- Iklan -
Kolum

Dua minggu paling genting buat Malaysia

Sesungguhnya dua minggu ini merupakan cabaran bukan sahaja bagi warga daerah PKPD ini tetapi juga untuk keseluruhan Malaysia supaya negara dapat bangkit dari debu-debu serangan Covid-19.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Minggu ini bermulalah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di beberapa daerah di Selangor.

PKPD bukanlah perkara baru bagi negara ini.

Sejak tahun lalu sudah banyak PKPD dilaksanakan.

Ada kalanya ia dikenakan pada satu kawasan kediaman.

Tidak kurang pula berbentuk meliputi mukim.

Tetapi kali ini ia melibatkan banyak daerah di Selangor: Petaling, Klang, Hulu Selangor, Gombak, Ampang, Hulu Langat dan Sepang.

Kesemuanya daerah-daerah penting bukan saja bagi Selangor tetapi juga Malaysia.

Di situlah terdapat ramai penduduk dengan bilangan warga kelas pekerja yang ramai.

Terdapat kilang-kilang dan pelbagai jenis kedai.

Pastinya ramai orang terjejas dengan PKPD ini baik dari segi ekonomi mahupun kehidupan seharian.

Apa yang menjadikan dua minggu ini penting ialah angka jangkitan baru Covid-19.

Jika selepas dua minggu ini angka itu dapat turun hingga membolehkan PKPD itu ditamatkan, maka harapan untuk negara ini adalah cerah.

Jika tidak, negara ini akan terus menggelongsor kepada keadaan susah yang orang ramai tidak mahu menggambarkannya.

Kepentingan dua minggu ini juga ada kaitan dengan kedudukan masanya dalam bulan Julai.

Ini kerana Julai adalah bulan kedua akhir bagi penamatan darurat.

Pada awalnya darurat yang dikenakan ke atas negara ini bertujuan untuk membendung wabak Covid-19 diletakkan tempohnya sehingga Ogos.

Ia juga dinyatakan bahawa darurat mungkin ditamatkan lebih awal jika negara dapat mengawal wabak Covid-19.

Tetapi dengan angka yang ada maka darurat ini akan berlaku sepenuhnya sehingga Ogos.

Jika wabak ini masih tidak dapat dikawal apabila bulan Ogos masuk, adakah darurat akan dilanjutkan?

Soal ini tentunya berkait dengan kedudukan politik negara.

Maka dua minggu ini amat penting bagi rakyat negara ini bukan saja dari segi ekonomi tetapi juga politik.

Rakyat yang kehilangan pendapatan semakin bertambah dengan banyak syarikat perniagaan terpaksa ditutup.

PKPD adalah PKP yang paling keras berbanding PKP lain.

Gambaran PKPD ialah kawasan terlibat dikepung dengan gelung dawai berduri, macam dalam suasana darurat dan peperangan.

Tetapi memang pun negara ini sedang dalam darurat kerana sedang berperang melawan wabak Covid-19.

Pada awal PKP tahun lalu, kawasan yang ramai orang ramai tidak lupa ialah PKPD di sekitar bangunan Malayan Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Kemudian ada juga PKPD dikenakan di pelbagai tempat di negara.

Apabila wabak Covid-19 melanda Sabah, PKPD juga dikenakan di sana.

Di Selangor, daerah yang pernah alami PKPD lebih awal ialah Klang.

Tetapi sebelum ini tidak pernah berlaku PKPD sebegini besar melibatkan banyak daerah di Selangor.

Langkah ini boleh dilihat sebagai usaha kilat untuk membawa negara ini kepada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara.

Untuk masuk ke fasa baru dalam Pelan Pemulihan Negara, selain daripada angka jangkitan baru virus Covid-19, dua indikator lain ialah angka pesakit yang memasuki unit rawatan rapi (ICU) dan peratusan imunisasi.

Sewajarnya proses imunisasi melawan Covid-19 diberi tumpuan kepada Selangor, terutamanya di daerah-daerah yang dikenakan PKPD itu.

Menganggap semua negeri sama, atau semua daerah sama bagi proses imunisasi adalah suatu yang tidak wajar.

Ini kerana dalam penyebaran Covid-19, daerah-daerah dalam Selangor yang tinggi bilangan penduduk dan tinggi aktivitinya tentu tidak sama dengan negeri lain.

Kerajaan negeri Selangor mengumumkan akan mengadakan ujian saringan lebih banyak di negeri itu terutamanya daerah-daerah yang diisytiharkan di bawah PKPD.

Bila banyak saringan tentulah angka jangkitan baru akan meningkat.

