Thursday, July 22, 2021

Umno rugi jika pandemik pulih?

Segelintir ahli-ahli MT Umno yang ada pada hari ini menurut apa sahaja kata presiden secara membuta tuli.

Other News

Pendedahan sebuah portal berita tentang audio lengkap mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno berlangsung kelmarin menyerlahkan niat sebenar segelintir ahli-ahli MT penyokong  tegar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam banyak-banyak suara yang bercakap dalam mesyuarat itu, suara yang menyerupai suara bekas Ahli Parlimen Kota Belud Abdul Rahman Dahalan paling menarik. Beliau bersungguh-sungguh meminta Umno bertindak keluar sekarang daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika situasi Covid-19 masih buruk.

Menurutnya, pemulihan pandemik Covid-19 tidak akan menguntungkan parti untuk mendapat kuasa sebaliknya yang mendapat kredit ialah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Tetapi bila kes Covid turun, kita juga akan rugi, sebab kita tidak akan dapat kredit. Yang akan claim kredit ialah perdana menteri. Saya khuatir, bila keadaan sudah reda dan ekonomi meningkat, apa akan jadi kepada Umno?”

Berdasarkan kepada kenyataan tersebut jelas menunjukkan segelintir ahli MT sangat pentingkan diri sendiri dan terus mempolitikkan isu pandemik ini. Mereka seperti tidak mahu pandemik di negara ini berakhir kerana apabila berakhir mereka sudah kehabisan modal politik.

Mereka juga bimbang pemulihan ekonomi yang sudah pasti akan memberi faedah besar kepada kehidupan rakyat  menjadikan mereka ketiadaan lagi isu untuk memburuk-burukkan kerajaan pada masa ini.

Justeru mereka yang sebelum ini mendakwa mendengar denyut nadi rakyat dan turut merasai keperitan hidup rakyat di musim pandemik ini mahu pandemik ini berterusan dan kes-kes jangkitan terus meningkat sebagaimana sekarang.

Semakin tinggi kes, semakin enak mereka menunggang isu ini.  Isu ini dipolitikkan semaksimum mungkin oleh segelintir pemimpin Umno terutama Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Tidak hairanlah isu pandemik juga dijadikan salah satu  alasan utama untuk mewajarkan penarikan balik sokongan kepada PN selepas mesyuarat MT beberapa hari lalu. Syukurlah percubaan itu gagal kerana sebahagian besar ahli-ahli Parlimen termasuk yang memegang jawatan menteri tidak terpedaya dengan naratif yang dicanang itu dan enggan meletak jawatan sebaliknya terus kekal bersama kerajaan sekarang.

Mereka cuba menggambarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak melakukan apa-apa dan gagal menangani isu Covid-19. Mereka menilai hanya menerusi angka kes jangkitan harian dan menutup mata kepada beratus-ratus tindakan dan inisiatif yang kerajaan lakukan bagi membendung penularan jangkitan virus ini, menjaga kesihatan rakyat , membantu  kehidupan rakyat yang terkesan teruk  serta memulihkan kembali ekonomi negara.

Segala kejayaan program kerajaan bagi melandaikan lengkung jangkitan dan membantu rakyat langsung tidak disebut dan disembunyikan terutama berkenaan Program Imunisaasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menunjukkan perkembangan yang menakjubkan.

Semalam kadar pemberian vaksin Covid-19 mencatatkan angka tertinggi dengan 376,909 dos diberikan. Ini juga merupakan hari keempat berturut-turut kadar vaksinasi lepasi angka 300,000 bermula pada 5 Julai dengan 313,761 dos, 6 Julai (340,043 dos) dan 7 Julai (375,842 dos).

Malaysia sudah merekodkan pemberian lebih 10 juta dos vaksin sejak PICK bermula pada 24 Februari lalu. Lebih 13% daripada hampir 23.4 juta populasi dewasa di negara ini sudah menerima dua suntikan lengkap vaksin Covid-19, manakala hampir 30% sudah menerima dos pertama setakat semalam.

Mereka mencipta naratif ini tanpa menghargai sedikit pun kerja keras seluruh petugas barisan hadapan serta menteri-menteri daripada parti Umno sendiri yang terlibat secara langsung dalam perang melawan Covid-19  seperti Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kesihatan Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Menteri Luar Hishammuddin Tun Hussien.

Bukan setakat itu sahaja tindakan ahli-ahli MT ini juga secara terang-terangan menghina dan memperlekehkan usaha rakan-rakan mereka sendiri dengan cuba menanam dalam kepala rakyat bahawa mereka ini adalah menteri-menteri yang gagal dalam perang melawan pandemik ini.

Inilah kualiti segelintir ahli-ahli MT Umno yang ada pada hari ini. Mereka menurut apa sahaja kata presiden secara membabi buta dan membuta tuli. Cubalah berhentilah sejenak, tarik nafas perlahan-lahan sambil bermuhasabah. Hargailah sedikit segala usaha yang sudah dilakukan oleh rakan-rakan daripada satu parti.

Kalaupun terlalu membenci Perikatan Nasional (PN) janganlah dendam politik itu beralih kepada rakan-rakan seperjuangan yang bekerja keras bertungkus-lumus membebaskan negara ini daripada pandemik halimunan yang sudah meragut beribu-ribu nyawa itu.

Rakyat Malaysia sudah lama terlalu lama berkurung. Mereka sudah tidak sabar untuk kembali bebas menghirup udara segar di luar. Mereka mahu kembali kepada kehidupan seperti suatu waktu dahulu. Mereka berharap dan mahu negara ini segera pulih. Mereka bukan orang politik seperti Abdul Rahman Dahlan dan segelintir lagi ahli MT Umno yang sangat takut jika negara ini pulih daripada Covid-19!

Saladin Hassan Saleh adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles