Thursday, July 29, 2021

Lantikan TPM selari titah Agong bagi tadbir urus yang stabil

Rombakan kecil tersebut sebenarnya memberi kesan yang besar ke atas keutuhan kedudukan kerajaan Persekutuan.

Other News

Setelah lebih setahun berlalu, Kabinet kerajaan Persekutuan yang dibentuk pada 10 Mac 2020 akhirnya dibuat sedikit rombakan pada 7 Julai lalu melalui lantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai timbalan perdana menteri dan Hishammuddin Hussein selaku menteri kanan yang turut mengetuai kluster keselamatan yang sebelum ini diketuai Ismail Sabri.

Rombakan ini, walaupun kecil, sebenarnya memberi kesan yang besar ke atas keutuhan kedudukan kerajaan Persekutuan kerana ia dilihat selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini supaya perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Rombakan ini juga dibuat tatkala ketidakpuasan hati di kalangan sesetengah pemimpin Umno agak memuncak mengenai layanan tidak adil yang diberikan oleh Bersatu kepada Umno di dalam kerajaan, di mana ia turut diperkatakan oleh Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, di dalam forum bertajuk “Kenapa Melayu Tolak Bersatu?” pada 4 Januari lalu.

Mengikut Ahmad Maslan, antara punca berlaku pergaduhan sama sendiri ialah kerana perkongsian kuasa itu tidak diberikan dengan adil di mana disebutkan betapa Umno sebagai parti tunjang dengan 39 ahli Parlimen, bercampur dengan 4 ahli Parlimen BN lain, adalah majoriti di dalam kerajaan, tetapi “yang menjadi majoriti ini timbalan perdana menteri pun tidak dapat”.

Sebab itulah walaupun ada spekulasi yang berlegar bahawa lantikan Ismail dan Hishammuddin ini tidak diterima baik oleh sesetengah pihak di dalam Umno, mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 7 Julai lalu langsung tidak mempertikaikannya, apatah lagi untuk mengenakan tindakan tatatertib ke atas mereka, malah sebaliknya lantikan ini mendapat restu.

Sudah pastilah rombakan ini mampu memperkuatkan kedudukan kerajaan di dalam erti kata ia boleh meredakan ketegangan yang berlaku di kalangan pemimpin Umno di mana jawatan kedua tertinggi kerajaan ini pastinya akan memberikan lebih banyak ruang untuk mereka bergerak cergas di dalam kerajaan di samping menyenyapkan tentangan ahli-ahli bawahan.

Lantikan Ismail Sabri sukar untuk dipertikaikan lantaran beliau merupakan pemimpin Umno terkanan dari segi senioriti dalam Kabinet, iaitu selaku naib presiden Umno, pernah menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen, mempunyai kelulusan akademik yang baik dalam bidang undang-undang dan menunjukkan prestasi yang cemerlang selaku Menteri Kanan.

Walau apa sekalipun reaksi ke atasnya, rombakan Kabinet pada pertengahan penggal adalah satu perkara yang amat baik bagi menggambarkan betapa kerajaan adalah bersikap responsif terhadap maklum-balas semua pihak, khususnya rakyat, ke atas Menteri-Menterinya dan betapa kerajaan mempunyai keseriusan untuk memperbaiki prestasinya dari masa ke semasa.

Adalah diharapkan agar akan ada rombakan yang lebih besar dibuat di peringkat Kerajaan Persekutuan, malah di peringkat Kerajaan Negeri juga, selepas ini kerana rombakan ke atas komposisi jemaah menteri dan majlis mesyuarat kerajaan negeri pada pertengahan penggal pemerintahan adalah amat bersesuaian dengan prinsip urustadbir baik (good governance).

Terdapat sekurang-kurangnya 10 faktor yang mewajarkan rombakan begini dibuat:

(1) Ia akan menjadikan kerajaan persekutuan dan Kerajaan Negeri kelihatan lebih telus dan lebih responsif dengan kehendak dan kritikan daripada rakyat.

(2) Ia akan menyerlahkan kerajaan persekutuan dan Kerajaan Negeri dengan imej kerajaan yang sentiasa berusaha memperbaiki segala kelemahan yang ada.

(3) Ia akan memastikan setiap ahli jemaah menteri dan majlis mesyuarat kerajaan negeri sentiasa mengambil berat mengenai prestasi perkhidmatan mereka.

(4) Ia akan mewujudkan persaingan sihat di antara ahli-ahli jemaah menteri dan majlis mesyuarat kerajaan negeri untuk bersaing di dalam membuat kebaikan.

(5) Ia akan mengecilkan ruang untuk mana-mana ahli jemaah menteri dan majlis mesyuarat kerajaan negeri terlibat dalam perkara mungkar seperti rasuah.

(6) Ia akan menyebabkan ahli-ahli jemaah menteri dan majlis mesyuarat kerajaan negeri tidak menganggap mereka istimewa dan jawatan itu milik mutlak mereka.

(7) Ia akan membuka ruang kepada ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri biasa lain, khususnya yang lebih muda, untuk menonjolkan bakat mereka.

(8) Ia akan mengurangkan pergantungan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri kepada individu dan lebih kepada menojolkan idea-idea dan dasar-dasar.

(9) Ia akan menjadikan sesebuah portfolio yang ada tidak kaku dan beku sebaliknya sentiasa segar dan malar dengan idea-idea dan dasar-dasar yang lebih terkini.

(10) Ia akan membolehkan mana-mana portfolio yang tidak perlu dihapuskan, dipecahkan atau digabungkan untuk meningkatkan keberkesanan kerajaan.

Sekiranya lantikan ahli-ahli Jemaah Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dapat dibuat secara berkala sepertimana pernah dibuat oleh Kerajaan-Kerajaan Negeri Perlis dan Pahang atau rombakan dapat dibuat secara berkala dijangkakan ia tidak akan mendatangkan apa-apa implikasi negatif kepada kerajaan berbanding implikasi positif yang akan diperolehi.

Sepertimana yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong sewaktu menjadi pemangku Raja Pahang pada 15 Mei 2018, lantikan ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri untuk tempoh selama dua tahun sahaja akan berupaya untuk memastikan pihak-pihak yang dilantik sentiasa bekerja keras sekali gus mengelakkan mereka berada dalam keadaan selesa, lena dan leka.

Perkiraan politik perlulah diambil kira dalam membuat rombakan ini, khususnya bila sesebuah kerajaan itu tidak dikuasai secara sendirian oleh sesebuah parti politik atau tidak mempunyai majoriti yang kukuh, tetapi jika kekuatan politik (political will) untuk memperbaiki prestasi dapat ditunjukkan dalam keadaan begini pastilah ia akan menghasilkan natijah yang terbaik.

Kamarul Zaman Yusoff ialah timbalan presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar) dan setiausaha Pertubuhan Cendekiawan Negara (Cendekiawan).

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles