan Covid-19, hinggakan nampaknya peperangan ini tidak akan dapat dimenangi.

Pihak yang dapat mengajak orang ramai supaya bekerjasama adalah kerajaan.

Sama ada melalui kempen untuk membangkitkan kesedaran ataupun secara paksaan melalui undang-undang.

Ini kerana pihak yang ada kuasa adalah kerajaan.

Sementara kerjasama daripada orang ramai pula berkait dengan keyakinan terhadap kerajaan.

Apabila melihat angka jangkitan Covid-19 khususnya di Lembah Klang, seseorang pasti berasa cemas.

Ada dua bentuk reaksi yang timbul dalam kalangan orang ramai.

Pertama, sebahagiannya hanya mengeluh dan mengharapkan keadaan lebih baik dengan kepercayaan bahawa pasti kerajaan tahu apa yang patut dilakukan.

Kedua, satu golongan lagi tidak yakin bahawa kerajaan akan dapat menghadapi keadaan ini.

Ada antara mereka mempertikaikan cara kerajaan dan pelan yang dikemukakan.

Mereka berasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan cara kerajaan bertindak.

Sebabnya ialah angka jangkitan terus naik dan tiada tanda penurunan.

Hilang keyakinan ini berkait pula dengan kepimpinannya.

Apabila disebut kerajaan, ia merujuk kepada kedua-dua bahagiannya, iaitu jentera perkhidmatan awam dan ahli-ahli politik yang mengetuainya.

Bagi mereka yang melihat atau melalui pengalaman bagaimana barisan hadapan terutamanya kakitangan kementerian kesihatan bekerja, maka umumnya keyakinan orang ramai terhadap mereka adalah tinggi.

Walaupun terdapat sedikit teguran di sana sini, tetapi perkhidmatan kesihatan Malaysia boleh dianggap antara yang baik di dunia.

Tetapi keyakinan orang ramai terhadap kerajaan terletak pada bahagian kepimpinan politik.

Ketika negara menghadapi Covid-19, tentulah kementerian kesihatan menjadi paling penting walaupun dalam melawan Covid-19 ini ia membabitkan banyak kementerian, boleh dikatakan keseluruhan jentera kerajaan.

Umpamanya kementerian sains, teknologi dan inovasi bertanggungjawab terhadap program imunisasi.

Kejayaan imunisasi adalah faktor kunci untuk menang dalam peperangan ini.

Kementerian dalam negeri pula bertanggungjawab menguatkuasa arahan perintah kawalan pergerakan.

Sementara kementerian yang bertanggungjawab mengenai kebajikan masyarakat sepatutnya berusaha memastikan rakyat tidak perlu sampai mengibar bendera putih kerana tiada mampu membeli makanan.

Pun begitu, kementerian kesihatan tetap menjadi jentera kerajaan paling utama dalam melawan Covid-19.

Untuk itu, menteri yang bertanggungjawab sewajarnya adalah seorang yang berwibawa dan mampu memberikan keyakinan dan inspirasi terhadap rakyat untuk membawa negara keluar dari jurang Covid-19 ini.

Malah dalam keadaan sekarang ini, menteri kesihatan sepatutnya menjadi menteri kanan supaya beliau mempunyai pengaruh, wibawa dan kuasa lebih besar untuk menggerakkan jentera kerajaan.

Malah kalau timbalan perdana menteri dipikulkan tanggungjawabnya untuk mengetuai kementerian, ia adalah lebih baik.

Tetapi dari pandangan umum warganet, menteri kesihatan yang ada ini tidak mendatangkan inspirasi pada orang ramai dalam usaha bersama negara untuk melawan Covid-19.

Dari awal pelantikannya tahun lalu lagi, reputasi beliau dengan isu air suam mejadi tercalar.

Selepas setahun beliau tidak muncul sebagai orang yang menjadi perhatian masyarakat.

Orang yang menjadi ikon dalam melawan Covid-19 ini ialah Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Bertambah kurang lagi keyakinan orang ramai terhadap pemimpin politik yang mengetuai kementerian adalah mengenai kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sendiri.

Sepanjang minggu lalu kelihatan betapa tidak stabilnya kerajaan PN.

Menteri kesihatan adalah dari Umno yang minggu lalu, presidennya Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan partinya menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN.

Tetapi kerajaan PN tidak tumbang kerana sebahagian ahli parlimen tetap menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Maknanya kini Umno seolah-olah muncul dalam dua bentuk.

Pertama parti politik Umno yang diketuai oleh Zahid.

Kedua, kelompok ahli-ahli parlimen Umno dengan majoritinya menyokong kerajaan PN dan pemimpin utamanya ialah Ismail Sabri Yaakob yang baru dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Sementara itu, Muhyiddin sendiri pada kaca mata sebilangan besar warganet bukanlah seorang perdana menteri yang dipandang cemerlang.

Sejak menyandang jawatan itu, beliau amat jarang mengadakan sidang media.

Ditambah pula beliau tidak berdepan dengan soal jawab di Parlimen.

Maka tentulah ia menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara.

Sedangkan masa wabak Covid-19 ini, peranan perdana menteri amat penting.

Beliaulah yang melantik jemaah menteri untuk sama-sama berkordinasi dan memainkan peranan untuk memenangi perang ini.

Maka untuk itu, tentulah dipastikan bahawa kementerian kesihatan berada pada kepimpinan ahli politik terbaik.

Jika tidak, selepas setahun, rombakan Kabinet perlu dilakukan dengan kementerian kesihatan memperoleh menteri yang baru untuk berusaha strategi lain.

Itulah yang diharapkan oleh sebahagian besar rakyat apabila mendengar desas-desus rombakan Kabinet akan dilakukan.

Tetapi ternyata tidak ada rombakan Kabinet.

Kementerian kesihatan tidak menerima menteri baru.

Sebalknya yang berlaku ialah lantikan timbalan perdana menteri dan menteri kanan.

Kedua-duanya dari Umno.

Apa yang berlaku kelihatannya bukan untuk memperkasakan kerajaan bagi melawan Covid-19 tetapi ia merupakan langkah politik untuk menghadapi tekanan dari Umno.

Sememangnya sukar bagi perdana menteri untuk merombak kabinet menurut keperluan usaha melawan Covid-19 semata-mata.

Kedudukan kerajaan PN yang tidak stabl menjadikan perdana menteri terikat dengan pelantikan yang ada.

Makanya tidak kelihatan adanya kepimpinan dari jawatan tertinggi terhadap anggota jemaah menteri.

Setiap menteri kelihatannya menerajui kementerian dengan mengikut rentak masing-masing.

Mungkin perkara seumpama itu tidak berlaku, tetapi itu adalah persepsinya sekarang.

Mungkin juga kerajaan yang mempunyai segala maklumat dan cadangan yang disediakan oleh pegawai-pegawai berpendapat keadaan negara tidaklah seteruk yang digambarkan oleh perasaan warganet di media sosial.

Rakyat juga mengharapkan begitu.

Wabak ini akan akhirnya dapat diatasi dengan sendiri apabila 90 peratus penduduk negara sudah divaksin.

Ataupun tidak kira siapa jadi menteri, keadaan Covid-19 tetap seperti yang ada.

Juga tidak kira siapa jadi perdana menteri, keadaan negara juga tidak akan juga berubah.

Begitu juga jika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan pun, negara tidak akan berbeza.

Maka akhirnya rakyat tidak dapat mengharapkan sesuatu yang lebih baik.

Ini kerana masalah Malaysia ini datangnya dari sikap dan perangai anggota masyarakat itu sendiri.