Maka kiraan yang lebih baik adalah purata dan nisbah keboleh jangkitan.

Tetapi pada jangka panjang saringan menyeluruh akan mengenal pasti pembawa virus tidak bergejala yang menyebar wabak secara sporadik tanpa disedarinya.

Perang melawan virus Covid-19 masih berlangsung.

Semakin lama perang ini berterusan, semakin lumpuh ekonomi negara.

Penderitaan rakyat akan meningkat dan ia pasti memberi kesan psikologi dan mental individu.

Dari segi masyarakat, ia akan membawa kepada krisis sosial dan politik.

Apa yang perlu diberi perhatian ialah dalam perang melawan Covid-19, negara lain juga menghadapi musuh sama.

Bentuk ancaman berbeza dan kejayaan juga berlainan.

Ada negara yang sudah menang.

Bagaimana mereka dapat memperoleh kejayaan itu boleh dijadikan pengajaran dan contoh.

Walaupun setiap negara mempunyai keadaan berbeza.

Di Singapura dan Thailand, mereka sudah mula membuka sempadan untuk kemasukan orang luar khususnya pelancong.

Langkah ini pasti menggerakkan semula industri pelancongan yang melibatkan pengangkutan, perhotelan dan pemakanan.

Antara penerbangan awal yang dibuka ialah untuk pergi ke Phuket.

Begitu juga Indonesia yang mula membuka kemasukan pelancong ke Bali.

Singapura mula menganggap wabak Covid-19 ini sebagai endemik, bukannya pandemik.

Maksud endemik ialah wabak ini adalah suatu penyakit yang akan terus ada tetapi tindakan yang dilakukan adalah dalam bentuk rawatan kendiri.

Dalam hal ini, virus Covid-19 ini akan dilayan seperti selesema.

Semua orang wajar divaksin untuk meningkatkan imuniti mereka bagi membolehkan badan masing-masing mempunyai kekuatan melawan virus Covid-19 itu.

Apabila sampai ke Singapura, mereka tidak perlu lagi dikuarantin atau menggunakan pelitup muka.

Sesiapa yang berasa mempunyai virus Covid-19, mereka perlu pergi farmasi dan membeli kit saringan dan melakukannya sendiri.

Orang yang berkenaan perlu tahu untuk kuarantin diri sendiri.

Jika mereka didapati positif dan berasakan perlu rawatan, maka barulah mereka pergi ke hospital.

Keadaan ini boleh dilakukan apabila peratusan bagi mereka yang sudah divaksin adalah cukup tinggi.

Singapura menerima dos vaksin bermula pada Januari lalu.

Dalam tiga bulan, dengan kawasan dan bilangan penduduknya yang kecil berbanding Malaysia, tentulah proses imunisasi dapat diselesaikan segera.

Malaysia lambat memperoleh vaksin.

Tetapi jika program imunisasinya bersasar dilakukan pada daerah-daerah tertentu di Selangor, maka virus Covid-19 ini tidaklah dapat tersebar ke negeri lain.

Semua rakyat tentu berasa kesal wabak ini tidak dapat dikawal lebih awal.

Apa yang berlaku biarlah berlalu.

Tumpuan sekarang adalah pada daerah-daerah yang dikenakan PKPD.

Kesilapan-kesilapan lalu tidak wajar diulangi.

Mereka yang memiliki kuasa dan jawatan masing-masing termasuk para anggota barisan depan pasti akan menjalankan tanggungjawab mereka untuk menjayakan PKPD ini supaya ia berkesan.

Orang ramai pula bertanggungjawab memberi kerjasama mengikut segala peraturan PKPD.

Tetapi di peringkat individu yang terpaksa sentiasa berada dalam kediaman masing-masing bersama anggota keluarga dan isu rumah pula perlu menghadapi masalah kehidupan seharian.

Kalau perlu, kibarlah bendera putih bagi mendapatkan bantuan warga kejiranan.

Paling penting adalah memelihara kesihatan.

Hanya dengan kesihatan yang baik seseorang dapat bertindak untuk hadapi segala masalah.

Bukan saja kesihatan fizikal, lebih penting lagi mental perlu sentiasa berada dalam keadaan baik.

Depresi memerlukan rawatan oleh doktor.

Tetapi ketidakstabilan emosi yang timbul akibat tekanan boleh mengganggu tumpuan untuk menghadapi cabaran PKPD ini.

Sesungguhnya dua minggu ini merupakan cabaran bukan sahaja bagi warga daerah PKPD ini tetapi juga untuk keseluruhan Malaysia supaya negara dapat bangkit dari debu-debu serangan Covid-19.