- Iklan -
Kolum

Berapa lama lagikah matahari akan terbit?

Wabak Covid-19 menyebabkan rakyat Malaysia terasa gelap-gelita.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Apa persepsi kita terhadap waktu malam?

Secara umumnya gelap, susah untuk melihat, dan oleh kerana itu lebih berbahaya berbanding waktu siang.

Tapi bagi burung hantu, waktu malam adalah paling cerah baginya.

Persepsi terhadap malam itu menyebabkan apabila tibanya matahari terbit, manusia berubah.

Apa yang tidak nampak menjadi jelas dengan bantuan cahaya matahari.

Apabila jelas pandangan, maka manusia tahu apa yang perlu dipijak, apa yang perlu dielak dan apa yang berada di depan.

Ini meningkatkan keyakinan.

Wabak Covid-19 menyebabkan rakyat Malaysia terasa gelap-gelita.

Peningkatan kes-kes jangkitan dan juga masalah sosial kerana kekurangan sumber pendapatan menjadi sajian berita yang menyeramkan dan menyuramkan.

Berapa lama lagikah kegelapan ini akan berlangsung?

Langkah “lockdown” kerajaan belum menampakkan hasil yang diharapkan kerana kes-kes kluster kerja sentiasa ada.

Oleh itu, tidak hairanlah ada golongan rakyat yang marah kerana mereka merasakan kegelapan ini akan panjang lagi.

Sudah tiba waktunya kerajaan memanfaatkan data selama sebulan ini.

Ia pasti amat membantu untuk menentukan hala “lockdown” seterusnya.

Mana-mana perniagaan di negeri yang mempunyai kes Covid-19 secara purata kurang daripada 50 kes sehari selama 2 minggu juga dibenarkan beroperasi.

Di negeri-negeri yang mempunyai purata kes Covid-19 melebihi 50 selama dua minggu, hanya perniagaan tidak mempunyai rekod kes jangkitan boleh dibenarkan beroperasi semula.

Perniagaan-perniagaan yang mempunyai kes Covid-19 perlu ditutup selama dua minggu dan majikannya perlu memberi keutamaan untuk mendapatkan vaksin bagi semua pekerja.

Meskipun perniagaan dibenarkan beroperasi namun langkah-langkah mengurangkan perjalanan, perjumpaan dan aktiviti berkumpul sesama manusia perlu terus diperketatkan.

Antaranya hanya dua orang sahaja yang dibenarkan dalam satu kenderaan, tidak boleh merentas negeri melainkan mereka terlibat dengan rantaian “essential”, memaksa perniagaan meneruskan polisi bekerja dari rumah bagi mereka yang belum mendapatkan vaksin, operasi restoran tetap untuk membungkus sahaja, menghadkan jumlah hadirin di pusat membeli belah kepada mereka yang sudah mendapat dos vaksin, aktiviti-aktiviti keramaian dan keagamaan hanya terhad kepada mereka yang sudah mendapatkan vaksin dan sebagainya.

Berapa lama lagikah matahari akan terbit?

Matahari hanya akan terbit apabila vaksin yang sudah ditempah oleh kerajaan Malaysia tiba di tanahair.

Namun untuk mempercepatkan matahari terbit di Malaysia, program penvaksinan perlu diubah.

Mereka yang perlu bekerja perlu diberikan keutamaan mendapatkan vaksin kerana data jelas menunjukkan kluster kerja adalah kluster yang paling aktif di Malaysia.

Majikan yang mahukan pekerjanya divaksin dahulu boleh membayar untuk vaksin.

Ini berbaloi kerana ia lebih menjimatkan daripada perniagaan terpaksa ditutup kerana Covid-19 dan juga kos membayar saringan Covid-19 secara berterusan.

Apabila sektor bekerja sudah divaksin, maka masalah sosial dan tekanan ekonomi juga akan menurun secara mendadak.

Kadar jangkitan Covid-19 juga dijangka menurun secara mendadak kerana akan berlaku pengurangan kes membawa Covid-19 dari tempat kerja ke ahli keluarga.

Kerajaan juga harus menyediakan sijil perniagaan baru bagi majikan yang memastikan pekerjanya sudah divaksin sepenuhnya berdasarkan rekod MySejahtera semua pekerja.

Sijil ini akan membenarkan semua aktiviti perniagaan majikan itu dijalankan secara normal, termasuk merentas negeri.

Masalah yang perlu diberi perhatian ialah korupsi untuk mendapatkan sijil perniagaan ini.

Arah tuju kerajaan yang jelas akan dapat menyakinkan rakyat bahawa matahari pastinya akan terbit di Malaysia.

Pelan pemulihan negara adalah antara satu arah tuju.

Namun rakyat belum cukup jelas dan yakin sebagaimana yakinnya terhadap matahari terbit.

Dengan adanya arah tuju yang jelas, rakyat akan bersabar.

Sabar hanya akan berlaku jika seseorang yakin sesuatu itu akan berlaku yang menyebabkannya sanggup menunggu.

Jika tidak, yang ada hanyalah perasaan bimbang dan marah.

Namun, apa yang lebih membimbangkan ialah fokus kerajaan yang terganggu akibat ombak politik negara yang lebih ganas daripada wabak Covid-19.