Sunday, July 25, 2021

Hak asasi manusia dan karya seni

Menurut saya, jika seseorang seniman itu bukan aktivis HAM, sukar untuk dia merasai topik yang ingin ditukanginya.

Other News

Beberapa tahun kebelakangan ini saya rajin menulis fiksyen dengan tema-tema hak asasi manusia.

Sesungguhnya ia bukanlah kerja senang kerana ia menuntut pemahaman menyeluruh mengenai hak asasi manusia (HAM) itu sendiri.

Menurut saya, jika seseorang seniman itu bukan aktivis HAM, sukar untuk dia merasai topik yang ingin ditukanginya.

Mujur juga saya beroleh geran penyelidikan (FRGS) dari Kementerian Pengajian Tinggi sekitar tahun 2013 untuk menekuni aspek ini – Hak Asasi Manusia dan Fiksyen.

Jadi, saya berusaha mengerti persoalan rumit ini.

Makanya apabila saya membaca perihal seorang animator dan pembikin filem di media, betapa mereka disiasat pihak berkuasa ekoran filem animasi pendek, ia menghimbau kembali dapatan yang saya temui sepanjang kajian saya tersebut.

Tulisan ini tidak akan membincangkan inti animasi di atas, atau tidak pula menjawab boleh atau tidak seniman diganggu dan kebebasan berkarya mereka disengkang.

Juga, saya tidak akan mengulas isu yang dibentangkan.

Saya banyak kali mengarang tentang satu dua persoalan di atas di banyak tempat.

Saya juga berurusan rapat dengan beberapa pelapor rasmi Hak Asasi Manusia di United Nations sejak kajian akademik itu bermula.

Saya ingin menulis tentang keadaan karya itu sendiri.

Karya yang dikatakan tepu dengan subjek atau kandungan hak asasi manusia.

Ada beberapa risiko apabila kita seniman mengarang sesebuah karya seni dengan tema hak asasi manusia.

James Dawes, seorang sarjana Sastera Bandingan lulusan Harvard University ada menghuraikan “bahaya” menggubah atau mengkraf karya seni dengan tema hak asasi manusia ini.

Antara lain, dalam kajian Dawes yang berjudul “That the World May Know: Bearing Witness to Atrocity” itu, karyawan akan terdedah kepada tiga kemungkinan yang “menakutkan”.

Pertama, pembaca atau penonton (jika ia filem atau dokumentari) akan merasai seolah-olah mereka sudah pun siap mengambil peranan dalam kerja hak asasi manusia tertentu – hanya dengan membaca atau menonton – karya tersebut.

Mereka akan berasa seolah-olah sudah selesai berfungsi sebagai anggota masyarakat yang peka.

Kadang-kala mereka audien perasan mereka juga penggiat hak asasi.

Mereka, audien maksud saya akan bertukar menjadi lebih empati kerana seolah-olah berkongsi perasaan dengan mangsa pencabulan hak asasi manusia.

Kedua, satu hal lagi yang lebih berbahaya ialah naratif dalam karya seni hak asasi manusia kadang-kala, dan selalunya akan memaparkan kejayaan kecil menentang pencabulan hak atau diskriminasi yang mana dalam keadaan tertentu, si pelaku atau pemangsa akan dihukum di hujungnya.

Pembaca akan merasai seolah-olah isu atau masalah tersebut sudah pun selesai.

Padahal masalah atau subjek itu masih berleluasa dan jauh dari berpenghujung.

Naratif seumpama ini memperdayakan.

Ia membuatkan khalayak berasa puas dengan kepalsuan iaitu terperangkap dalam dunia naratif itu sahaja.

Isu sebenar, yang nyata dan real di luar malah sedang bergejolak, malah barangkali semakin genting.

Ketiga, pembikin filem atau pengarang naratif novel hak asasi manusia tentu sahaja tidak bertujuan untuk mengkomodifikasikan penderitaan insan lain.

Penceritaan mengenai kesengsaraan dan nestapa mangsa atau ahli keluarga pencabulan hak asasi manusia amat geruh.

Pun, jika karya itu berjaya, karyawan seolah-olah berdiri di atas julangan kecelakaan orang lain.

Seniman tidak boleh berdiri megah di atas air mata orang.

Makanya keadaan ini amat menyakitkan karyawan.

Mereka iaitu para seniman yang tulen dan bertanggungjawab selalu merasa kesakitan orang awam, marhaen, murbawan dan orang kecil.

Mereka sering berasa terpanggil untuk menyuarakan kesakitan dan tangisan mangsa.

Pun, mereka perlu berhati-hati.

Kewaspadaan itu bukan sahaja kerana perlu menjawab dengan penguasa, tetapi juga mereka perlu mengimbangi mutu karya hak asasi manusia tersebut.

Misalnya jangan sampai ia tergelincir menjadi kerja propaganda pihak tertentu pula.

Sesebuah kerja seni yang menyuguhkan latar hak asasi manusia seharusnya dibina dengan satu pendekatan yang seimbang.

Karyawan misalnya hendaklah menangani kerja seni itu sebagai satu kerja hak asasi manusia yang objektif di mana meskipun tujuan akhir kita adalah untuk memperjuangkan kebenaran dan bersolidariti dengan mangsa, kita masih perlu menanggalkan diri dari hubungan emosi supaya kita dapat terangkat dari pengalaman trauma mangsa, atau mempersoalkan segenap kemungkinan untuk membolehkan isu yang diperjuangkan itu menemui resolusinya, atau lebih baik lagi menemukan penyelesaian.

Justeru, karyawan hak asasi manusia berurusan dengan penderitaan, iaitu dengan menceritakan penderitaan itu tanpa perlu terbawa-bawa dengan subjek atau topik yang diketengahkan.

Kerja seni itu bukan semata-mata provokatif tetapi amat perlu berimbangan demi mendorong tanggungjawab orang ramai agar bertindak.

Orang ramai ini termasuklah pihak berkuasa, pelaku pencerobohan hak atau penyangak itu sendiri.

Ini kerana bukan karyawan serta penonton atau pembaca sahaja perlu memberi reaksi, tetapi pihak berkuasa atau penindas juga perlu memberi reaksi mereka terhadap kelakuan mereka.

Sebarang respon tergesa-gesa daripada pihak yang dipersoalkan hanya meletakkan satu kesimpulan mudah masyarakat; bahawa pencabul ini takut, dan mangsa itu benar.

Ini bukanlah satu keadaan yang kita ingini.

Ia hanya memberi kelegaan sekejap untuk penggiat hak asasi dan mangsa.

Kita memerlukan lebih dari jawapan sementara.

Kita perlu kembali kepada hakikat sebenar penceritaan hak asasi manusia itu, yakni yang kita perlukan adalah solusi dan keamanan, atau keadilan untuk mangsa.

Bukannya sensasi.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles