Tuesday, July 27, 2021

Pemimpin PH tonjol diri bela Agong hanyalah sebuah opera

Peguam negara hanya menjelaskan fakta Perlembagaan bagi memenuhi tanggungjawab awam dan dakwaan beliau derhaka terhadap Agong adalah satu tuduhan janggal.

Other News

Bertalu-talu Peguam Negara Idrus Harun dikecam para pemimpin Pakatan Harapan (PH) kerana kenyataan beliau pada 25 Jun yang memperjelaskan kedudukan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang dan kewajipan Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat jemaah menteri seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengingatkan peguam negara bahawa beliau “tidak patut mengeluarkan kenyataan umum yang seolah-olah “memperkecil” kuasa Yang di-Pertuan Agong” manakala Presiden PKR Anwar Ibrahim, pula menyebut kenyataan peguam negara ini “dilihat sebagai melampau dan menghina Istana Negara”.

Kenyataan rasmi Majlis Presiden PH pula mendakwa “kenyataan peguam negara telah melampaui batas adab kerana memperkecil dan memperlekehkan titah pandangan Raja-Raja Melayu”, “peguam negara sepatutnya memberi pandangan beliau terus kepada Yang di-Pertuan Agong serta merahsiakannya” dan “kenyataan peguam negara ini adalah satu penderhakaan khusus terhadap Yang di-Pertuan Agong dan beliau mesti dipecat segera.”

Bila diteliti, tidak kelihatan di dalam kenyataan peguam negara bahawa ia merupakan satu nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, sebaliknya pada permulaan ayat beliau lagi dinyatakan bahawa tujuan ia dibuat adalah untuk memperjelaskan kekeliruan yang berbangkit daripada pandangan pelbagai pihak mengenai isu berkenaan.

Kenyataan peguam negara adalah berbentuk pernyataan fakta, iaitu bahawa kedudukan Yang di-Pertuan Agong yang merupakan raja berperlembagaan seperti yang dihasratkan oleh penggubal Perlembagaan negara ini telah diiktiraf secara konsisten dalam penghakiman mahkamah, di mana peguam negara menyertakan butiran kes-kes mahkamah tersebut, serta bahawa kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana tersebut di atas juga tidak berubah walaupun Proklamasi Darurat telah diisytiharkan.

Oleh itu, sukar difahami bagaimanakah pernyataan fakta begini boleh disifatkan sebagai telah “memperkecil” kuasa Yang di-Pertuan Agong, menghina Istana Negara, memperkecil dan memperlekehkan titah pandangan Raja-Raja Melayu, apa lagi jika ia disifatkan sebagai merupakan satu penderhakaan khusus terhadap Yang di-Pertuan Agong yang menyebabkan Peguam Negara mesti dipecat segera.

Mengikut Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan, kewajipan peguam negara bukan sahaja setakat menasihati Yang di-Pertuan Agong atau jemaah menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang sahaja, tetapi juga melaksanakan apa-apa tugas lain yang bersifat undang-undang yang dari semasa ke semasa dirujukkan atau ditugaskan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong atau jemaah menteri.

Oleh itu, jika Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri menugaskan Peguam Negara untuk memperjelaskan kedudukan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang dan kewajipan Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Jemaah Menteri seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan maka adalah menjadi kewajipan beliau untuk melaksanakannya.

Amat janggal sekali bila kini para pemimpin PH cuba menonjolkan diri mereka sebagai pembela Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sedangkan fakta-fakta sejarah terkini membuktikan bahawa merekalah yang sebenarnya gagal memberi perhatian ke atas institusi diraja, malah pada ketika-ketika tertentu memperlekehkan dan mempersoalkannya pula.

Jika dilihat kepada kandungan Manifesto PRU 14 PH dulu, PH malah boleh disifatkan mahu menghakis atau membuang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dalam beberapa perkara, termasuk di dalam kuasa melantik penjawat tertinggi kerajaan, khususnya ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Malaysia (SPKM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dengan memindahkannya terus kepada Parlimen atau menjadikannya tertakluk kepada perakuan atau pengesahan oleh Parlimen.

Lebih teruk dari sekarang, pelantikan peguam negara mengikut Manifesto PRU 14 PH dulu akan menjadikan “Peguam negara dilantik dari kalangan ahli Parlimen yang akan menjadi seorang Menteri yang boleh meneruskan peranan sebagai penasihat undang-undang bagi kerajaan”, bukan lagi dari kalangan pihak yang neutral seperti sekarang. Bayangkanlah apa yang akan terjadi jika tugas menasihati Yang di-Pertuan Agong dari segi undang-undang dilakukan oleh seorang ahli Parlimen partisan jika kehendak Manifesto PRU 14 PH ini benar-benar terlaksana.

Begitu juga jika diingat balik hayat pemerintahan 22 bulan PH, banyak sekali insiden yang membuktikan PH tidak begitu berminat untuk menjunjung kedaulatan institusi diraja.

Ini dapat dilihat sejak awal-awal pemerintahan lagi bila seorang aktivis mereka disiasat oleh pihak polis di bawah Akta Hasutan kerana menyebut institusi diraja sebagai “institusi kuno” dan “anti demokrasi”, cepat-cepat pemimpin PH mendesak siasatan ini dihentikan, diikuti dengan seruan-seruan supaya Akta Hasutan segera dimansuhkan.

Bila empat ahli akademik membuat pembentangan mengenai isu Statut Rom kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu pada 1 dan 2 April 2020 pemimpin PH segera mengumumkan bahawa Kerajaan PH akan membincangkan kedudukan mereka seolah-olah menjadi kesalahan untuk mereka memberikan pandangan profesional mereka kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja bila dititahkan berbuat demikian.

Bila Raja-Raja Melayu enggan memberi perkenan kepada ratifikasi Statut Rom, pemimpin PH pantas menuduh dalam forum terbuka bahawa Raja-Raja Melayu enggan memberi perkenan kerana mahu melindungi diri mereka dari jenayah kemanusiaan yang mereka lakukan serta mendakwa Raja-Raja Melayu makin meluas menentang, menceroboh dan melanggar perlembagaan negara, termasuk dianggap sebagai antara perompak kekayaan negara.

Setelah berlakunya perubahan kerajaan dari PH ke Perikatan Nasional (PN) pada 1 Mac 2020 pula, pemimpin-pemimpin PH, khususnya beberapa mantan menteri kerajaan PH, juga tanpa segan atau gerun mempertikai dan mempersoalkan dalam ceramah-ceramah terbuka kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam melantik perdana menteri.

Atas sebab inilah tindakan terkini para pemimpin PH cuba menonjolkan diri mereka sebagai pembela Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu hanyalah satu opera, malah ada kemungkinan hanyalah untuk kepentingan politik sempit mereka sahaja.

Kamarul Zaman Yusoff adalah pensyarah kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (Colgis), Universiti Utara Malaysia (UUM).

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles